Wednesday, January 4, 2012

SALAMAH BIN DINAR ( Bahagian 6 )

Pada suatu ketika, Salamah bin Dinar keluar bersama para tentera Islam mara ke negara Rom untuk berjihad di jalan Allah. Apabila tiba di medan peperangan, mereka  mengambil peluang untuk berehat terlebih dahulu sebelum bertemu musuh dan memulakan serangan. Turut serta bersama tentera ini ialah salah seorang putera Bani Umayyah.

Putera ini menghantar seorang utusan kepada Abu Hazim dengan menyebut : ” putera menjemput tuan untuk berbual dan mempelajari agama.”

Lalu Abu Hazim membalas surat kepada putera tadi dengan menyebut: “ Wahai putera, saya telah menemui ramai ilmuan. Mereka tidak pernah datang membawa agama kepada ahli dunia. Saya rasa engkau sendiri tidak mahu saya menjadi orang pertama yang melakukannya. Jika engkau ada sesuatu keperluan datanglah berjumpa saya. Salam sejahtera untukmu dan mereka yang bersamamu.”

Apabila membaca surat Abu Hazim itu, dia pun pergi menemuinya dan mengalu-alukannya. Putera Bani Umayyah ini berkata: ” Wahai Abu Hazim, sebaik sahaja saya membaca surat tuan, semakin hormat saya kepada tuan. Berikanlah saya nasihat semoga Allah memberikan tuan ganjaran.”

Lalu Abu Hazim memberikannya nasihat, di antara kata-kata nasihatnya :

” Lihatlah apa yang engkau ingin miliki di akhirat dan berusahalah untuk memperolehinya di dunia. Lihatlah apa yang engkau tidak suka di akhirat kelak dan berusahalah untuk mengelakkannya di dunia ini.”

” Wahai putera Bani Umayyah sedarlah, jika engkau inginkan kesesatan, orang-orang yang sesat dan munafik akan datang dan mengerumunimu. Jika engkau inginkan kebenaran, orang-orang yang baik akan mengerumunimu dan mereka akan membantumu. Pilihlah mana satu yang engkau mahu.”

Sumber : Abdul Rahman Ra’fat al-Basha.(2003). 37 Kisah kehidupan Tabi’in Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Salam : 256 - 257



No comments:

Post a Comment