Saturday, June 4, 2011

Kualiti komunikasi

Ramai orang sangat pandai bercakap. Tetapi pandai bercakap bukan bererti pandai berbual-bual. Bercakap ialah kegiatan satu orang. Satu orang bercakap, pihak yang lain mendengar. Berbual-bual ialah kegiatan dua orang atau lebih.

Kedua-dua pihak bergilir-gilir bercakap dan bergilir-gilir mendengar. Perbualan yang berjaya ialah perbualan yang berkualiti tinggi. Perbualan yang berkualiti tinggi adalah perbualan yang dijalankan berdasarkan semangat kerjasama. Kedua-dua belah pihak sama-sama ingin saling faham memahami apa yang diucapkan oleh satu sama lain. Sesuatu  perbualan itu dikatakan mempunyai ciri-ciri kerjasama apa bila ia mempunyai sifat-sifat berikut :

a)      Kuantiti cukup-cukup

Apabila bercakap, kita hanya perlu memberikan maklumat yang cukup-cukup sahaja untuk membolehkan orang itu faham apa yang kita maksudkan. Tidak lebih dan tidak kurang. Orang yang bercakap lebih daripada yang sepatutnya disebut ‘banyak mulut’.
Sifat banyak mulut membuat orang lain ‘letih’ mendengar suaranya.

Kalau kita memberikan terlalu sedikit maklumat, orang itu mungkin sukar hendak memahami maksud kita. Orang yang ‘berat mulut’ atau amat pendiam kerap melakukan kesilapan ini.Oleh kerana mereka tidak pandai berbual-bual, satu patah yang ditanya, satu patah yang dijawab.

Akibatnya pihak yang satu lagi mendapati sangat sukar baginya untuk memahami jiwa, perasaan dan fikiran si pendiam itu. Kalau kita memberikan terlalu banyak maklumat, mungkin maklumat itu tidak diperlukannya orang itu, oleh itu dia bosan. Prinsip ini selalu dilanggar oleh orang yang suka bercakap, yang ‘banyak mulut’.Untuk menerangkan perkara yang mudah pun mereka akan bercakap panjang lebar.

b)      Menjaga kepercayaan

Untuk menjaga kepercayaan orang itu, caranya ialah dengan bercakap bekenaan perkara-perkara yang kita tahu adalah benar sahaja.Oleh itu jangan bercakap melainkan berkenaan apa-apa yang kita sudah pasti perkara itu adalah benar.

Kepercayaan orang hilang apabila kita melakukan perkara-perkara berikut :

i)                    Melebih-lebihkan cerita
ii)                   Berbohong
iii)                 Meremeh-remehkan perkara serius
iv)                 Tidak menunjukkan minat

( Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 2001 )

No comments:

Post a Comment