” Wahai Abu Hazim, nyatakanlah apa-apa permintaanmu”.
Abu Hazim terdiam sejenak tidak menjawab.
” Nyatakanlah permintaanmu wahai Abu Hazim, saya akan tunaikan walau apa sekalipun.” Sulaiman mengulanginya.
” Permintaan saya ialah semoga engkau selamatkan saya dari neraka dan masukkan saya ke dalam surga,” akhirnya dia menjawab soalan itu.
” Itu bukan kuasa saya, wahai Abu Hazim.”
” Saya tiada permintaan lain selain itu, wahai Amirul Mukminin.” jawab Abu Hazim.
” Doakanlah saya wahai Abu Hazim.” pinta Sulaiman
Abu Hazim mengangkat tangannya dan berdoa: ” Ya Allah, jika Sulaiman hambaMu ini adalah pengikutMu, berikanlah kemudahan kepadanya untuk memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Jika dia adalah musuhmu, bimbinglah dia kepada perkara yang Engkau suka dan Engkau redhai.”
Salah sorang hadirin yang mengikuti perbualan mereka bangun dan berkata: ” Inilah kata-kata yang paling buruk engkau ucapkan semenjak engkau masuk menemui Amirul Mukminin. Engkau letakkan khalifah Islam sebagai musuh Allah dan engkau sakitkan hatinya. ”
Abu Hazim menjawab : ” Apa yang engkau katakan itulah yang buruk. Allah telah membuat perjanjian dengan ulama bahawa mereka perlu mengatakan yang benar. Allah berfirman :
” Demi sesungguhnya? Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya.” [ maksud Aali Imran : 187 ]
Salamah bin Dinar ( Abu Hazim) kemudian memandang khalifah dan berkata : ” Wahai Amirul Mukminin, masyarakat ini kekal kebaikan dan kesejahteraan selagi pemerintah mereka menemui ulama yang ada di kalangan mereka.Selepas itu, ada di kalangan masyarakat ini yang hina, mereka belajar ilmu dan mendekatkan diri mereka dengan pemerintah semata-mata untuk memperolehi sedikit kesenangan dunia.Hasilnya, pemerintah tidak lagi memerlukan ulama. Akhirnya mereka ini tidak memperolehi apa-apa dan kecundang. Nilai mereka ini pun turun di mata Allah Azza wa Jalla. Jika para ulama tidak mencari kurniaan pemerintah,sudah tentu para pemerintah akan mencari ilmu mereka. Malangnya mereka mencari pemberian pemerintah menyebabkan pemerintah tidak mencari mereka malah memperlekehkan mereka.
” Benar, nasihatlah saya lagi wahai Abu Hazim. Tidak pernah saya melihat hikmah itu keluar daripada mulut seseorang seperti engkau, : kata Sulaiman.
” Jika engkau seorang yang boleh menerima dan mengamalkannya, apa yang saya katakan tadi sudahpun memadai. Jika engkau bukan orang yang boleh menerima dan mengamalkannya, tidak perlu saya curahkan air ke daun keladi.” sambung Abu Hazim.
” Namun saya memohon agar engkau nasihatkan saya lagi, wahai Abu Hazim,” pinta Sulaiman lagi.
” Boleh, saya akan nasihatkan secara ringkas. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla. Elakkan supaya Dia tidak melihat engkau melakukan apa yang dilarangNya. Pastikanlah Dia hanya melihat engkau melakukan apa yang diperintahkanNya.”
Abu Hazim kemudiannya memberi salam dan berlalu pergi. Sulaiman pun mengangkat tangan dan berdoa ” ” Moga Allah memberikan ganjarannya kepadamu, wahai orang alim yang memberi nasihat.”
Sumber : Abdul Rahman Ra’fat al-Basha.(2003). 37 Kisah kehidupan Tabi’in Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Salam : 253 - 254
No comments:
Post a Comment