Showing posts with label Buku Sejarah Hidup. Show all posts
Showing posts with label Buku Sejarah Hidup. Show all posts

Sunday, December 21, 2014

Renung untuk perancang pendidikan negara

Selepas melalui pengalaman sebagai seorang guru di bilik darjah, pengetua di sekolah menengah dan Maktab Perguruan, Timbalan Ketua Nazir, Pengarah Pendidikan dan Ahli SPP maka saya berani membuat rumusan bahawa betapa pentingnya peranan sekolah rendah dalam mengasuh anak-anak ne negara ini malahan jangan sekali dipandang ringan. Kadangkala terdapat gambaran bahawa kini kita lebih menumpukan kepada mutu pendidikan di peringkat atasan khususnya di peringkat universiti agar mencapai bertaraf dunia.

Kita juga nampaknya memberatkan tahap sekolah menengah khususnya bila kita lihat betapa luasnya tumpuan mengenai keputusan peperiksaan awam. Ini jelas sekali apabila kita dapat melihat liputan yang begitu meluas oleh semua media massa dalam mengumumkan keputusan peperiksaan khususnya PMR, SPM dan STPM. Saya tidak menyatakan bahawa ini adalah tidak diperlukan tetapi saya amat berharap bahawa dalam hal ini tumpuan kepada sekolah rendah tidak dikurangkan. Kita semua memahami dan mengakui bahawa kemahiran-kemahiran asas adalah penting dikuasai pada umur muda iaitu di peringkat rendah lagi. Kini kita masih mendapat laporan-laporan dan maklumat mengutarakan masalah keciciran anak-anak selepas darjah enam di peringkat sekolah rendah yang tidak meneruskan pelajaran mereka ke peringkat menengah. Masih terdapat bukti-bukti walaupun para pelajar meneruskan pelajaran ke Tingkatan Satu, masih ramai yang menunjukkan kurang kemahiran pembelajaran, pencapaian yang rendah dan kurang motivasi untuk belajar. Saya amat percaya bahawa asas kemahiran yang kukuh di sekolah rendah boleh memberi kesan yang positif kepada prestasi mereka dalam pelajaran kemudian hari. Oleh itu saya mengutarakan beberapa cadangan dalam hal ini :

Pertamanya, biarlah tumpuan yang utama juga diberikan kepada sekolah rendah seperti gambaran yang diberikan kepada sekolah menengah dan peringkat pendidikan tinggi. Keduanya, sudah sampai masanya bagi guru-guru siswazah dilantik sebagai Guru Besar dan guru-guru di sekolah rendah juga mempunyai ijazah. Untuk makluman, semua guru yang mengajar di sekolah rendah di Amerika Syarikat dan England mempunyai ijazah. Ketiganya, ialah mengenai kualiti guru yang mengajar di sekolah rendah. Sebagai tempat untuk menanam kemahiran asas yang kukuh bagi anak-anak, maka adalah dicadangkan guru-guru yang berpengalaman dan berkualiti ditempatkan di sekolah rendah. Keempatnya, ialah kadar guru-murid di bilik darjah Bilakah kita akan melihat bilangan murid sekelas di sekolah rendah hanya mempunyai 20 orang sahaja? 

Mungkin ini agak keterlaluan tetapi perkara ini sudah menjadi hasrat para pendidik sudah berdekad lamanya. Sudah sampai masanya anak-anak di sekolah rendah diberikan pendidikan yang berkualiti. Tidak syak lagi sekiranya anak-anak di sekolah rendah menerima asas yang kukuh dalam membaca, menulis dan mengira serta sains (menakul) dan dididik untuk sukakan pelajaran, sudah tentu kejayaan mereka di peringkat menengah nanti akan lebih terjamin.

Wallahu a’lam.

Dato’ Hj Abdul Rahim b Hj Abdul Majid
Imbasan seorang pendidik, ms 225-227
2009.

Saturday, December 20, 2014

Renungan untuk pelajar

a) Cintakan pelajaran

Pertamanya, anda mesti belajar untuk berjaya. Tiada seorang pun manusia yang di dunia berjaya tanpa belajar. Bagi beberapa dekad yang akan datang ini kelulusan berdasarkan kepada kertas atau sijil akan terus menjadi penentu dalam mencari pekerjaan atau profesion. Adalah penting bagi semua pelajar mempunyai fokus dan tekad dalam usaha mereka mengejar sijil atau ijazah. Saya percaya tiada sijil yang tidak boleh dicapai oleh anda. Tetapi dalam hal ini saya ingin menyatakan bahawa memperolehi sijil itu bukanlah tujuan terakhir dalam hidup ini.

Yang penting bagi semua pelajar adalah menanam sikap sukakan membaca dan belajar agar dapat menambah ilmu pengetahuan sepanjang hidup kita. Semakin maju negara kita dan dunia, maka semakin banyak aktiviti akan berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Apa yang saya perhatikan ialah ramai para pelajar dan termasuklah juga golongan dewasa, tidak mempunyai hasrat mencari ilmu pengetahuan selepas sahaja mendapat sijil atau kertas kelulusan. Mereka menjadi puas hati dan tidak mempunyai kemahuan untuk menambah baik ilmu mereka. Ini bermakna tamatlah usaha mencari ilmu yang baru bagi mereka.
 
Sebagai peringatan, negara ini memerlukan warga yang berkualiti untuk memandunya menuju kemajuan yang berterusan. Oleh itu negara berkehendakkan rakyatnya mempunyai kualiti yang tinggi dari segi sikap, pengetahuan serta perwatakan. Ilmu akan membuatkan seseorang itu matang dan yakin diri. Sekiranya kita tidak mencari ilmu baru maka kita boleh menjadi usang di dunia ini. Saya ambil teknologi komputer sebagai contoh. Saya telah diberitahu oleh pakar-pakar komputer yang mengatakan bahawa teknologi komputer amat pantas sekali berubah dan maju sehinggakan mereka mengatakan apabila sahaja kita membeli komputer baru maka secepat itu jugalah komputer kita itu sudah melampaui zamannya kerana komputer baru dicipta dengan fungsi yang lebih berkuasa dan canggih lagi.

Pengajaran yang saya hendak sampaikan kepada anda sekalian ialah supaya kita benar-benar menghayati prinsip belajar sepanjang hayat sebagai sikap hidup semoga kita berjaya di negara dan dunia ini. Menambah nilai khususnya dari segi ilmu pengetahuan boleh menentukan kita akan dapat mengharungi dunia globalisasi yang penuh persaingan ini.

b) Menguasai bahasa-bahasa secara glokal

Satu perkara lagi yang ingin saya peringatkan para pelajar ialah pentingnya anda menguasai kemahiran berkomunikasi, pertamanya dalam bahasa-bahasa tempatan dan keduanya bahasa-bahasa lain yang membolehkan kita memahami perkara yang berlaku di dunia. Dengan kata lain kita mahu warga negara kita cekap dan fasih berbahasa secara glokal, istilah yang digunakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak ( sekaran Perdana Menteri ). Ini memberi makna kita mesti boleh berbahasa dalam bahasa tempatan kita dan diikuti dengan penguasaan satu bahasa antarabangsa yang diakui luas penggunaannya, contohnya Bahasa Inggeris.

Dengan cara ini kita memperkukuhkan hubungan antara kaum di negera ini melalui bahasa tempatan dan di masa yang sama boleh berbicara di peringkat internasional dengan menggunakan bahasa antarabangsa. Kerap orang mengatakan bahawa lebih banyak bahasa kita kuasai lebih baik untuk kita. Saya sungguh gembira mengetahui ada usaha menggalakkan orang Melayu mempelajari Mandarin dan Tamil walau pun usaha lebih agresif perlu diadakan. Apabila saya menonton TV alangkah bangganya bila saya melihat sudah ramai pembaca berita dan pengacara bukan Melayu yang cukup fasih berbahasa Melayu. Soalan yang saya kemukakan ialah bila pula boleh kita melihat orang-orang bukan Tionghoa membaca berita dalam bahasa Mandarin? Secara ringkasnya, saya berharap rakyat negara ini akan boleh berbahasa secara glokal.

c) Bersatu dalam perbezaan

Satu aspek terakhir yang mungkin sama pentingnya dengan dua perkara yang dibincangkan di atas ialah pentingnya kita, khususnya para pelajar sekalian, bersatu dalam hidup kita. Sepertimana kita maklum perpaduan adalah elemen yang penting dalam hidup masyarakat berbilang kaum. Kita telah membuktikan hidup bersatupadu ini telah memberi keharmonian dan kejayaan kepada negara yang sukar dicapai di negara-negara berbilang kaum yang lain. Rakyat Malaysia telah membuktikan kepada negara sendiri dan juga kepada seluruh dunia bahawa kita boleh hidup dalam keadaan yang cukup harmonis dan aman. Namun demikian ada tanda-tanda yang menunjukkan kita tidak boleh mengambil enteng hal ini. Ahli-ahli sejarah negara kerap memperingatkan kita bahawa rakyatnya mesti terus mempertingkatkan usaha dalam hubungan antara kaum de negara yang bertuah ini khususnya dalam persepsi positif antara kaum. Kini masih terdapat keadaan-keadaan di mana rakyat yang menunjukkan keadaan polarisasi ini.

Memang banyak faktor dan sebab mengapa ini boleh berlaku tetapi saya ingin menegaskan satu perkara yang rapat dengan hati saya. Sebagai seorang pendidik saya mahu lihat para pelajar sekalian bercampur gaul dengan lebih mesra antara satu sama lain. Kita perlu memahami dan menghormati antara satu sama lainnya. Pengalaman saya belajar di sekolah berbilang kaum dan di Universiti Malaya membolehkan saya berasa selesa walaupun saya di tengah-tengah kumpulan kaum lain. Kuncinya ialah untuk kita menghormati orang lain yang berlainan bangsa, budaya dan juga umur.Rakyat negara ini jangan leka dalam hal ini. Kejayaan visi 2020 amat bergantung kepada perpaduan di kalangan rakyatnya. Apapun yang diperkatakan saya yakin kita semua akan terus mara ke hadapan, hidup dalam perpaduan dan aman tanpa mengenepikan asal usul kaum kita sendiri. Kita bukan hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada dunia tentang keharmonian negara tetapi mesti berusaha bersunguh-sungguh menjadikannya benar-benar budaya kita di seluruh negara. Survival kita bergantung kepada elemen ini.

Wallahu a’lam.

Dato’ Hj Abdul Rahim b Hj Abdul Majid
Imbasan seorang pendidik, ms 225-227
2009.

Thursday, February 3, 2011

Amanat Pandu Puteri


Ini hanyalah satu catatan selamat tinggal, yang terakhir dari saya. Ini hanyalah untuk berpesan, setelah saya tiada lagi, supaya anda bahagia dan membahagiakan orang lain. Bunyinya mudah sahaja, bukankah begitu?

Anda mulai membahagiakan orang lain dengan membuat kebaktian kepada mereka. Tidak usahlah anda bimbang tentang membahagiakan diri sendiri kerana kebahagiaan akan datang sendiri. Bila anda membahagiakan orang lain anda akan bahagia juga.

Lambat laun bila anda telah berumahtangga, peranan anda menjadikan rumahtangga itu berseri dan damai nescaya suami anda akan bahagia. Jika semua rumahtangga berseri dan aman akan berkuranglah tempat-tempat hiburan dan orang lelaki tidak akan ke sana lagi melainkan lebih baik duduk di rumah.

Ia mungkin memerlukan kerja kuat tetapi akan membawa ganjaran kalau anda mempastikan anak-anak gembira, bersih dan sibuk mereka akan bahagia. Kanak-kanak yang bahagia menyayangi ibu bapa mereka. Tidak ada benda yang boleh menyeronokkan anda selain daripada anak-anak yang menyayangi anda.

Saya yakin Tuhan mahukan kita bahagia semasa hayat kita. Tuhan telah memberikan kita sebuah dunia yang penuh dengan keindahan dan keajaiban. Tuhan telah memberikan kita bukan sahaja mata untuk melihat tetapi juga akal untuk berfikir kalaulah kita mahu berfikir dan bersyukur.

Kita boleh menikmati matahari yang cera dan pemandangan yang indah-indah.Kita boleh memerhatikan tentang keajaiban bagaimana biji benih tumbuh sebagai tumbuhan kecil yang kemudian berbunga dan menggantikan bunga-bunga lain sebelum mati. Kerana tumbuhan seperti juga manusia akan mati tetapi bakanya tidak, tumbuhan baru akan lahir, berbunga, berputik meneruskan kesambungan rancangan Yang Maha Pencipta.

Sedarlah, anda sebagai wanita adalah hamba Tuhan yang terpilih dalam dua cara; pertama melanjutkan zuriat manusia untuk menggantikan mereka yang telah meninggal dunia; kedua membawa kebahgiaan ke muka bumi dengan mendirikan rumahtangga yang bahagia dengan menjadikan diri anda sebagai teman hidup suami anda yang baik dan gembira dan ibu yang serupa kepada anak-anak anda.

Menjadi ”teman hidup” dengan meminati tugas-tugas suami dan cita-citanya. Anda dapat membantunya dengan simpati dan saranan-saranan dengan itu menjadi ”panduan” kepadanya. Juga dengan membesarkan anak-anak dengan cara menguatkan dan melatih akal dan peribadi dan juga tubuh badan serta kesihatan mereka, anda juga memberikan kehidupan yang baik dan menyeronokkan. Dengan memberi kasih sayang dan kebahagiaan anda akan dapat pulangan kasih sayang suami dan anak-anak dan tiada yang lebih baik daripada di dunia ini.

Anda akan dapati yang syurga itu bukan sahaja apa yang dijanjikan di akhirat selepas anda mati, tetapi sudah ada sekarang dan di sini, di rumahtangga anda. Dari itu pandulah orang lain ke arah kebahagiaan dan anda akan dapati semula kebahagiaan itu dan dengan cara ini anda mengamalkan apa yang Tuhan perintahkan kepada anda.

Tuhan bersamamu...........

( Robert Baden Powell )

Wednesday, February 2, 2011

Amanat Pengakap

Kiranya anda telah menyaksikan sandiwara PETER PAN anda akan teringat bagaimana ketua lanun akan beramanat kali terakhir kerana ia bimbang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian sebelum ia mati. Begitulah halnya dengan saya dan dari itu walaupun saya masih hidup sekarang masanya akan sampai jua lambat laun dan saya ingin menghantar ucapan selamat tinggal.

Ingatlah, inilah kali yang terakhir anda akan mendengar dari saya, dari itu menungkanlah.

Saya telah menghayati kehidupan yang sangat bahagia dan saya mahu anda pun demikian juga.

Saya yakin Tuhan telah menempatkan kita dalam dunia yang permai ini untuk hidup bahagia dan menikmati kehidupan itu. Kebahagiaan tidak datang melalui kekayaan, bukan juga kerjaya anda yang berjaya dan juga keseronokan diri anda.

Satu langkah kearah kebahagiaan ialah menjadikan diri anda sihat dan kuat semasa anda masih muda, supaya anda boleh menjadi “berguna” dan boleh mereguk hidup bila anda dewasa nanti. Kaji alam akan menunjukkan kepada anda bagaimana indah takjubnya nikmat-nikmat Tuhan yang menjadikan alam ini untuk anda mewarisinya. Berpadalah dengan apa yang ada dan gunakanlah rahmat Tuhan itu sebaik-baiknya (syukur). Lihatlah sebelah yang cerah dalam sesuatu dan bukannya yang gelap atau pesimis.

Tetapi cara yang sebenar mendapat kebahagiaan itu ialah dengan memberikan kebahagiaan itu kepada orang lain.

Cuba tinggalkan dunia ini lebih baik daripada apa yang anda temui dan bila sampai masanya anda menyahut panggilan Illahi anda bolehlah kembali menemuinya dengan dada lapang bahawa dengan apa pun ukuran anda telah cuba sehabis baik. “ Selalu Sedia “, dengan cara ini anda akan hidup bahagia dan mati dalam damai. Peganglah kepada persetiaan anda sentiasa – walaupun anda sudah bukan budak-budak lagi dan Tuhan membantu anda memenuhinya………

( Robert Baden Powell )