11. Tambah ibadat
Pesara perlu bersikap sedia untuk mati. Justeru tambahlah ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirt. Berjinak-jinaklah dengan surau dan masjid sekiranya sebelum ini kegiatan tersebut berkurangan. Ibadat dapat memberi ketenangan jiwa dan sebagai makanan rohani. Jangan bermasam muka dan terjerumus dalam kancah konflik di surau dan masjid kerana tempat ini pun tidak sunyi daripada pertelingkahan walaupun hamper semua ahli jemaahnya terdiri daripada pesara-pesara.
12. Jangan takut mati.
Pesara diingatkan janganlah risau dan takut mati. Hidup mesti berakhir dengan kematian. Orang Islam khususnya akan terus hidup selepas mati nanti. Walaupun semua orang akan mati, tetapi ini tidak bererti pesara harus sentiasa takutkan kematian sehingga tidak langsung berusaha untuk hidup di peringkat dunia.
13. Urus perbelanjaan dengan cermat.
Belanjalah yang perlu sahaja. Ada pesara yang membuat empat ‘sampul surat ’ untuk empat minggu di mana satu-satu sampul surat itu mengandungi sejumlah wang cukup untuk satu-satu miinggu. Pengagihan sebegini dikatakan dapat menjamin cukupnya perbelanjaan selain daripada memastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Jangan pedulikan apa yang orang lain kata. Kalau perlu, naik bas daripada naik teksi.
14. Isikan masa dengan melakukan sesuatu
Salah satu daripada masalah yang sering dihadapi ialah soal mengisi masa lapang. Pesara harus ingat bahawa hidup tanpa berfikir atau hidup tanpa melakukan sesuatu akan menyebabkan kehidupan pesara membosankan. Masa perlu diisi. Dan untuk ini ia mesti dirancang dan difikirkan dalam program perancangan persaraan.
15. Jangan tidur dan rehat banyak sangat
Pesara harus ingat bahawa tidur dan rehat yang melebihi tahap yang sepatutnya hanya akan membawa mala petaka kepada pesara dan keluarga. Bersara bukanlah bererti tidur dan rehat terus tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah. Kalau tidur dan rehat banyak sangat, pesara akan jatuh sakit.
16. Carilah kebahagiaan dan jadikanlah orang tua yang boleh diketengahkan.
Baki hidup mungkin cuma tinggal tidak sampai separuh lagi daripada jumlah masa hidup. Oleh itu carilah kebahagiaan. Senangkanlah hati dan jangan susah hati menarik muka masam. Pesara bermuka masam akan kelihatan sangat buruk. Jadilah diri sendiri sebagai teladan kepada anak cucu. Sesuaikan diri agar pesara boleh diketengahkan sebagai orang tua dalam masyarakat.
17. Hidup secara sederhana.
Kesederhanaan dalam hidup adalah sebaik-baik gaya cara hidup bagi manusia. Dengan cara ini dapatlah pesara mengelakkan diri daripada berlaku ego hingga lupa diri siapa kita dan dari mana asal kita. Dalam setiap gaya cara, ukurlah baju di badan sendiri.
18. Isometriks
Cara yang paling mudah melakukan senaman bagi pesara yang suka duduk di rumah atau kerana hujan atau kesibukan jalan raya ialah dengan mengamalkan senaman kaedah isometriks. Ia adalah satu kaedah senaman di mana pesara mengambil senaman tanpa jarak jauh. Contohnya sambil berdiri ( tanpa berjalan) pesara boleh mengambil banyak jenis senaman. Sambil duduk juga pesara boleh mengambil banyak jenis senaman. Sambil menonton tv pesara juga boleh bersenam tanpa bergerak ke sana ke mari.
19. Luaskan lingkaran pergaulan
Pesara perlu memperluaskan lingkaran pergaulannya dengan keluarga kedua-dua pihak dan juga dengan rakan-rakan tempatan dalam masyarakat. Elakkan diri daripada mengasingkan diri daripada orang ramai.
20. Musim cuti penuh rumah.
Salah satu masa yang amat bermakna bagi pesara sekeluarga ialah masa cuti umum. Waktu ini ramailah anak cucu dan menantu balik kampung beberapa hari menziarahi pesara sekeluarga. Ini juga dapat menggerakkan semangat pesara. Justeru itu pastikan saat-saat manis begini tidak tercemar dan pastikan musim cuti umum, ramai anak cucu dan menantu datang memenuhi rumah.
( Dunia Pesara, Abd Halim Hj Hassan )
No comments:
Post a Comment