Wednesday, August 20, 2014

Rosaknya kebaikan

Tauban ra meriwayatkan satu hadis yang dapat membuatkan orang soleh tidak dapat tidur dan khuatir amalan mereka menjadi sia-sia. Beliau berkata: Rasulullah saw bersabda: Aku benar-benar melihat di antara umatku pada hari kiamat nanti ada yang datang dengan membawa kebaikan sebesar gunung-gunung di Tihamah yang berwarna putih, lalu Allah menjadikannya seperti kapas berterbangan.

Tauban ra bertanya: Wahai rasulullah saw, jelaskan kepada kami, siapakah mereka itu? Agar kami tidak termasuk golongan mereka kerana kami tidak tahu!

Baginda bersabda : Mereka adalah saudara-saudara kamu dan sebangsa dengan kamu. Mereka juga bangun malam seperti kami, tetapi apabila mendapat kesempatan untuk berbuat maksiat, mereka melakukannya.

Wallahu a’lam.

Muhammad b Ibrahim Al-Nu’aim
Misteri panjang umur, 2010

Seumpama pohon

Sifat dermawan dan murah hati
seumpama pohon,akarnya di surga
dan cabang-cabangnya bergantungan di dunia
barangsiapa berpegang salah satu cabang itu
akan dibawanya ke surge
 
Sifat kikir dan tamak hati
seumpama pohon, akarnya di neraka
dan cabang-cabangnya bergantungan di dunia
barangsiapa berpegang salah satu cabang itu
akan dibawa keneraka.

Bersedekahlah kamu
walaupun dengan seteguk air
untuk dirimu dan untuk persiapan matimu
kalau tidak dapat
bersedekahlah dengan satu ayat
kalau tidak mengetahui
sesuatu dari Kitab Allah
berdoalah kepadaNya
minta ampun dan rahmat
Allah telah berjanji
Akan mengabulkannya.

MIF Baihaqi
Kitab Duratun Nashihin

Bicara hati ketika tawaf

Ya Allah Ya Afuww yang Maha Memaafkan. Ya Ghafur yang Maha Pengampun, Ya Tauwab yang Maha Menerima Taubat, ampunilah dosa-dosa hambaMu ini sama ada diriku ini sedar atau tidak sedar, dosa-dosa di atas kejahilanku, keingkaranku dan keterlanjuranku.

Ya Allah Ya Khalik yang Maha Mencipta, Engkaulah yang menciptakan seluruh makhluk di langit dan di bumi. Engkau menciptakan matahari, bulan, bintang dan seluruh cakerawala di angkasa raya dan Engkau jugalah yang menciptakan manusia dan seluruh makhluk di bumi. Seluruh makhluk ciptaanMu sentiasa bertawaf tanda sujud dan patuh kepadaMu, semuanya berjalan di atas landasan dan orbit yang telah Engkau atur, semuanya tunduk kepadaMu Ya Allah Ya Qahhar yang Maha Menundukkan semua makhluk.

Diriku ini bertawaf kepadaMu bersama seluruh makhlukMu kerana kami semua datang dariMu. Ya Allah. Jadikanlah jiwa hambaMu ini sentiasa bertawaf bersama matahari, bulan, bintang, binatang, pokok-pokok dan segala yang ada di sekeliling kami tanda kami semua bersatu di dalam taat, patuh dan sujud kepadaMu. Kekalkan jiwa kami di atas orbit fitrah kejadian kami iaitu orbit Islam, iman dan ihsan. Jadikanlah kami hambaMu yang benar-benar beriman kepada rukun-rukun Islam dan merasa diri diawasi oleh Allah swt melalui penghayatan ihsan.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih

Tuesday, August 19, 2014

Pahala memberi salam


Pengajian ke-15

Dikatakan bahawa seharusnya yang berjalan memberi salam pada yang duduk, yang kecil pada yang besar, yang berkenderaan pada yang berjalan kaki, penunggang kuda pada penunggang hemar(keldai) dan yang mendatangi engkau dari belakang harus memberi salam dan dibalasnya dengan suara yang dapat didengar. Seorang yang masuk rumahnya juga memberi salam pada keluarganya dan jika memasuki rumah yang kosong, maka salamnya harus berbunyi: Assalamu-alaina Wa’ala Ibadillahis Salihin, karena malaikat akan membalas salamnya dan dengan demikian diperoleh barakah lebih banyak dan lebih sempurna.

Para ulama berselisih tentang hukum pemberian salam pada anak-anak: Sebahagian menyatakan : Harus dan sebahagian : Tidak, sebahagian yang terbanyak mengatakan: pemberian salam lebih afdhol dari tidak.

Dikatakan bahawa memulai dengan salam adalah perbuatan sunnah(kifayah), ertinya kalau berkelompok cukup dilakukan oleh salah seorang dari mereka tetapi lebih afdhol dilakukan secara serentak oleh kelompok itu semuanya. Balasan salam harus dilakukan seketika(spontan) dan tidak boleh ditunda kerana penundaan itu bisa timbul rasa terhina dipihak yang memberi sala, hal mana mengakibatkan dosa bagi yang menunda.

Jika ada kiriman salam dari tempat jauh lewat pesuruh atau lewat surat, wajib pula dijawab secepatnya. Dan tidak diharuskan memberi salam pada orang kafir, ahli bid’ah dan pemain judi. Para ulama berselisih tentang hukum memberi salam atau membalas salam pada orang-orang kafir. Ada yang berpandangan pemberian salam adalah haram, tetapi membalas salam mereka wajib.

Pemberian salam pada orang yang sedang membaca Quran dengan suara adalah makruh. Akan tetapi sipembaca, bila mendengar salam sepatutnya membalas, agar supaya memperolehi pahala pembacaan Quran dan pahala menjawab salam. Pemberian salam kepada orang-orang yang sedang belajar atau sedang mendengar penyiaran ilmu tidak dibolehkan, bahkan berdosa. Demikan pula pada waktu azan dan iqamah. Orang yang lagi melakukan hajat besar yang mendengar salam, menurut Abu Hanifah, ia dapat membalasnya dengan hati tetapi tidak dengan lidahnya.

Pemberian salam kepada pengemis, kepada hakim di waktu sidang, kepada guru di waktu mengajar adalah makruh hukumnya. Dan jika mereka diberi salam tidaklah wajib mereka membalasnya. Juga makruh hukumnya memberi salam kepada pemain catur, pemain kart, ahli bid’ah, orang athiest, sendiq, pelawak, pembawa kisah bohong, tukang maki-maki orang, orang-orang yang kerjanya duduk di persimpangan jalan sekadar untuk melihat perempuan-perempuan cantik, orang yang lagi telanjang di kamar mandi atau di tempat lain, orang yang terkenal pembohong, pedagang di pasar, orang yang makan di depan orang banyak, penyanyi dan orang kafir.

Menurut Imran Ibnul Hushain ra bahwa ada seorang datang pada rasulullah saw memberi salam: Assalamu-alaikum dan dibalasnya oleh rasulullah dengan mengatakan engkau mendapat sepuluh ganjaran, kemudian datang lagi seorang yang memberi salam: Assalamu-alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh yang dibalas oleh rasullah dengan mengatakan: Engkau mendapat  tigapuluh ganjaran, kemudian datang lagi seorang lain yang memberi salam: Assalamu-alaikum Warahmatullahi Wabarakatu Wamaghfiratuh yang dijawab oleh rasulullah dengan mengatakan: Engkau memperoleh empatpuluh ganjaran ( Misykatul Mashabih)

Wallahu ’alam

H.Salim Bahreisy
Bekal Juru Da’wah Jilid 1
Surabaya, 1977

Lupa & membantah

Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada  nabi Muhammad saw  bahawa ketika Adam as memohon kepada Allah untuk memperlihatkan gambar nabi setelahnya, Allah swt memperlihatkannya. Adam melihat di antara mereka ada yang wajahnya bersinar. Maka Adam bertanya: Siapa itu? Allah swt menjawab: Anakmu Daud. Berapa umurnya, tanya Adam lagi. Empat puluh tahun, jawab Allah swt. Lalu berapa umurku, tanya Adam. Seribu tahun, jawab Allah swt. Adam berkata: Aku berikan umurku enam puluh tahun kepadanya.

Kejadian itu ditulis dan disaksikan para malaikat. Kemudian ketika ajalnya tiba, Adam bertanya: Bukankah umurku masih berbaki enam puluh tahun? Para malaikat menjawab: Engkau telah memberikannya kepada anakmu, Daud.

Adam pun membantah, sehingga para malaikat memperlihatkan catatannya. Nabi Muhummad saw bersabda: Adam lupa, maka keturunannya pun menjadi pelupa. Adam membantah, sehingga keturunannya gemar membantah.

Wallahu a’lam.

Muhammad b Ibrahim Al-Nu’aim
Misteri panjang umur, 2010

Ya Allah, apabila Engkau menetapkan bagiku celaka, hapuslah dan tulislah bagiku bahagia. Sesungguhnya Engkaulah yang menghapuskan apa yang Engkau kehendaki dan menetapkan apa yang Engkau kehendaki. Aameen Ya Rabb.

Gurindam kebenaran

Kalau kebenaran cuba disembunyi
Lambat-laun cerita berbunyi

Kalau kebenaran cuba disangkal
Akhirnya terbukti ceteknya akal

Kalau kebenaran cuba disanggah
Sesama sendiri sudahnya bercanggah

Kalau kebenaran cuba dipalsu
Nescaya peragu tak akan membisu

Kalau kebenaran cuba dinafi
Banyak tanggapan akan dihadapi

Kalau kebenaran cuba dibohongi
Tersingkap peribadi takkan disenangi

Kalau kebenaran cuba dicemari
Akhirnya mengaibkan diri sendiri

Kalau kebenaran cuba dibunuh
Kering terus kepercayaan yang penuh.

Nazim Subari
Mersing Johor
Mingguan Malaysia
17 Ogos 2014

Kembali kepada fitrah

Ya Sami ‘ dan Ya Basir

Ya Allah Ya Khalik yang Maha Menciptakan, sesungguhnya Engkau telah menciptakan hambaMu ini dengan penuh kesempurnaan dan kesucian fitrahMu. Engkau telah meniupkan ke dalam jiwaku ini sedikit sifat-sifatMu. Ya Allah agar dengan sifat-sifat itu hambaMu mampu menzakatkan dan mengeluarkannya kepada manusia yang berada di sekelilingku.

Ya Allah, hambaMu memohon kepadaMu Ya Mu’id yang Maha Mengembalikan. Kembalikanlah jiwa hamba ini kepada kesucian dan kesempurnaan fitrahMu. Ya Rahman yang Maha Pemurah, Ya Rahim yang Maha Mengasihani, bantulah hambaMu ini menaburkan kasih sayang sesama insan agar dengan kasih sayang ini, kami dapat hidup harmoni dan bahagia serta mampu membantu sesama kami.

Ya Allah Ya Afuww yang Maha Pemaaf, bantulah hambaMu ini mengeluarkan sifat pemaaf yang ada di dalam jiwa ini agarku mampu memaafkan sesama insan. Sesungguhnya hambaMu ini banyak melakukan kesalahan kepada ahli keluargaku, rakan-rakanku dan insan di sekelilingku kerana kejahilan hambaMu ini dan sering kali mengikut hawa nafsuku. Maafkan hambaMu ini Ya Allah Ya Qahhar, bantulah hambaMu ini menundukkan nafsuku agar ianya sentiasa menjurus ke arah kebaikan dan kebajikan.

Ya Allah Ya Wahhab yang Maha Pemberi, bantulah hambaMu ini mengeluarkan sifat pemberi yang ada di dalam jiwa ini agar hambaMu ini mampu memberi dan menghulurkan bantuan kepada insan-insan yang memerlukan tanpa mengira sesiapa pun. Ikhlaskan niatku agar setiap kebajikanku ini Engkau redai dan mendapat ganjaran pahalaMu.

Ya Allah Ya Halim yang Maha Penyantun, bantulah hambaMu ini menjadi seorang penyantun sesama insan. Ya Allah Ya Syakur yang Maha Menghargai, bantulah hambaMu ini agar aku mampu menghargai dan menghormati sesama insan. Ya Allah Ya Latif. Engkau lembutkanlah perkataan dan perbuatan hambaMu ini agar  aku mampu menjalinkan persahabatan sesama insan di dunia ini. Ya Majid yang Maha Mulia Budi Pekerti, bantulah hambaMu ini menjadi seorang yang berbudi pekerti mulia. Ya Jalil yang Maha Tulus dan Jujur, bantulah hambaMu ini agar setiap perbuatanku. Ya Quddus yang Maha Suci, bantulah hambaMu ini membersihkan menyucikan hati agar dapat melahirkan segala sifat-sifat baik yang Engkau kurniakan. Ya Ba’ith yang Maha Membangkitkan Semangat, bantulah hambaMu ini dalam membangkitkan semangat sesama insan bagi meneruskan perjuangan hidup ini.

Ya Allah hambaMu ini sedar daku hanyalah hamba kepadaMu yang diwujudkan di dunia ini hanyalah untuk taat dan patuh kepadaMu dan melaksanakan kebaikan kepada manusia sepertimana taat dan patuhnya matahari, bulan dan bintang yang tidak pernah mengerti keingkaran dan kemungkaran. HambaMu ini sedar sesungguhnya, setiap makhluk yang Engkau ciptakan mempunyai tugas yang Engkau arahkan dan aturkan. Bantulah hambaMu ini agar daku mampu melaksanakan tugas khalifahMu ini dengan mengeluarkan dan menzakatkan seluruh sifat-sifat baikMu yang Engkau tiupkan ke dalam jiwa ini.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih