Monday, January 30, 2012

Bagaimana Menambah Nikmat Allah


Nikmat itu terbahagi tiga:
1. Nikmat yang dikecapi dan disedari oleh hamba.
2. Nikmat mendatang yang diidamkan oleh hamba.
3. Nikmat yang dikecapi oleh hamba tetapi tidak disedarinya.
Apabila Allah ingin menyempurnakan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya, Dia akan mengenalkan (kepada hamba tersebut) nikmat yang dikecapinya sekarang kepada hamba tersebut dan mengurniakan kepadanya sifat syukur.
Syukur itu akan mengikat nikmat tersebut agar tidak hilang. Sesungguhnya nikmat hilang dengan perlakuan maksiat dan diikat dengan ketaatan.
Kemudian Allah akan menunjukkannya jalan amal agar dia mendapat nikmat yang dinantikan.
Kemudian Allah akan menunjukkan kepadanya jalan mati (yang tidak bersambung kepada amal) dan menjauhkannya dari jalan itu. Allah akan menunjukkannya cara agar dia menjauhi jalan itu.
Apabila dia menyempurnakan semua itu, Allah akan memperkenalkannya terhadap nikmat yang dikecapinya sekarang tetapi tidak beliau menyedarinya.
Diceritakan bahawa seorang Badwi masuk menemui Harun ar-Rasyid lalu berkata: "Wahai Amirul Mu'minin. Moga-moga Allah mengekalkan nikmatmu sekarang dengan kamu sentiasa mensyukurinya. Moga-moga Allah mengurniakan nikmat yang kamu harapkan dengan kamu bersangka baik terhadap-Nya dan sentiasa mentaati-Nya. Moga-moga Allah akan mengenalkanmu kepada nikmat yang kamu kecapi sekarang tetapi kamu tidak mengetahuinya agar kamu mensyukurinya." -Ibnul Qayyim al-Jauzi
( I Luv Islam.Com )



Berlindung


Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kelaparan kerana sesungguhnya ia adalah seburuk-buruk teriakan ketakutan dan aku berlindung kepadaMu dari khianat kerana sesungguhnya ia adalah seburuk-buruk pengiring.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari tersesat atau disesatkan, terjatuh atau dijatuhkan, berbuat zalim atau dizalimi, bersikap bodoh atau dibodohkan jua berlaku sombong atau dihina orang.

Ya Allah tiada tempat bersandar dan tempat keselamatan kecuali kepadaMu……ameen Ya Raab.

Sunday, January 29, 2012

Al-Baqarah ( 31-35 )


31.          Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “ Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar”.
32.          Malaikat itu menjawab : “ Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
33.          Allah berfirman: ”Wahai Adam! Terangkanlah nama  benda-benda ini semua kepada mereka“. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman : ”Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.
34.          Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ” Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadikan ia dari golongan yang kafir.
35.          Dan kami berfirman: ”Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim“.

 ( Tafsir pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-Quran, Darulfikir: ms 17-18  )

Friday, January 27, 2012

Faqirnya aku



Ya Allah aku hamba yang maha faqir
sentiasa mengharap akan kekayaanMu
aku hamba yang maha lemah
sentiasa mengharap kepada bantuanMu

Ya Allah bagaimana ku ingin ku mengadu padaMu
sedangkan ia tidak pernah tersembunyi dariMu
bagaimana ingin jelaskan segala urusanku
sedangkan segala-galanya dariMu

Ya Allah Ya Tuhanku
Engkau Tuhan yang Maha Perkasa
segala pujian hanyalah untukMu
rahmatilah diriku ini

Oh Tuhanku alangkah dekatnya Engkau kepadaku
tetapi jauhnya aku daripadaMu
oh Tuhanku alangkah kasihnya Engkau kepadaku
tetapi sering kulupa segala kurniaanMu

Engkau yang telah menjadikan diriku
aku hambaMu berada digengamanMu
ku berlidung dari kejahatan
yang telah ku lakukan
hanyaMu Tuhan pengampun segala dosa

Kau Maha Pengasih...

( Kalimah Warisan; Are Buddy )

Thursday, January 26, 2012

Rupa Solat




Ya Allah Ya Tuhanku, anugerahkanlah rupa luaran yang sempurna dan rupa dalaman hakiki buat solat yang didiri dan dikekal kan ini….ameen Ya Rabb.


Monday, January 23, 2012

Al-Baqarah ( Ayat 21 – 30 )



21.          Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.
22.          Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
23.          Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kamu (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
24.          Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya dan sudah tentu kamu tidak akan dapat membuatnya maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu-batu (berhala), iaitu neraka)  yang disediakan untuk orang-orang kafir.
25.          Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir  di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buah syurga itu, mereka berkata : “ Inilah  yang telah diberikan kepada kami dahulu” : dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya(tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan /isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
26.          Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa  perbandingan itu benar dari Tuhan mereka mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab-sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat pertunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;
27.          (Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabul) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu orang-orang yang sungguh rugi.
28.          Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir),kemudian Ia menghidupkan kamu ; setelah itu Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
29.          Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
30.          Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khlifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata)” “ Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

( Tafsir pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-Quran, Darulfikir  ms 13 - 16 )

Cakap




Rasulullah saw bersabda : “ Neraka bagi orang yang bercakap lalu berdusta untuk mentertawakan orang ramai dengan kata-katanya itu. Neraka baginya, neraka baginya. “ ( Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi )

Benar



Rasulullah saw bersabda kepada Muaz : “ Aku mewasiatkan kepadamu supaya bertakwa kepada Allah, benar tutur kata, menunaikan amanat, menepati janji, bersedekah makanan dan merendahkan diri.” ( Hadis riwayat Abu Naim )

Sunday, January 22, 2012

Al-Baqarah ( Ayat 11 – 20 )


  1. Dan apabila dikatakan kepada mereka : “ Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi “, mereka menjawab : “ Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan “.
  2. Ketahuilah : Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dari kerosakan tetapi mereka tidak menyedari.
  3. Dan apabila dikatakan kepada mereka : “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab : “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh ini?”. Ketahuilah !. Sesungguhnya merekalah orang-orang yng bodoh tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
  4. Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman mereka berkata: “ Kami telah beriman” dan manakala mereka kembali kepada Syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula : “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang yang beriman)”.
  5. Allah (membalas) memperolok-olok mereka dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).
  6. Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk :  maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh pertunjuk hidayah.
  7. Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
  8. Mereka (seolah-olah  orang yang)  pekak, bisu dan buta dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).
  9. Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang  ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan ) Allah meliputi orang-orang kafir itu.
  10. Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka, tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pencariannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pandangan dan penglihatan mereka, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
( Tafsir pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-Quran, Darulfikir  )

Al-Baqarah ( Ayat 1 – 10 )


  1. Alif, Laam, Miim
  2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
  3. Iaitu, orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan), sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
  4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya)
  5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang  yang berjaya.
  6. Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan  beriman), sama sahaja kepada mereka, sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.
  7. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
  8. Dan di antara mereka ada yang berkata:  “ Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat “ padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
  9. Mereka hendak memperdayakan Allah dari orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdayakan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
  10. Dalam  hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

( Tafsir pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-Quran, Darulfikir  )

Saturday, January 21, 2012

Sajak akhir tahun

 Perjalanan semusim
bermukim petang condong
di celahan mendung
dan hujan berterusan
ada resah kesakitan
yang tidak diundang
namun ada keriangan
yang terus mendatang

Akhir tahun pun
kian menghampiri
terhitungkah jejak-jejak
yang telah pergi
walau ada sekelumit ragu
di bilah-bilah hari menanti
siapakah di antara kita
yang mahu menggigit jemari diri.

Secantik manakah
aturan angka hari
dapatkah mengubah
dan mengatur takdir ilahi
andainya tiada persiapan
segala bekalan amalan
untuk teman sejati
di alam sana nanti.

( Rajiee Hadi, Bandar Baru Nilai Negeri Sembilan )

Ya Allah, jikalau di dalam ilmuMu bahawa urusanku  ini, baik  dalam agama, kehidupan serta akibat urusanku, maka takdir, mudah serta berikanlah keberkatanMu  kepadaku di dalamnya. ......ameen Ya Rabb.

Friday, January 20, 2012

Kualiti Bimbingan

 
a)      Bimbingan tanpa selindung
Curahan ilmu, perkongsian pengalaman, membetulkan kelemahan, mempertingkat kemahiran, merancang masa depan, mencungkil potensi, membina keyakinan diri dan memberikan nasihat.

b)      Ikhlas
Redha, tidak mengharapkan balasan, tidak mengungkit perkara lalu, sukarela, melebihi keperluan, tidak memerlukan pujian, memberi tanpa disuruh, tidak berkira dan  berintegriti.

c)       Berterusan
Langkah demi langkah berfasa, lengkap dan sempurna, mengikut tahap kemampuan, mekanisme penilaian dan pemantauan,  perkongsian strategic dan pengembangan potensi.

d)      Payung
Menaungi, melindungi daripada ancaman, membantu semasa kesulitan, semangat berpasukan, penjagaan kebajikan, istiqamah, mewujudkan rasa selesa dan selamat serta membina permuafakatan,

e)      Menghasilkan yang lebih baik
Keterbukaan, galakan mempelbagaikan sumber, peluang menimba pengalaman, belajar daripada kesilapan, mempelbagaikan kemahiran, penerokaan bidang baru dan memudahkan penimbaan ilmu.

f)       Bersama
Empati, berkongsi masalah, menikmati faedah, tiada juurang pemisah, memperkasa keyakinan, kemampuan untuk menghadapi cabaran lebih besar, membina kredibiliti, lebih memahami secara mendalam dan memberikan nasihat secara lebih spesifik.

g)      Membina tokoh
Komprehensif, serius, qudwah, pengkhususan bidang, focus, integrasi kemahiran kritika, peningkatan tahap profesionlisme, kemandirian, hujah yang bernas, pemberi penyelesaian, penyumbang nilai tambah dan karisma.

( Melayu mentaliti  kelas pertama : antara impian dan kenyataan )



Ya Allah, Ya Tuhanku, aku bermohon taufiq daripada Mu seperti mana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, dan jadikanlah amalan ini sepertimana amalan ahli yakin, dan jadikan aku dari golongan yang menerima nasihat, orang-orang yang bertaubat, dan keazaman ku seperti mana orang-orang yang takut. Dan aku bermohon seperti mana pemohon orang yang suka kepada kebaikan dan beribadah seperti ibadat orang-orang yang warak. ......ameen Ya Rabb.

Glosari 3P


  1. Pencerapan :
Proses memerhati dan menilai perancangan dan pelaksanaan pembelajaran & pengajaran menggunakan instrumen yang ditetapkan.


  1. Penyeliaan
Proses memerhati, menilai dan memberi bimbingan.


  1. Pemantauan
Aktiviti menyelia, mengawal dan memerhati yang dilakukan oleh pihak kepimpinan sekolah secara terancang dan hasilnya direkod dengan kemas kini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan program berada pada landasan yang betul dan dapatan daripada pemantauan digunakan untuk menilai keberkesanan program / aktiviti yang telah dilaksanakan.

                Catatan :

                Objektif pemantauan :

a)      Memastikan proses program dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan
b)      Mengelakkan berlakunya penyelewengan dalam pelaksanaan program
c)       Mengenal pasti masalah yang dihadapi semasa pelaksanaan program
d)      Menyalurkan masalah yang berkaitan untuk tindakan seterusnya.
               

  1. Memberi rangsangan
a)      Beri dorongan / motivasi  secara lisan
b)      Tunjuk perangsang (stimulus) seperti gambar tanpa bercakap
c)       Memujuk


  1. Memberi bimbingan
a)      Memberi petunjuk @ memberi huraian
b)      Membimbing murid untuk menjalankan sesuatu tugasan seperti memegang tangan murid untuk melakukan sesuatu.
c)       Menunjuk langkah demi langkah
d)      Menyata  atau menunjukkan contoh perbuatan.
e)      Memberi nasihat, panduan, peringatan dan teguran.


Ya Allah Ya Tuhanku, Jadikan pengetahuanku ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga aku
termasuk ke dalam golongan orang yang takut kepada Engkau. Ya Allah, aku memohon
kepadaMu, jadikan dalam diriku ini perasaan takut yang dapat menghalang aku daripada
melakukan maksiat sehinggalah aku beramal dengan penuh ketaatan kepadaMu
sebagaimana amalan yang aku merasa perlu mendapatkan keredhaanMu  sehingga aku betul-betul ikhlas dan bertawakal kepadaMu dalam setiap perkara..... ......ameen Ya Rabb.

Kelas-kelas mentaliti


Ilmu

Kelas pertama                   : Cinta, menjelmakan ilmu dan aktif mengembangkan kepada diri,
                                                   masyarakat dan negara.

Kelas kedua                       : Suka belajar dan menggunakannya untuk manfaat diri sendiri.

Kelas ketiga                       : Pendengar ilmu yang aktif

Kelas keempat                  :  Suka kepada orang yang dalam majlis ilmu

Kelas kelima                      :  Lesu dalam percambahan ilmu


Tahap respon

Kelas pertama                   :  Proaktif

Kelas kedua                       : Aktif

Kelas ketiga                       :  Reaktif

Kelas keempat                  :  Taklid / mengikut

Kelas kelima                      :  Pasif


Sumbangan

Kelas pertama                   :  Dasar, polisi dan membawa perubahan pemikiran

Kelas kedua                       : Bernilai tambah dan sukarela

Kelas ketiga                       :  Sumbangan yang biasa

Kelas keempat                  :  Sumbangan apabila dipaksa

Kelas kelima                      :  Tidak menyumbang


Kedudukan dalam masyarakat

Kelas pertama                   :  Tokoh

Kelas kedua                       : Pemimpin

Kelas ketiga                       :  Penyokong

Kelas keempat                  :  Pemerhati

Kelas kelima                      :  Beban masyarakat


Prinsip

Kelas pertama                   :  Teguh dan memperjuangkan prinsipnya

Kelas kedua                       : Berprinsip

Kelas ketiga                       :  Pak turut

Kelas keempat                  :  Atas pagar

Kelas kelima                      :  Kabur


Isu-isu

Kelas pertama                   :  Peka dan prihatin
Kelas kedua                       : Ambil berat

Kelas ketiga                       :  Faham

Kelas keempat                  :  Tahu

Kelas kelima                      :  Tidak kesah


Kritikan

Kelas pertama                   :  Konstruktif, kritikal dan kreatif

Kelas kedua                       :  Kritikan positif tanpa hujah

Kelas ketiga                       :  Mengutuk

Kelas keempat                  :  Senyap

Kelas kelima                      :  Pengampu

Walaahu’alam.

( Melayu mentaliti kelas pertama : antara impian dengan kenyataan )


Ya Allah! Sesungguhnya  daku menyerahkan imanku ini kepada peliharaan Mu, tetapkanlah imanku itu, semasa hidupku, semasa matiku, dan selepas matiku. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu…….ameen Ya Rabb.