Showing posts with label Kisah sahabat. Show all posts
Showing posts with label Kisah sahabat. Show all posts

Monday, January 2, 2017

Sa’id bin ‘Amir Al-Jumahiy (8)

Dalam sebulan ada satu hari beliau tidak keluar  bertemu kami, jawab mereka.

Bagaimana pula dengan aduan ini wahai Sa’id? Tanya Umar kembalikepadaSa’id sebagai meminta penjelasan.

Jelas Sa’id: Seperti yang saya nyatakan tadi, saya tidak memeliki orang gaji wahai Amirul Mukminin. Saya juga tidak memiliki pakaian lain selain pakaian yang saya pakai ini. Sayamembasuhnya sebulan sekali dan saya tunggu sehingga ia kering. Kemudian barulah saya keluar bertemu mereka pada lewat petang.

Umar bertanya lagi kepada mereka: Apa lagi aduanmu tentang Sa’id.

Sa’id sering pengsan. Ini menyebabkan beliau tidak menyedari sesiapa dalam majlisnya, dakwa mereka.

Bagaimana dengan dakwaan ini Sa’id?, tanya Umar.

Dengan tenang  Sa’id menjelaskan: Saya telah melihat peristiwa  pembunuhan Khubaib bin ’Adiy dan ketika itu saya  masih lagi seorang musyrik. Saya melihat orang Quraisyh memotong anggota badannya sambil mereka bertanya: Adakah kamu suka jika Muhammad menggantikan tempatmu? Lantas Khubaib menjawab: Demi Allah! Saya tidak rela sekiranya saya selamat, duduk bersama isteri dan anak-anak sedang Muhammad dicucuk duri.

Demi Allah! Saya tidak mampu mengingati tragedi ngeri tersebut. Bagaimana saya boleh membiarkannya diperlakukan sedemikian sedangkan saya tidak membantunya. Saya merasakan Allah tidak mengampunkan kesalahan saya tersebut....sebab itulah saya jatuh pengsan.

Dengan nafas lega Umar berkata: Segala puji-pujian bagi Tuhan yang tidak mengecewakan sangkaan baik saya terhadapnya.

Kemudian Umar bin al-Khatthob menghantar 1,000 dinar untuk membantu Sa’id mengurus kehidupan sehariannya.

Apabila si isteri melihatnya, dia berkata kepda si suami : Segala puji=-pujian bagi Tuhan yang telah mengurniakan kekayaaan dan kamu tidak perlu lagi bersusah payah melayani kami. Belikanlah makanan dan carilah orang gaji untuk saya.

Adakah kamu ingin perkara yang lebih baik daripada ini, tanya Sa’id.

Apa dia? Tanya isterinyaingin tahu.

Kitaberikan dinar ini kepada orang yang datang memerlukannya, sekalipun kitalebih memerlukannya, jelas Sa’id.

Apa dia? Tanyaisterinya lagi.

Jawab Sa’id: Kita pinjamkannya kepada Allah dalam bentuk pinjaman yang baik.

Baiklah.......mudah-mudahan kamu dianugerahkan kebaikan.......balas isterinya.

Belum sempat beliau meninggalkan majlis tersebut, beliau mengambil wang dinar dan mengagihkannya ke dalam beberapa uncang. Sa’id berkata kepada salah seorang ahli keluargannya: Pergi dan berikan uncang ini kepada jandasi polan, anak yatim si polan, miskin keluarga si polan dan fakir keluarga si polan.

Mudah-mudahan Allah meredai Sa’id bin ’Amir al-Jumahiy. Beliau lebih mengutamakan orang lain berbanding diri dan keluargannya sendiri meskipun mereka sendiri hidup dalam keadaan yang amat susah dan memerlukan.


Wallahu ’alam

Dr.Abdul Rahman Ra’fat al-Basha
65 Gambaran Kehidupan Sahabat
Pustaka Salam, 2006 

Saturday, September 24, 2016

Sa’id bin ‘Amir Al-Jumahiy (5)

Ketika itu juga Umar bin al-Khattab menawarkan Sa’id menjadi pembantunya, kata beliau: Wahai Sa’id, saya lantik kamu menjadi gabenor di Hims. Jawab Sa’id: Wahai Umar saya bersumpah dengan nama Allah, janganlah kamu menyesal dan menyerahkan saya kepada dunia.

Kamu pikulkan urusan pemerintahan ini ke tengkuk saya, kemudian kamu hendak berlepas tangan. Demi Allah! Saya tidak akan membiarkan kamu bersikap begitu! Bentak Umar.

Kemudian beliau dilantik menjadi gabenor di Hims. Umar bertanya: Bukankah kami mesti menyediakan imbuhan untukmu?

Jawab beliau: Apa gunanya, wahai Amirul Mukminin? Sesungguhnya pemberian daripada baitulmal telah melebihi keperluan saya.

Setelah itu beliau pun berangkat ke Hims.

Wallahu ’alam

Dr.Abdul Rahman Ra’fat al-Basha
65 Gambaran Kehidupan Sahabat
Pustaka Salam, 2006

Thursday, September 22, 2016

Sa’id bin ‘Amir Al-Jumahiy (4)

Setelah itu Sa’id bin ‘Amir berhijrah ke Madinah dan berdamping dengan rasulullah saw. Beliau juga menyertai baginda dalam peperangan Khaibar dan siri peperangan lain selepas itu.

Apabila nabi saw menemui Ilahi yang meredhainya, Sa’id tetap menjadi pedang tajam yang dimiliki oleh khalifah Abu Bakar dan Umar. Kehidupannya merupakan model unggul dan gemilang bagi mukmin yang membeli akhirat dengan harga dunia.Beliau jugamodel bagi individu yang mengutamakan keredhaan dan ganjaran Allah berbanding runtunan nafsu syahwat dan tuntutan jasmani.

Kedua-dua orang khalifah kenal benar dengan kejujuran dan ketakwaan Sa’id bin ‘Amir. Mereka mendengar nasihat bahkan mengambil pandangan beliau.

Suatu hari beliau datang menghadap Umar bin al-Khattab yang baru dilantik menjadi khalifah. KataSa’id: Wahai Umar, saya berpesan kepadamu agar gentar dengan Allah dalam menguruskan hal ehwal rakyat. Jangan sekali-kalikamu gerun dengan manusia dalam menunaikan hak-hak Allah. Janganlah kata-katamu tidak bertepatan dengan perbuatan. Lantaran perkataan yang  terbaik adalah perkataan yang sejajar dengan perbuatan.
 
Wahai Umar, prihatinlah terhadap urusan rakyat yang dipertanggungjawabkan Allah kepadamu. Sama ada yang dekat mahupun yang jauh. Sayangilah mereka sebagaimana kamu menyayangi diri dan keluargamu. Lindungilah mereka daripada perkara yang tidak diingini sebagaimana kamu tidak ingin ia menimpa diri dan keluargamu. Bergelumbanglah dalam kebenaran dan jangan gentar dengan celaan dalam menegakkan hukum Allah.

Lalu Umar bertanya: Siapa yang mampu melakukan perkara tersebut wahai Sa’id?

Ia mampu dilakukan oleh individu sepertimu. Iaitu individu  yang dilantik oleh Allah mengurus urusan umat Muhammad, sedangkan tiada perantara antaranya dengan Allah, jawab Sa’id.

Wallahu ’alam

Dr.Abdul Rahman Ra’fat al-Basha
65 Gambaran Kehidupan Sahabat
Pustaka Salam, 2006

Saturday, September 17, 2016

Sa’id bin ‘Amir Al-Jumahiy (2)

Setelah selesai, beliau melihat Khubaib menghadap pembesar Quraisyh seraya berkata: Demi Allah! Jika tidak kerana kamu akan beranggapan bahawa saya memanjangkan sembahyang kerana takut mati, nescaya saya memanjangkan sembahyang saya…….

Kemudian beliau melihat dengan kedua matakepalanya, mereka memotong anggota badan Khubaib yang masih hidup. Mereka mengerat satu demi satu seraya berkata: Adakah kamu suka jika Muhammad menggantikan tempatmu dan kamu selamat?

Khubaib berkata dengan darah berlumuran di seluruh tubuhnya. Demi Allah! Saya tidak rela sekiranya saya selamat, duduk bersama isteri dan anak-anak sedang Muhammad dicucuk duri.

Orang ramai mengangkat seraya menjerit: Bunuh dia…..bunuh dia…..!!!

Sa’id bin ‘Amir melihat Khubaib yang terikat di kayu berpalang mendongakkan wajahnya ke langit seraya berkata: Wahai Allah hitunglah bilangan mereka, hancur leburkanlah mereka dan jangan kamu biarkan mereka walaupun seorang.

Kemudian beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pada tubuhnya tidak terkira berapakah tetakan pedang dan tusukan lembih yang menghujaninya.

Wallahu ’alam

Dr.Abdul Rahman Ra’fat al-Basha
65 Gambaran Kehidupan Sahabat
Pustaka Salam, 2006

Friday, September 2, 2016

Anas bin Malik Al-Anshori (1)

Anas bin Malik diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh ibunya Ghumaisho’ ketika masih usia kanak-kanak. Sanubarinya dipenuhi ibunya dengan rasa cinta terhadap nabi Muhammad saw.

Anas dilamun cinta mendengar kisah nabi saw. Bukanlah pelik, ada kalanya hati rindu ingin mendengar berita walaupun mata masih belum melihat lagi bertentangan.

Anak ini amat bercita-cita untuk mejejaki nabi di Mekah. Atau kalau boleh rasul saw yang agung datang ke Yatsrib agar dia gembira dapat melihatnya dan girang bertemunya.

Tidak berapa lama, Yatsrib kota yang bertuah dan beruntung dikejutkan dengan berita gembira. Berita bahawa nabi saw dan sahabatnya Abu Bakar as-Shiddiq dalam perjalanan menuju Yatsrib. Mendengar berita tersebut, keriangan memenuhi setiap rumah dan kegembiraan mengisi setiap perasaaan…..

Mata dan hati tertaut dengan jalan yang akan dilalui oleh nabi saw dan sahabatnya untuk sampai ke kota Yatsrib.

Setiap menjelang pagi anak-anak berarak girang, Muhammad datang. Muhammad datang……jerit mereka.

Anas dan teman-teman sebayanya berlari ke arah  anak-anak yang menjerit. Namun dia tidak melihat pun  kelibat Muhammad saw. Lalu dia pulang kecewa dan sedih.

Wallahu ’alam

Dr.Abdul Rahman Ra’fat al-Basha
65 Gambaran Kehidupan Sahabat
Pustaka Salam, 2006 ms 1-2

Saturday, March 2, 2013

Puisi Permata Budi (4)


Sehelai kertas undi

Sempurnalah sebuah kebenaran
daripada sehelai kertas undi
memutuskan keadilan
atau menghancurkan sebuah harapan.

Menjadi pisau yang memotong
lidah yang sedang melindungi
kepada akar kepada buminya
dari fitnah kepada kebenarannya.

Seorang perempuan tua
telah dibelai tangannya
untuk memangkah satu simbol
diatur janji selepas ini
dibuai dengan seribu janji
suara lembut tetapi memaksa
kebebasannya ditindih rupanya.

Ia tersenyum dan merahsiakan
satu harapan telah dicipta
bersama sehelai kertas undi
erti demokrasi masih tidak difahami.

Ahmad Sarju
September 1988

Sunday, February 10, 2013

Hisab kendiri


Hisablah dirimu sebelum kamu semua dihisab dan nilailah dirimu sebelum kamu semua dinilai. Sebabnya, esok hisab akan lebih ringan bagi kamu jika hari ini kamu menghisab dirimu. Dan bersiap sedialah kamu semua menghadapi hari paling agung, di mana pada hari itu kamu dihadapkan kepada Tuhanmu, tiada satupun dari keadaanmu yang tersembunyi bagi Allah.

Umar b Al-Khattab

Cincin dijemarinya tertulis :  Cukuplah mati sebagai nasihat bagimu, wahai Umar.

Wallaahu a’lam.

Tokoh-tokoh besar Islam sepanjang zaman
Syeikh Muhammad Said Mursi.

Tuesday, January 15, 2013

Tanah dirian masjid


Suatu ketika, Umar bin Al-Khattab memaksa Abbas bin Abdul Muthalib (bapa saudara rasulullah saw) agar melepaskan tanah rumahnya untuk dijadikan sebagai tanah meluaskan masjid tetapi dia menolak. Mereka akhirnya sepakat meminta keputusan hukum daripada Ubai bin Ka’ab.

Kepada mereka, Ubai mengatakan : Sesungguhnya Allah telah mewasiatkan kepada Daud agar Daud membangunkan sebuah rumah ibadah (masjid) yang namaNya disebut di dalamnya. Daud kemudian membuat lakaran bangunan masjid Al-Aqsa. Akan tetapi, tanah masjid yang akan dibangunkan merangkumi tanah milik seorang warga Bani Israel. Daud pun memohon agar warga Yahudi itu supaya menjual tanah miliknya, tetapi dia menolak. Kemudian Daud menyatakan akan mengambil tanah milik warga Yahudi secara paksa. Lalu Allah menurunkan wahyu kepada Daud, wahai Daud, Aku menyuruhmu untuk membangunkan sebuah rumah ibadah agar namaKu disebut di dalamnya. Akan tetapi kamu ingin membangunkannya di atas tanah yang dirampas secara paksa. Maka dari itu, hukumanmu adalah, kamu tidak boleh membangunkan rumahKu di atas tanah itu. Daud menjawab : Ya Tuhanku, bagaimana jika tanah itu diambil secara paksa dari harta milik anakku. Tuhan berfirman, meskipun tanah milik anakmu.

Kemudian Umar mengatakan kepada Abbas : Pulanglah, aku tidak akan mengambil secara paksa tanah tempat tinggalmu. Abbas menjawab : Jika kamu tetap ingin memperluaskan bangunan masjid itu, maka aku akan mewakafkan tanah itu bagi orang Muslimin dalam usaha untuk memperluaskan bangunan fizikal masjid.

Wallaahu a’lam.

(Tokoh-tokoh besar Islam sepanjang zaman; Syeikh Muhammad Sa’id Mursi)

Sunday, January 13, 2013

Miqdad bin Amr


Nama lengkapnya Miqdad bin Amr bin Tsa’labah Al-Bahrani Al-Kindi, biasa dipanggl Abu Amr. Dia dilahirkan 37 tahun sebelum Hijrah.

Ayahnya pernah berkelahi dengan Ibnu Syamr Al-Kindi, lalu Miqdad menikam Ibn Syamr dengan sebilah pedang, kemudian lari ke Mekah. Di Mekah, dia dijadikan anak angkat oleh Aswad bin Abd Yaphuts Az-Zuhri. Sejak ketika itu, dia dipanggil dengan nama Miqdad bin Aswad. Setelah larangan tentang penggunaan nama anak angkat turun, dia lalu dipanggil dengan nama Miqdad bin Amr.

Dia adalah salah seorang dikalangan tujuh orang yang menunjukkan keIslamannya di Mekah.

Dia adalah Muslim pertama yang berperang pada jalan Allah dengan menunggang kuda dan termasuk salah seorang di antara tiga pasukan berkuda dalam Perang Badar. Mereka adalah Miqdad, Zubair dan Murtsad.

Rasulullah pernah bersabda : Sesungguhnya Allah menyuruhku supaya mencintai empat orang dan dia memberitahuku bahawa dia mencintai mereka, yakni Ali bin Abi Talib, Miqdad bin Amr, Abu Dzar Al-Ghafari dan Salman Al-Farisi.

Dia turut serta dalam Perang Badar dan turut memberikan pendapatnya setelah Abu Bakar dan Umar bin Al-Khattab ketika nabi bermusyawarah dengan para sahabatnya. Pada ketika itu, dia menyatakan : Wahai rasulullah, lakukanlah apa yang telah diperintahkan Allah kepada kamu dan kami (kaum Ansar) akan tetap bersama kamu. Demi Allah, kami tidak akan mengatakan kepada kamu ucapan yang pernah diucapkan oleh Bani Israel kepada nabi Musa, pergilah kamu bersama Tuhanmu dan berperanglah, kami akan tetap duduk di sini. Kami akan mengatakan kepada kamu, pergilah kamu bersama Tuhanmu untuk berperang dan kami akan menyertai kamu untuk berperang. Demi Zat yang telah mengutus kamu membawa kebenaran, seandainya kamu mengajak kami ke Bark Al-Gumad, kami tetap mengikut kamu sampai ke sana dan kami akan berperang bersama kamu hingga Allah memberikan kemenangan kepada kamu.
 
Suatu hari, dia menolong seorang yang teraniaya, lalu dia mengatakan, aku akan mati dan ketika itu Islam sudah memiliki kedudukan yang kuat.

Dia meriwayatkan 48 hadis dari nabi.

 Dia selalu menyebut-nyebut sabda nabi, kebahagiaan itu adalah bagi orang yang menjauhkan dirinya dari fitnah.

Wallaahu a’lam.

(Tokoh-tokoh besar Islam sepanjang zaman; Syeikh Muhammad Sa’id Mursi)

Friday, December 14, 2012

Abdullah bin Haram


Nama lengkapnya Abdullah bin Haram bin Tha’labah Al-Ansari Al-Khazraji, biasa dipanggil Abu Jabir.

Dia termasuk salah seorang di kalangan 70 orang Ansar yang membai’at Rasulullah dalam Bai’at Aqabah II dan termasuk salah seorang di antara 12 pemimpin Ansar yang terpilih dalam peristiwa bai’ah tersebut.

Dia turut serta dalam Perang Badar dan berperang menentang musuh bak seorang pahlawan agung.

Sebelum mara ke medan tempur dalam Perang Uhud tahun 3H, dia mengatakan : Aku tidak melihat diriku kecuali gugur dalam peperangan ini, bahkan aku berharap mudah-mudahan aku orang pertama yang gugur sebagai syahid dari barisan orang Muslimin.

Dia gugur sebagai pahlawan syahid dalam Perang Uhud. Ketika Rasulullah saw melihat anaknya, Jabir bin Abdullah dan keluarganya menangisi jenazah Abdullah bin Haram, Rasulullah mengatakan kepada mereka : Kamu semua menangis atau tidak menangisinya, sesungguhnya malaikat tetap sahaja menaunginya dengan sayapnya.

Suatu hari, Rasulullah saw mengatakan kepada anak lelakinya, Jabir : Wahai Jabir, Allah sama sekali tidak pernah bercakap dengan seorang hamba kecuali dari sebalik hijab (tabir) dan Allah telah bercakap dengan ayahmu secara terus (berhadapan). Kemudian Rasulullah menceritakan kepada Jabir tentang cita-cita ayahnya yang memohon agar dia hidup kembali agar dia dapat berperang pada jalan Allah. Dia berdoa pada Tuhannya, Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepada orang yang masih berada di belakangku (yang masih hidup) kenikmatan yang telah kamu anugerahkan kepada kami. Lalu turunlah firman Allah swt :

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. ( Surah Al-Imran: 169-170)

Rasulullah saw menyuruh para sahabat supaya mengebumikan jasadnya bersama jasad Amr bin Jumuh dalam satu kubur kerana semasa hidup mereka berdua saling mencintai.

Wallaahu a’lam.

( Tokok-tokoh besar Islam sepanjang zaman; Syeikh Muhammad Sa’id Mursi )

Monday, August 6, 2012

Utsman bin Affan

Tatkala  kafilah miliknya tiba dari Syam dan para saudagar datang mahu menjual dengannya , Utsman bin Affan menyatakan : Aku bayar lebih dari itu. Lantas mereka pun bertanya : Selain kami, tiada pedagang di kota ini dan tiada yang mendahului kami menjual sesuatu kepadamu. Siapakah yang membayar harga lebih banyak dari harga yang kami berikan.

Utsman menjawab : Sesungguhnya Allah yang melipat gandakan sepuluh dirham untuk setiap dirham. Apakah kalian mempunyai tambahan? Sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah bahawa aku jadikan segala yang dibawa kafilah ini sebagai sedekah bagi kaum Muslimin yang fakir. Aku tidak mencari dirham dan dinar dari sesiapa pun. Aku hanya mencari pahala dan redha Allah.

Rasulullah saw juga telah bersabda bilamana beliau mengirim beratus ekor unta lagi dengan seribu dinar emas kepada nabi bagi keperluan perang Tabuk. Kata baginda : Wahai Utsman! Allah mengampunimu atas sesuatu yang engkau sembunyikan, apa yang engkau tunjukkan, sesuatu yang ada padamu dan sesuatu yang terjadi sampai hari kiamat.

Sebelum kematiannya, Utsman  bermimpi melihat nabi dan dua sahabatnya; Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Nabi berkata padanya: Berbukalah bersama kami malam ini, wahai Utsman!

Tepat pada hari jumaat, lapan belas Dzulhijjah beliau meninggal dunia, terbunuh dalam keadaan aurat yang tertutup dengan berseluar panjang, haus lantaran berpuasa dan sedang membaca Al-Quran yang masih terbuka di hadapannya.

Wallahu a’alam.

( 65 manusia langit; Pustaka Azhar )

Friday, August 3, 2012

Abu Hurairah Ad-Dausi ( II )

Abu Hurairah memiliki seorang hamba wanita bangsa Zinji yang berbuat jahat dan menyusahkan keluarganya. Abu Hurairah mengangkat cambuk untuk memukulnya. Kemudian dia  berkata : Kalau bukan kerana balasan di hari kiamat, aku akan menyakitimu seperti kau telah berbuat jahat kepada kami. Aku akan menjualmu kepada orang yang berani membayar hargamu, sedangkan aku enggan melakukannya. Pergilah, kamu dibebaskan kerana Allah SWT.

Beliau juga mempunyai anak gadis.  Suatu ketika berkatalah anak itu padanya : Wahai ayah! Teman-teman mengejekku kerana ayah tidak pernah menghiasiku dengan emas!

Jawab Abu Hurairah : Wahai anakku! Katakanlah kepada mereka bahawa aku takut panasnya api neraka akan membakarku.

Sewaktu Marwan Ibnu Hakam mengujinya dengan menuntut semula kiriman seratus dinar emas, Abu Hurairah memberitahu : Saya telah infaq wang itu kerana Allah. Tiada satu dinar pun ada di rumahku. Apabila bahagianku keluar, maka ambillah bahagianku di Baitulmal.

Manakala sewaktu diziarahi Marwan sewaktu beliau sakit dan berdoa agar Allah menyembuhkannya, Abu Hurairah menjawab : Ya Allah! Sungguh aku senang untuk bertemu denganMu. Maka cintailah pertemuanku dan segeralah bertemu denganku.

Wallahu a’alam.


( 65 manusia Langit; Pustaka Azhar )

Thursday, August 2, 2012

Abu Hurairah Ad-Dausi ( I )

Abu Hurairah mencintai ilmu untuk orang lain seperti halnya dia mencintai untuk dirinya sendiri. Ketika melalui pasar Madinah, ia terkejut dengan kesibukan orang-orang dalam dunia dan tenggelam dalam urusan perniagaan. Ia berdiri di hadapan mereka lalu berkata : Alangkah lemahnya kalian wahai penduduk Madinah.

Kelemahan apa yang kau lihat dalam diri kami, wahai Abu Hurairah? tanya mereka.

Warisan Rasulullah saw sedang dibahagikan, sedangkan kalian tetap di sini! Tidakkah kalian pergi dan mengambil bahagian kalian?, jawab Abu Hurairah.

Mereka berkata : Di mana tempatnya wahai Abu Hurairah?

Dia berkata : Di Masjid!

Mereka segera pergi dan Abu Hurairah menunggu kepulangan.Ketika melihatnya, mereka berkata : Wahai Abu Hurairah! Kami ke masjid dan masuk ke dalamnya, tetapi kami tidak melihat apa-apa sedang dibahagikan.

Abu Hurairah berkata : Tidakkah kalian lihat seorang pun di masjid?

Mereka menjawab : Ya, kami melihat orang-orang sedang solat, sebahagian lagi sedang membaca Al-Quran dan sebahagian lagi sedang membicarakan tentang halal dan haram.

Abu Hurairah berkata lagi : Itulah warisan Nabi Muhammad saw.

Wallahu a’alam.

( 65 manusia Langit; Pustaka Azhar )

Wednesday, August 1, 2012

Suraqah bin Malik ( II )

Suraqah masuk Islam di depan Rasulullah  sewaktu kembalinya baginda ke Mekah.Persahabatan Suraqah berlangsung beberapa bulan sahaja dengan kewafatan baginda nabi. Terkenang olehnya lantaran seratus ekor unta terjadinya keinginan membunuh. Namun semua unta di bumi tidak setanding dengan potongan kecil kuku Nabi Muhammad saw. Suraqah sering mengulangi kata-kata Nabi saw kepadanya : Bagaimana menurutmu Suraqah, jika engkau memakai dua gelang Kisra!.

Suatu hari Utusan Saad bin Abi Waqas datang ke Madinah membawa seperlima harta perang untuk diserahkan ke Baitulmal.Ianya termasuklah mahkota kebesaran Kisra yang bertatahkan mutiara, pakaian berbenang emas, kalung permata, dua gelang serta perhiasan yang tidak terkira dan belum pernah dilihat.

Khalifah Umar menguis harta-harta  itu dengan kayu di tangannya sambil berkata : Sesungguhnya mereka yang mengerjakan hal ini adalah orang-orang yang amanah. Ali bin Abi Talib pula berkata : Sungguh kau telah menjaga kehormatan, maka kau juga menjaga kehormatan kepimpinanmu. Wahai Amirul Mukminin! Kalau kau makan, maka mereka pun makan.

Umar Al-Faruq ra memanggil Suraqah bin Malik. Umar memakaikannya pakaian dan kasut Kisra. Dia meletakkan mahkota di atas kepala Suraqah dan memakaikan dua gelang Kisra. Ketika itu, umat Islam di sekitar tempat itu berteriak : Allahu Akhbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Kemudian Umar menoleh kepada Suraqah dan berkata : Bagus! Orang Arab yang kecil dari Bani Madlaj. Di atas kepalanya mahkota Kisra dan di tangannya ada dua gelang Kisra.

Suraqah mengangkat kepalanya ke langit dan berkata : Ya Allah, kau cegah harta ini untuk RasulMu dan hal itu lebih Engkau cintai dariku dan lebih mulia bagiMu. Kau cegah harta ini untuk Abu Bakar dan itu lebih Kau cintai dariku dan lebih mulia bagiMu. Sedangkan Kau berikan harta ini kepadaku, maka aku berlindung kepadaMu jika Kau memberikan aku harta untuk menyeksaku.

Lalu semua hasil pemberian itu dibahagi-bahagikannya kepada kaum Muslimin. Tindakan itu demi takwa dan redha Allah SWT jua.

Wallahu a’alam.

( 65 manusia langit; Pustaka Azhar )

Suraqah bin Malik ( I )

Suraqah bergegas untuk menangkap Rasulullah saw. Namun apabila tangannya ke busur, tetapi ianya tidak boleh digerakkan. Kaki kudanya terbenam ke dalam tanah. Kepulan asap naik dari hadapan dan menutup matanya dan mata kuda itu.

Dengan suara yang lemah dia menoleh ke arah Rasulullah saw dan sahabat baginda : Wahai kalian berdua, berdoalah kepada Tuhan kalian untuk melepaskan kaki kudaku. Untuk itu, aku akan melepaskan kalian.

Apapun ketamakan Suraqah memuncak setelah dibantu Rasulullah saw. Dia mendorong kudanya ke arah mereka. Kaki kuda itu kembali terbenam lebih dalam dari sebelumnya.  Sekali lagi pertolongan Rasulullah saw diminta : Kalian boleh mendapatkan bekalanku, hartaku dan senjataku. Ambillah itu semua. Aku berjanji kepada kalian berdua untuk menghalang orang-orang di belakangku.

Rasulullah saw berkata : Kami tidak perlukan bekal dan hartamu tapi halanglah mereka dari kami.

Rasulullah saw berdoa, kuda pun terlepas. Suraqah lantas menyeru : Berlambat-lambatlah kalian. Aku akan bercakap-cakap dengan kalian. Demi Allah aku tidak akan melakukan sesuatu yang tidak baik pada diri kalian.

Rasulullah saw berkata : Apa engkau mahu dari kami?

Suraqah menjawab : Demi Allah, wahai Muhammad. Sungguh aku tahu bahawa agamamu akan muncul ke permukaan bumi dan kamu akan menjadi orang yang penting. Maka berjanjilah kepadaku, apabila aku datang kepadamu, kau akan memuliakan aku. Tulislah janji itu untukku.

Rasulullah saw kemudian meminta Abu Bakar menulis di atas sekeping tulang dan menyerahkannya.. Ketika hendak berpisah, Nabi Muhammad saw berkata kepadanya : Bagaimana menurutmu, wahai Suraqah, jika engkau memakai dua gelang Kisra?

Maka Suraqah terkejut kerana Rasulullah saw berkata tentang itu. Dia tidak terfikir untuk melihat gelang Kisra apa lagi memakainya, lalu dia berkata: Kisra bin Hurmuz?

Ya, Kisra bin Hurmuz jawab Rasulullah.

Suraqah takjub dan terkesan dengan peristiwa itu. Bila bertemu di pertengahan jalan sewaktu pulang ia berkata kepada yang menjejaki Rasulullah saw : Telah aku jejaki bumi ini, jengkal demi jengkal untuk mencarinya dan kalian tahu sendiri kehebatanku dalam menjejak. Manakala bagi menjawab celaan Abu Jahal terhadap kesempatan yang disia-siakan ia menjawab : Wahai Abu Hakam! Demi Allah, seandainya kau menyaksikan bagaimana kaki-kaki kudaku terbenam, kau akan tahu dan tidak akan ragu bahawa Muhammad adalah Rasulullah dengan membawa petunjuk kebenaran. Maka siapakah yang dapat melawannya?.

Wallahu a’alam.

( 65 manusia langit; Pustaka Azhar

Tuesday, July 31, 2012

Abdullah Ibnu Salam

Qais bin Ubad menceritakan , aku mengikuti  hingga ke rumahnya. Aku minta izin  untuk masuk.

Dia bertanya : Apa keperluanmu, wahai anak?

Aku katakan kepadanya: Aku dengar dari orang-orang yang berkata tentangmu ketika engkau keluar dari masjid; Barangsiapa yang ingin melihat seorang penghuni syurga, maka lihatlah orang ini. Maka aku mengikutimu, supaya mengerti bagaimana orang-orang mengenalimu sebagai penghuni syurga.

Dia berkata : Allah lebih tahu akan penghuni syurga, wahai anakku.

Aku pun berkata : Ya, tapi apa yang mereka katakan tentu ada sebabnya.

Dia lalu berkata : Aku akan ceritakan kepadamu

Aku pun berkata : Ceritakanlah, semoga Allah membalas dengan kebaikan

Dia pun bercerita :

Ketika aku sedang tidur di suatu malam, datanglah seorang lelaki dan berkata kepadaku : Berdirilah!

Aku pun berdiri. Dia memegang tanganku. Tiba-tiba aku berada di sebatang jalan di kiriku dan melaluinya. Lalu dia berkata : Tinggalkanlah jalan itu kerana itu bukanlah untukmu.

Aku pun melihat-lihatnya. Tiba-tiba aku berada di jalan yang asing di sebelah kananku. Lalu dia berkata kepadaku : Laluilah jalan ini.

Maka aku menelusurinya hingga tiba di sebuah taman indah yang luas menghijau serta nyaman. Di tengah-tengahnya ada tiang-tiang dari besi yang tapaknya di bumi dengan pangkalnya di langit. Di atasnya terdapat lingkaran dari emas. Lalu dia berkata kepadaku: Naiklah ke atasnya.

Aku menjawab : Aku tak boleh naik.

Setelah itu, datang seorang hamba lalu mengangkatku naik hingga sampai di puncak tiang. Akhirnya aku mengapai lingkaran itu dengan kedua tanganku. Aku tinggal bersenang-lenang di lingkaran itu, hingga tiba waktu pagi.

Ketika pagi, aku menemui Rasulullah saw dan menceritakan mimpiku. Baginda berkata : Ada pun jalan yang kamu lihat di sebelah kirimu adalah jalan as-haabusy-syimal untuk penduduk neraka. Dan jalan yang engkau lihat  di sebelah kananmu ialah as-haabul-yamin untuk ahli syurga. Taman yang kau sukai kehijauan dan kesegarannya adalah Islam. Tiang-tiang yang berada di tengah-tengahnya adalah agama dan lingkaran itu adalah ikatan yang teguh. Dan engkau akan berpegang kepadanya hingga engkau mati!.

Wallahu a'alam.
( 65 manusia langit; Pustaka Azhar )

Monday, July 30, 2012

Khabbab bin Al-Arat

Pada suatu hari Khabbab menemui Khalifah Umar Al Khattab. Umar mempersilakannya duduk di tempat khusus dan sangat dekatnya sambil berkata : Tiada seorang pun yang lebih berhak duduk di sini darimu, selain Bilal.

Kemudiannya,setelah didesak oleh Umar, Khabbab menyingkap kain yang menutupi punggungnya bagi menceritakan penderitaan akibat siksaan oleh Quraisy.

Ketika itu, kaum musyrikin menyalakan kayu bakar hingga menjadi bara, lalu mereka membuang bajuku dan mengheret tubuhku di atas bara hingga sebahagian daging punggungku terkelupas dan terlepas dari tulangnya Bara itu padam kerana cairan yang keluar dari tubuhku!.

Di penghujung usia Khabbab berubah dari miskin kepada kaya raya. Menjelang kematiannya beberapa sahabat menziarahinya.

Khabbab berkata : Di tempat inilah ( sambil menyebutnya ) aku menyimpan 80 ribu dirham.Demi Allah, aku tidak mengikatnya dan aku tidak pernah menolak orang yang memintanya!. Lalu dia pun menangis.

Sahabat-sahabat kehairanan dengan tangisan itu. Jawabnya :
Aku menangis kerana sahabat-sahabat lamaku telah mendahului tanpa pernah merasakan balasan atas kebaikan selama mereka hidup di dunia. Tapi aku tetap hidup hingga sekarang dan menikmati kekayaan yang banyak ini. Aku takut, kekayaan ini merupakan balasan atas kebaikan-kebaikanku.

Bila Khabbab meninggal dunia, Ali bin Abu Talib berdiri di samping liang kuburnya sambil berkata :

Semoga Allah SWT mengasihi Khabbab, sesungguhnya dia telah memeluk Islam dengan sukarela, hijrah kerana taat dan menghabiskan hidupnya sebagai mujahid (pejuang). Dan Allah tidak akan mengabaikan balasan bagi orang yang  berbuat kebaikan!.

Wallahu a'alam.
( 65 manusia langit; Pustaka Azhar )

Friday, July 27, 2012

‘Asim bin Tsabit

Tidak lama setelah perang Uhud tamat, Rasulullah saw mengutuskan enam orang sahabat terkemuka untuk menyelesaikan suatu urusan yang dipimpin oleh ‘Asim bin Tsabit. Di pertengahan jalan, iaitu di antara ‘Usfan dan Mekah mereka telah diserang oleh sekelompok orang dari kabilah Hudzail.

Penyerang-penyerang itu  berkata : Kalian tidak akan sanggup  mengadapi kami. Kami penguasa wilayah ini, lagi pun  jumlah kami sangat ramai, sedangkan jumlah kalian terlalu sedikit. Perlu kalian ketahui, demi Tuhan yang memiliki Ka’abah, apabila kalian menyerah, maka kami tidak akan menyakiti. Kalian dapat memegang janji dan sumpah yang kami ucapkan atas nama Allah!.

Para sahabat saling berpandangan. Tiba-tiba ‘Asim berkata : Aku memegang prinsip, tidak akan minta  perlindungan kepada orang musyrik. Beliau terus menghunus pedangnya sambil berkata : Ya Allah! Sesungguhnya, aku berjuang membela dan mempertahankan agamaMu, maka jagalah daging dan tulangku dan jangan biarkan musuhMu mendapatkannya.

Tindakannya menyerang diikuti oleh dua orang sahabat, iaitu Mursad Al-Ghanawi dan Khalid Al-Laitsi. Mereka terus menyerbu hingga gugur seorang demi seorang. Sementara tiga lagi sahabat Rasulullah saw, iaitu Abdullah bin Thariq, Zaid bin Ad-Dusunah dan Khubaib bin ‘Adi menyerah diri. Namun ternyata, Hudzail mengkhianati janjinya.

Pada awalnya, Hudzail tidak tahu bahawa salah seorang korban tewas itulah yang dikehendaki Sulafah binti Sa’ad samada hidup atau mati lantaran dendam perang Uhud. Selang beberapa jam kematian ‘Asim bin Tsabit, kaum Quraisy mengetahui kejadian itu kerana suku Hudzail tinggal tidak jauh dari Bandar Mekah. Mereka pun mengutus wakil ke sana.

Orang-orang Hudzail pun ke tempat jenazah ‘Azim untuk memenggal lehernya, tetapi mereka dikejutkan dengan kumpulan lebah dan serangga yang mengelilingi dan membungkus tubuh ‘Asim dari setiap sudut. Setiap kali hendak mendekatinya, lebah dan serangga itu menyerang dan menyengat mata, muka dan sekujur tubuh mereka, seakan akan melindungi jasad yang tidak bernyawa itu.

Setelah mencubanya beberapa kali, mereka mulai putus asa. Sebahagian dari mereka berkata : Biarkan saja seperti itu hingga malam nanti, kerana bila malam serangga-serangga itu akan pergi meninggalkannya.

Orang-orang Hudzail duduk tidak jauh dari tempat itu, sambil menunggu malam tiba. Namun bersamaan dengan tenggelamnya malam, tiba-tiba gumpalan awan hitam berarak menutup langit. Petir dan kilat menyambar dengan kuat. Lalu hujan turun dengan begitu lebat. Orang-orang Hudzail semua termanggu, kerana mereka belum pernah mengalami hujan lebat itu selama hidup mereka. Hanya beberapa saat berlalu, air mengalir deras di sepanjang sungai dan lembah. Air itu terus meluap sehingga seluruh kawasan itu mengalami banjir yang sangat besar.

Pada keesokkan harinya, keadaan kembali reda. Orang-orang Hudzail gagal menemui jasad ‘Asim. Allah SWT telah mengkabulkan doa ‘Asim bin Tsabit, lalu Allah menjaga tubuhnya dari perlakuan keji kepadanya. Allah telah menjaga kepalanya yang mulia itu sehingga tidak dijadikan tempat minum arak. Allah tidak memberi kesempatan kepada kaum musyrikin untuk berbuat keji terhadap orang-orang yang beriman.

Wallahu a’alam.

( 65 manusia langit; Pustaka Azhar )

Thursday, July 19, 2012

PandanganNya

Aku pernah  mengalami suatu masa bersama Rasulullah saw di mana aku adalah orang ketujuh yang memeluk Islam. Waktu itu, tiada yang dapat kami makan kecuali dedaunan sehingga melukai bibir kami. Pada suatu hari, aku menemui sehelai kain, lalu ku potong menjadi dua dan berbagi dengan Sa’ad bin Abu Waqqas. Aku mengenakan sepotong kain tersebut sebagai sarung dan Sa’ad melakukan hal yang sama dengan sepotong lagi.

Tapi lihat keadaan kita hari ini. Setiap dari kita telah memegang jawatan sebagai pemimpin daerah. Aku berlindung kepada Allah agar tidak memandang diriku sendiri besar, tapi sebenarnya kerdil pada pandangan Allah.

Utbah bin Ghazwan

(65 manusia langit, Pustaka Azhar 2009)