Sunday, January 8, 2012

40 Petua Persaraan ( 1 )


1. Elakkan konflik

Pesara perlu mengelakkan  dirinya daripada terjerumus ke dalam kancah konflik samada dalam keluarga, masyarakat atau diri sendiri (intrakonflik). Mengalah tidak bererti kalah. Cuba dapatkan latihan sendiri dan berfikir bagaimana hendak mempelajari dan mengamalkan falsafah ‘win-win’. 

Dalam falsafah ini, kesemua pihak yang bertelingkah tidak menang dan juga kalah. Mereka membina satu pakatan atau rancangan yang  boleh menguntungkan kesemua pihak. Dalam falsafah ini, ’kek’ tersebut sebagai satu pakatan / rancangan besar yang mana hasil pelaburannya dinikmati bersama-sama tanpa memotong-motong kek tersebut.

Dalam budaya kita, kita dapati ada peribahasa , ’seperti menarik rambut di dalam tepung’. Jangan cari fasal nak gaduh. Kalau tidak, pesara akan jatuh sakit, akibat darah tinggi dan kencing manis.

2. Sentiasa bersenang hati

Dengarlah muzik, lagu-lagu dan menonton rancangan TV yang menarik. Pergilah ’outing’ supaya hati tidak panas. Sentiasa senyum dan senangkan hati. Jangan fikir masalah yang berat-berat. Jadikan diri anda sebahagian daripada penyelesaian masalah, bukan sebahagian daripada masalah. Jangan amalkan sikap tidak senang melihat orang lain senang. Bersihkan hati supaya hati kita senang dan kita pun senang juga. Kalau tidak senang hati, banyak penyakit akan masuk  ke dalam diri kita, seperti dengki, cemburu, fitnah-memfitnah dan sakit hati. Bacalah buku, majalah dan kitab-kitab agama yang boleh menyenangkan hati.

3. Jaga kesihatan

Pesara perlu ambil riadah yang ringan dan sesuai bagi menjaga tahap kesihatan. Berjumpalah dengan doktor apabila terasa sakit. Seorang rakan saya, seorang pesara pilihan akan mengambil riadah dengan cara berjalan-jalan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit tiap-tiap kali. Siapkan seluar, baju dan kasut khas untuk berjalan-jalan di kawasan yang tidak sibuk dengan kenderaan.

4. Perlu vitamin untuk kesegaran kesihatan

Sebagai seorang yang sudah mencapai usia 50-an tentu sekali terdapat sel-sel badan yang tumbuh berganti sementara sel-sel yang lain beransur-ansur mati, tetapi berganti. Yang berbeza di antara usia muda dengan usia lanjut ialah ’speed’. Justeru itu, pesara perlu mengambil vitamin lebih daripada ubat. Vitamin hendaklah diambil dengan nasihat doktor.

5. Elak makan banyak-banyak

Berhenti makan sebelum kenyang. Makan ulam, sayur dan buah-buah banyak-banyak sebagai ’snek’. Budaya makan harus disesuai dengan peringkat umur.

6. Jelaskan hutang sebelum bersara

Sebelum merancang untuk bersara awal atau sebelum sampai waktunya untuk bersara wajib (paksa), pesara dinasihat menjelaskan semua hutang-hutang  yang ada samada dengan pihak kerajaan atau bank. Mungkin ada pesara yang merancang  program pembayaran balik hutang atau pinjaman semasa persaraan setelah dibuat perkiraan terperinci. Soalnya, apa pun kaedahnya jangan bayar hutang semasa sedang bersara kecuali dividen itu sendiri mampu menjelasnya. Pesara tidak harus mengikat diri dan mengikat perut dengan bebanan hutang. Hidup semasa persaraan mestilah bergerak ke arah kesenangan tanpa banyak hutang piutang.

7. Cari pendapatan tambahan
Sekiranya boleh, pesara boleh juga sambil menyelam minum air. Carilah apa jua pekerjaan yang sesuai dengan aset yang ada pada pesara bagi menambahkan pendapatan supaya dapat balik jumlah pendapatan seperti jumlah pendapatan sebelum bersara. Tetapi ini janganlah dibuat secara paksaan. Tengok-tengoklah peluang berkursus dalam bidang perniagaan. Ataupun berjinak-jinak dengan perniagaan dari rumah sendiri dengan bantuan isteri atau suami dan keluarga. Ataupun bergiat aktif dalam pasaran saham secara berhati-hati.

8. Penggunaan gratuiti yang betul

Sekilas pandang dan sekali kira jumlah gratuiti yang diterima pesara  merupakan satu jumlah yang besar. Tetapi apabila dipandang  dan dikira beberapa kali, jumlah tersebut amat kecil walaupun ia dapat digunakan untuk pelbagai tahun. Pemberian gratuiti perlulah dilabur dalam apa jua perniagaan atau pasaran saham yang kukuh. Pesara juga mungkin cenderung untuk membuat tabungan atau simpanan tetap di bank-bank tertentu yang membolehkan seseorang pesara itu memperolehi pulangan tahunan.

Jumlah pulangan ini pasti akan dapat menampung keperluan pesara sekeluarga dalam aktiviti-aktiviti persaraan tahunan pesara seperti pakaian anak-anak pada hari raya, belanja membuat kuih-muih pada hari raya dua kali setahun, membayar bil cukai pintu, cukai kenderaan, balik kampung, yuran kolej swasta dan lain-lain lagi dalam perancangan tahunan persaraan. Pesara akan dapat dividen dan bonus dari pelaburan saham ini akan dapat membantu pesara sekeluarga sekiranya dirancang dan dilaksanakan dengan betul di peringkat perancangan tahunan.

9. Usah banding dengan orang lain daripada segi prestasi dan anak

Satu petua yang amat mustahak diingat ialah janganlah sekali-kali pesara membanding-bandingkan pendapatannya dengan pendapatan jiran atau dengan orang lain. Kalau mula membanding tentu pesara akan rasa kecewa dan putus asa. Ini kerana pendapatan pesara sudah tinggal separuh sahaja. Sementara jirannya yang tidak bersara lagi mempunyai pendapatan penuh. Pesara juga jangan bandingkan prestasi pencapaian anaknya dengan anak-anak jiran atau orang lain. Tiap-tiap manusia itu berkembang dan maju mengikut perkembangan tersendiri dan ini muktamad ditentukan oleh Tuhan. Pesara juga jangan banding kedudukannya dengan kedudukan orang lain, peralatan seperti perabot di rumahnya dengan perabot rumah orang lain, pendek kata jangan ’compare’ dalam persaraan.

10. Minum air masak banyak-banyak

Pesara harus minum air masak banyak-banyak. Kurangkan pengambilan gula dalam minuman. Minumlah air buah-buahan.


( Dunia Pesara, Abd Halim Hj Hassan )

No comments:

Post a Comment