Saturday, May 10, 2014

Al-Habib Abdullah bin Muhsin Al-Attas

Keramat Empang, Bogor

Beliau memiliki seekor kambing yang sihat dan gemuk. Kambingnya itu dibelanya sedari kecil. Dia memberinya makan, menyayangi dan merawatinya dengan baik hingga kambing itu menjadi besar dan gemuk serta sihat. Pada suatu hari, ada rombongan tetamu dari Hadramaut yang menziarihinya. Kemudian, al-Habib Abdullah memerintahkan salah seorang muridnya untuk menyembelih kambing kesayangannya itu buat hidangan para tetamunya.

Sang murid pun segera melaksanakan titah dan perintah gurunya itu. Beberapa saat kemudian, si murid tadi datang dengan wajah yang sedih kepada  beliau sambil berkata: Wahai Habib Abdullah, tadi saya tersalah ketika menyembelih kambing tersebut. Nadinya tidak sampai terputus sehingga kambing itu sekarang menjadi bangkai dan tidak boleh dimakan. Kemudian menangislah al-Habib Abdullah semahunya. Para tetamu dan jemaah yang ada di tempat tersebut menjadi kehairanan.

Kemudian, salah seorang tetamunya itu memujuknya dengan berkata: Wahai Habib, sudahlah, janganlah engkau fikirkan kambing itu, nanti aku akan menggantikannya dengan kambing yang lebih besar dari kambingmu yang tadi.

Demi Allah, aku menangis bukanlah disebabkan masalah kehilangan kambing itu. Aku terfikir, kambing ini yang sedari kecil aku rawat, aku sayang, aku beri makan dan sebagainya hingga menjadi gemuk dan besar. Namun di hujung kehidupannya, saat ia akan dimanfaatkan, sedihnya ia tidak dapat dimanfaatkan. Ia hanya menjadi bangkai.

Lalu, fikirkan bagaimana pula halnya dengan kita? Sedari kecil kita belajar, beribadah, apakah kita tidak bimbang, bahawa nasib kita akan menjadi seperti kambing tersebut? Mati dalam keadaan su’ul khatimah? Naudzu billah. Aku menangis kerana aku bimbang kehidupan kita seperti kambing tersebut. Jawab al-Habib Abdulah. Saat itu juga, para murid dan tetamu al-Habib turut sama menangis setelah mendengar penjelasan dan renungan daripadanya.

Wallahu a’lam

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

No comments:

Post a Comment