Wednesday, May 28, 2014

Munajat daripada ibu

Wahai Yang Maha Sempurna
Wahai Allah Yang Maha Bijaksana dan
penuh Rahmah dalam Mengatur kehidupan makhlukMu
masa yang Engkau ciptakan…..
belum pernah berhenti
masa terus berjalan….
menjadikan kami semakin tua dan lemah
masa tidak pernah menunggu kami
sama ada kami ingat atau kami lalai
kini kami telah hampir separuh abad
bernafas di atas pentas dunia ini
semakin hari wajah kami makin kelam….
kusut…kerana dosa yang terkumpul
kadangkala terbit  di hati kami ketakutan
yang amat sangat terhadap mati
kerana terlalu banyak hak
manusia dan hakMu yang tidak
kami selesaikan.

Bagaimana agaknya kematian itu
mahu  kami hadapi sedang kami
belum menunaikan amanah kepada
yang berhak….
sedang hati kami masih belum
bertaraf qalbun salim (hati sejahtera)

Ya Allah…Tuhan Yang Maha Belas kasih kepada kami
berilah kami kekuatan untuk
menjunjung titah perintahMu
berilah kami kelazatan dalam menunaikan
ubudiyyah kepadaMu
kurniakan kami jiwa yang cekal
dan tabah menghadapi onak duri
yang terus mencucuk-cucuk kami
ikatlah jiwa kami dan keturunan kami
dengan Al-Quran kalam agung
jangan pisahkan kami dengan mukjizat itu

Wahai Yang Maha Sempurna
terangilah hati kami dengan cahayaMu
jangan Engkau tolak kedatangan kami
tiada kami miliki sesiapa pun kecualiMu
jangan Engkau biarkan kami
kami tiada daya kecuali denganMu
jangan murkai kami ya Allah
andai Engkau murka
ke mana pelarian kami?

Didik dan pimpinlah jiwa kami ya Allah
agar hati ini hidup dalam mencintaiMu
agar hati ini tenang sentiasa
mensyukuriMu
kami telah penat ya Allah
mengikut nafsu yang tiada kesudahannya
kami terus ditipu berulang kali
hingga menjauhkan wibawa kami
hingga menghilangkan kemuliaan kami.

Sedetik pun ya Allah….
jangan kami  dilepaskan
Wahai Allah,
Tuhan yang telah menganugerahkan Ramadan kepada kami
Engkau tidak pernah berhenti
memberi kurnia nikmat kepada kami…..
sedang kami selalu malas dan rehat
daripada mensyukuri nikmatMu.

Kami mohon kurniaMu
agar kami  menjadi hambaMu
yang terbaik dalam menghayati Ramadan

Kami mohon segala rahmat
dan barakah pada nikmat Ramadhanini
untuk menerangi hati kami
menyembuhkan penyakit hati kami
melapangkan dada kami yang sempit
meluaskan kehidupan kami sekeluaga, makhlukMu

Aameen Ya Rabb

Lubuk hati ibu
Norhafizah bt Musa
& Wan Nor Ainon bt Wan Abdullah
2011

No comments:

Post a Comment