Friday, November 23, 2012

Raja’ bin Haiwah ( 2 )


Raja’ bin Haiwah pernah menjawat jawatan penasihat kepada beberapa orang khalifah Bani Umayyah. Bermula daripada Abdul Malik bin Marwan hinggalah ke zaman Umar bin Abdul Aziz. Walau bagaimanapun, hubungan rapatnya dengan Sulaiman bin Abdul Malik dan Umar bin Abdul Aziz berbeza sama sekali dengan hubungannya dengan khalifah-khalifah yang lain.

Faktor yang menyebabkan para khalifah Bani Umayyah tertarik dengan Raja’ ialah pandangannya yang bernas, nasihatnya yang tulus, niatnya yang ikhlas dan kebijaksanaannya dalam menyelesaikan semua perkara. Apa yang paling utama ialah sikapnya yang tidak mengharapkan habuan daripada para khalifah. Berbeza sama sekali dengan orang-orang lain yang sentiasa mencari kesempatan.
 
Hubungan yang wujud antara Raja’ dengan para khalifah Bani Umayyah merupakan suatu anugerah Allah kepada mereka. Malah ia adalah suatu limpah kurniaNya untuk mereka. Raja’ memainkan peranan dalam mengajak para khalifah ini melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik. Beliau membimbing mereka supya melalui jalan yang betul.

Beliau juga berperanan menyekat mereka daripada terjerumus dalam segala unsur yang tidak baik dan menunjuk mereka jalan yang benar dan memberi mereka galakan supaya mereka memanfaatkannya. Beliau juga menunjuk ajar mereka jalan yang tidak betul dan membimbing mereka supaya tidak melaluinya. Segala nasihat yang diberikan hanyalah kerana Allah dan rasulullah saw serta demi kepentingan umat Islam.

Ada suatu peristiwa yang membuka jalan untuk Raja’ bin Haiwah berhubung rapat dengan para khalifah. Malah peristiwa ini menggariskan peranan yang perlu dimainkannya bersama para khalifah. Peristiwa ini diceritakan oleh beliau sendiri :

Suatu ketika, saya berada bersama -sama Sulaiman bin Abdul Malik di tengah-tengah orang ramai. Ketika itu, saya terlihat seorang lelaki sedang berjalan menuju ke arah kami dari tengah-tengah kesesakan itu. Rupa parasnya kelihatan baik dan mulia. Orang ini berjalan di celah-celah orang ramai. Saya sangka dia mahu menemui khalifah. Namun sangkaan saya meleset apabila dia mula merapati saya. Dia berdiri di sebelah saya dan mengucapkan salam kepada saya.

Orang itu kemudiannya berkata : Wahai Raja’, engkau sebenarnya sedang diduga untuk berada bersama lelaki ini. Sambil tangannya menunjuk ke arah khalifah.

Berdampingan dengan orang ini akan membawa engkau kepada keuntungan atau bencana yang besar. Jadikanlah kesempatan untuk mendampingi mereka ini sebagai suatu keuntungan untuk kamu dan untuk seluruh manusia. Sedarlah wahai Raja’, bagi orang yang berkuasa, jika ada seseorang yang tidak berkemampuan datang kepadanya untuk meminta bantuan tetapi dia tidak membantunya, sesungguhnya pada hari dia menemui Allah kelak, dia pasti akan dipertanggungjawabkan.

Ingatlah wahai Raja’, sesiapa yang membantu saudara muslimnya sesungguhnya Allah akan membantunya. Sedarlah wahai Raja’, antara amalan yang paling disukai oleh Allah ialah apabila seseorang itu menggembirakan hati saudara muslimnya.

Ketika saya sedang mendengar dengan penuh perhatian setiap kata-kata lelaki itu dan berharap agar dia memanjangkannya, tiba-tiba khalifah memanggil saya. Di mana Raja’ bin Haiwah?.

Saya di sini wahai khalifah. Saya cepat-cepat menjawab sambil berpaling ke arah khalifah.

Khalifah bertanya suatu masalah dan sebaik sahaja saya selesai menjawabnya, saya pun menoleh ke arah lelaki tadi tetapi saya tidak menemuinya. Saya pun mencari-cari di sekeliling tempat itu, tetapi saya tidak temui.

Wallaahu a’lam.

(  37 kisah kehidupan tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

Raja’ bin Haiwah ( 1 )


Raja’ bin Haiwah dilahirkan di Bisan, Palestin ketika akhir zaman pemerintahan Uthman bin Affan ra atau masa berdekatan. Beliau berbangsa Arab dan daripada keturunan Kindah. Semenjak kecil lagi, anak muda Bani Kindah ini membesar dalam suasana yang penuh dengan ketaatan kepada Allah. Oleh kerana itu, Allah menyayanginya dan Allah menjadikan seluruh manusia menyayanginya.

Raja’ telah memulakan pengajiannya semenjak kecil lagi. Oleh kerana itu, jiwanya terbuka luas untuk menerima segala ilmu dan kemudiannya menjadi mantap dan sebati dalam jiwanya. Tumpuan utama anak kecil ini ialah untuk meneroka Kitab Allah dan memetik hadis-hadis rasulullah saw.

Akhirnya seluruh hidup anak kecil ini bergemerlapan dengan cahaya al-Quran dan pimpinan Nubuwwah. Jiwanya penuh berisi dengan bimbingan dan hikmah. Manusia yang telah diberikan hikmah oleh Allah adalah manusia yang telah menerima kurniaanNya yang melimpah ruah.

Anak kecil ini berpeluang memetik nur ilmu daripada para sahabat yang terkemuka seperti Abu Sa’id al-Khudri, Abu Darda’, Abdullah bin Amru bin al-As, al-Nuwas bin Sam’an dan ramai lagi.Mereka ini ibarat pelita yang membimbingnya dan obor yang menerangi jalannya.

Anak muda yang bertuah ini telah menyematkan dirinya dengan satu motto yang menjadi pegangan sepanjang hidupnya seperti mana yang dinyatakannya sendiri :

Alangkah eloknya Islam apabila dihiasi iman
Alangkah eloknya iman apabila dihiasi dengan ketakwaan
Alangkah eloknya ketakwaan apabila dihiasi dengan ilmu
Alangkah eloknya ilmu apabila dihiasi dengan amalan
Alangkah eloknya amalan jika dihiasi dengan ketekunan.

Wallaahu a’lam.

(  37 kisah kehidupan tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

Wahai Allah, sesungguhnya hari ini adalah hari yang baru. Maka bukakanlah hari ini ya Allah untuk kami dengan ketaatan terhadapMu. Dan tutuplah hari ini untuk kami ya Allah dengan keampunanMu dan keredaanMu. 

Dan anugerahkanlah kepada kami dalam hari ini segala kebaikan yang kami terima daripadaMu dan Engkau sucikan amalan-amalan kami dan Engkau gandakan untuk amalan kami. Dan apa yang kami lakukan daripada keburukan-keburukan maka ampunkanlah kami. Sesungguhnya Engkau ya Allah, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Penyayang Yang Maha Pencinta, Yang Maha Mulia. Aameen.

Thursday, November 22, 2012

Berkumpul dengan kelompok rakan seusia


Pada kebiasaannya, pertemuan rakan sebaya dipenuhi dengan perdebatan, keinginan untuk menjadi yang paling menonjol, hasrat mempamerkan ilmu dan keahlian yang dimiliki serta keinginan untuk membantah dan menjatuhkan rakan yang lain.Ini kerana seseorang akan merasa iri hati dan tidak suka terhadap rakan sebayanya yang mampu mengungguli dan mempunyai kebolehan yang lebih berbanding dirinya. Perkara tersebut disebabkan hati telah dijangkiti oleh penyakit iri hati dan sombong.

Kamu jarang bertemu dengan seseorang yang mempunyai sikap tawaduk di hadapan rakan sebaya dan mahu belajar daripadanya. Ramai rakan sebaya kamu yang tidak suka jika kamu pandai, mampu bercakap dengan benar dan baik.

Bahkan di antara mereka ada yang merasa gembira jika kamu tersilap cakap tentang sesuatu perkara dengan mereka. Mereka akan sentiasa menyebut dan mengingat kesalahan kamu tersebut.  Mereka dengan cepat akan menyalahkan kamu dan terus mencuba untuk membenarkan kesilapan kamu tersebut. Di antara mereka juga ada yang wajahnya berubah menjadi tidak senang tatkala kamu mampu untuk menjelaskan suatu masalah dengan benar dan baik.

Oleh itu, barang siapa yang sedang berkumpul di dalam sebuah majlis bersama rakan-rakan sebaya, maka hendaklah ia memilih untuk banyak diam, tawaduk dan kerap senyum hingga pertemuan itu selesai. Tidak perlu dirinya memilih untuk banyak bercakap, kerana majlis ada tiga macam.

Pertama, majlis pertemuan bersama orang yang lebih pandai dari kamu. Pada saat kamu berada di dalam majlis ini, maka yang perlu kamu lakukan adalah belajar daripadanya. Kedua, majlis pertemuan bersama-sama orang-orang awam, di mana mereka patut belajar dan mengambil sesuatu yang bermanfaat daripada kamu.

Ketiga, majlis peremuan bersama-sama rakan-rakan sebaya. Apabila kamu berada di dalam majlis yang ketiga ini, maka kamu dituntut untuk tidak terlalu bersemangat dalam menyampaikan dan mempamerkan keilmuan yang kamu miliki kepada mereka, kerana apabila kamu berusaha untuk menyampaikan keilmuan kamu kepada mereka, maka perkara tersebut sama dengan kamu berusaha untuk membangunkan singa kedengkian dari tidurnya.

Tetapi kamu dikehendaki banyak diam dan tenang sehinggalah majlis tersebut selesai. Kamu tidak perlu untuk kerap berada dalam majlis ini, kerana majlis tersebut lazim dengan perasaan sombong, merasa lebih pandai, angkuh dan iri hati yang hinggap di dalam diri para penuntut ilmu. Hanya Allah swt Zat yang berhak untuk dipanjatkan pertolongan.

Wallaahu a’lam.

( Pengalaman adalah guru terbaik; Dr ’Aidh Abdullah Al-Qarni )

Ya Allah, sebagaimana Engkau memuliakan dahi-dahi kami dengan bersujud kepada-Mu, maka janganlah Engkau hinakan dahi-dahi kami tersebut dengan sikap tunduk kepada selain-Mu. Ya Allah, sebagaimana Engkau membahagiakan jiwa-jiwa kami dengan mencintai-Mu, maka janganlah Engkau buatkan jiwa-jiwa kami tersebut merana dengan mencintai selain-Mu.

Ya Allah, sebagaimana Engkau muliakan tangan-tangan kami dengan menadah dan meminta kepada-Mu, maka janganlah Engkau hinakan tangan-tangan kami tersebut dengan meminta kepada orang lain.

Sesungguhnya Engkau ya Allah adalah Zat Yang Maha Kuat, Maha Perkasa, Maha Mulia, Maha Kaya dan Maha Memberi. Ameen.

Tuesday, November 20, 2012

Sesudah insan dan hidayat


Ya Allah Tuhan kami. Pada mulanya Engkau memberikan ihsan, sedangkan hamba ini sebenarnya tidak layak untuk menerima pemberian itu. Maka kini hamba memohon agar dipertinggikan dengan segala kurniaanMu.
                                 
Ya Allah, setelah Engkau memberikan hidayat janganlahlah Engkau belokkan hati kami dan semoga kami mendapat rahmatMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah. Kami semua mendapat nikmat dari-Mu dan kami mengharap nikmat yang lain kerana hanya Engkaulah Yang Maha Memberi dan Maha Pemurah, sebagaimana Engkau memberikan kemuliaan pada kami awal-awal dahulu. Semoga Engkau menyempurnakan nikmat kami.

Perkenankan doa pertama yang Engkau ajarkan pada hamba MuslimMu Ya Allah, yakni Tunjuklah kami jalan yang lurus (al-Fatihah: 1:6)…Ameen.

Monday, November 19, 2012

Bekalan perjalanan Hatim al-Asam


Abu Mu’thi al-Bakhi bertanya kepada Hatim al-Asam : Saya dengar anda mengharungi padang Sahara yang sukar itu tanpa membawa sebarang bekalan. Jawab Hatim : Mungkin orang mengatakan begitu, tetapi saya membawa empat jenis bekalan:

a. Keyakinan bahawa dunia berserta isinya dan akhirat di bawah kekuasaan Allah.
b. Keyakinan bahawa seluruh makhluk adalah hamba Allah
c. Percaya bahawa segala urusan rezeki dan persoalannya di bawah kekuasaan Allah.
d. Percaya bahawa segala yang dikehendaki Allah pasti akan terjadi kerana Allah adalah penguasa dan pemilik alam ini.

 Wallahu a’alam.

( Minhajul Abidin Wasiat Imam Al-Ghazali; Ir Zakaria Adham )

Wahai Tuhanku, inilah hambaMu yang mengembara kembali menghadap rahmatMu, segala maksiat kembali kepada kebenaran, hamba-Mu berdosa menghadap dengan memohon keampunan. Ampunilah aku dengan kemurahanMu, terimalah aku dengan kurniaMu dan pandanglah aku dengan rahmatMu. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan peliharalah sisa-sisa hidupku. Sungguh, segala kebaikan itu seluruhnya berada padaMu dan Engkau adalah yang paling penyayang dan Maha Mengasihi kami.

Ya Allah yang menampakkan berbagai permasalahan yang besar, yang akhirnya dituju oleh kaum yang bingung. Ya Allah, yang sangat berkuasa, jika mengkehendaki sesuatu maka sudah cukup dengan berFirman: Yakni kamu, bererti ia ada. Kami telah bergelumang dengan dosa-dosa dan kepadaMulah kami pohon keampunan baginya. Ya Allah, yang tidak diragui segala urusan yang banyak dan dengan pendengaran yang sempurna.

Wahai Allah yang tidak pernah salah dengan permintaan yang banyak. Ya Allah yang tidak pernah merasa bosan menerima permintaan yang terus-menerus, curahkanlah kepada kami perasaan tenang kerana ampunanMu nikmatnya rahmatMu. Ya Allah yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi. Engkau adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu. 

Ameen.

Sunday, November 18, 2012

Tragedi adalah hikmah dalam perkahwinan


Saya percaya musibah yang berlaku ada hikmahnya untuk pasangan suami isteri terutama mereka yang masih muda.Kecekalan dan ketabahan menghadapi situasi berat ini sedikit sebanyak mematangkan mereka untuk lebih menghargai erti perkahwinan.Begitulah yang berlaku dalam rumah tangga anak dan menantu saya baru-baru ini - diuji dengan pemergian mengejut bayi mereka Dalila Hayfa Mohd Dafrizal Shah yang baru berusia 3 bulan disyaki tersedak susu di sebuah taska yang menjadi tempat persinggahan sementaranya.

Semuanya adalah takdir Allah untuk hambaNya yang Dia tahu mampu menggalas ujian tersebut dengan reda dan sabar.Ketika catatan ini tersiar, genap 15 hari cucu saya Dalila Hayfa kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah!Sejak peristiwa tragis itu, rumah anak menantu saya menjadi sepi... tidak ada yang bersuara kecuali perlu. Mood untuk berbual langsung tidak ada.Anak sulung mereka, Delisha dan arwah Dalila adalah penyeri hidup kami sekeluarga juga besan saya.

Sampai saat ini, kami sekeluarga sedang sedih. Tidak tahu sampai bila, berkumpul beramai-ramai tidak semeriah seperti sebelum ini, dan tidak ada ayat yang terkeluar untuk memulakan bicara.Sekejap yang itu menangis, sekejap di situ teresak-esak, pendek kata suasana masih suram dan sayu sebab di mana-mana, wajah Dalila Hayfa yang comel sentiasa ada.

"Kita kemas apa yang patut pa, katil, barang adik dan pakaiannya. Ma tak sanggup nak tengok semua itu,'' terdengar suara sebak menantu saya berbisik kepada suaminya.Air mata saya menitis mendengar kata-kata itu, memang betul, jika dilihat semua barang milik si comel itu, bukan sedih saja yang terasa, malah sepertinya dia masih ada bersama kami.Jika saya boleh sedih yang teramat sangat, apatah lagi ibu yang mengandung dan melahirkannya.Mana ada ibu bapa yang sanggup melihat anak menantu dalam keadaan sedih begitu. Bayangkan anak yang dipinjamkan 92 hari oleh Allah dijemput kembali ke pangkuanNya dalam keadaan menyayat hati.

Anak saya Mohd Dafrizal Shah seorang yang kuat semangat, agresif dan tidak pernah tunduk pada cabaran.Sejak zaman sekolah rendah, kemudian menengah hingga ke IPTA dan setelah bekerja dia jarang meminta bantuan saya dalam apa juga perkara kecuali pandangan dan nasihat. Semua dilakukan sendiri. Dia seorang yang berdikari.Namun, perancangan Allah untuk anak saya itu tidak pernah terduga. Dia kalah dengan tragedi 3 November 2012 yang memisahkan dia dan isteri dengan bayi kedua mereka buat selama-lamanya.

Anak saya separuh pengsan di bilik rawatan kecemasan setelah dimaklumkan bayinya Dalila sudah tidak bernyawa lagi.Lalu teringat saya dalam panggilan telefonnya kepada saya beberapa jam sebelum itu dia berkata, 'baliklah mak...Dalila koma ni, tak tau depa buat apa kat taska.''

Ketika saya tiba di perkarangan Hospital Tawakal dari Kuala Terengganu dia meluru ke arah saya dengan terhoyong-hayang sambil mendepakan tangan dan merangkul tubuh saya dengan kata-kata, 'Dalila dah tak dak mak! Dalila dah tak dak! Tak tau depa buat apa kat dia!.''
 
Berulang kali dia mengulangi kata-kata itu dengan esakan tanpa henti. Hingga saat ini raungan itu masih terngiang-ngiang di telinga saya.Saya seperti tidak berpijak di bumi nyata. Seluruh tubuh menggigil. Tapi saya tahu, saya perlu kuat untuk menangani keadaan ini supaya anak dan menantu saya juga kuat.Lama saya memeluknya, mencium pipinya dan berkata,"adik jangan menangis, adik perlu reda dengan ketentuan Allah. Mak ada untuk adik. Sabar banyak-banyak.''

Air matanya saat itu bagaikan empangan pecah... mengalir laju membasahi kedua-dua pipinya.Dia memegang tangan saya dan membawa saya ke bilik kecemasan di mana jenazah Dalila diletakkan.Di atas katil terbujur kaku tubuh cucu comel saya, Dalila Hayfa. Saya beristigfar beberapa kali untuk mengumpul kekuatan sebelum mengucup wajah comel itu. Air mata yang mengalir deras saya sapu. Kemudian memeluk menantu saya Haidah yang sudah bengkak matanya kerana menangis.Haidah juga juga seorang yang kuat. Di sebalik sifatnya yang pendiam, dia seorang wanita, isteri dan ibu yang baik dan sempurna di mata saya sebagai mentua.

Alhamdulillah, saya tiba tepat pada masanya doktor membenarkan arwah dibawa pulang. Bersaksikan kakak saya Hayati dan ibu saudara yang saya panggil Mak Lang, saya mengendong Dalila ke kereta yang dipandu adik saya Zahir lalu bergerak meninggalkan hospital.Sepanjang perjalanan saya mendakap erat tubuh arwah yang saya lihat seperti sedang tidur lena...Ya Allah, jika inilah ujian untuk kami, kami reda Ya Allah...kami reda melepaskan arwah kepadaMu.

Dalam sekelip mata kebahagiaan dan kegembiraan anak menantu saya diragut. Bayangkanlah, pagi Dalila dihantar dalam keadaan sihat, segar bugar dan masih tersenyum kala diagah, petangnya apabila diambil, tubuhnya sudah kebiru-biruan.
Kata doktor, Dalila sudah tidak bernyawa dua jam sebelum dia dijemput oleh ibunya untuk dibawa pulang pada pukul 5.20 petang. Apa yang sebenarnya terjadi? Hanya Allah yang tahu!

Kakak arwah, Delisha Hafiya, setahun 9 bulan juga tidak sempat bermesra dengan adiknya. Cucu pertama saya itu apabila balik ke rumah, tercari-cari adiknya di semua tempat yang pernah dia dan adiknya bersenda.Selalunya Delisha yang paling sibuk mencium adiknya yang terbaring di atas tilam atau car seat setiap kali papa dan mamanya menghantar mereka ke taska. Kini semua itu sudah tiada lagi. Delisha sudah kehilangan Dalila.

Saat dimandikan, Haidah dan anak saya tidak dapat mengawal perasaan mereka. Tapi saya bangga mereka punya kekuatan untuk memandikan sekujur tubuh kecil itu di ribaan Haidah dalam suasana yang saya tidak mampu ungkapkan dengan kata-kata.Hanya Allah yang tahu saat itu. "ini kali akhir mama mandikan adik....lepas ini dah tak ada dah... ma reda adik.. baliklah! Tunggu ma datang ke sana!''

Ya Allah, sesak nafas saya mendengar kata-kata itu - Saya tidak mampu lagi melihat muka menantu dan anak saya dalam keadaan yang cukup sedih itu sebab saya juga sudah hampir hilang kekuatan kerana terlampau sebak.Apa yang berlaku di depan mata tidak boleh dilupakan dalam sesaat dua.. ia bakal mengambil masa yang lama. Sesiapa yang pernah melalui kesedihan seperti ini pasti faham.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memudahkan segala urusan. Jenazah Dalila Hayfa sempurna dimandi, dikafankan di Surau Al-Hidayah, AU3, Ampang Hulu Kelang dan disemadikan di Tanah Perkuburan AU5, Lembah Keramat.Saya tahu anak dan menantu saya sedih. Malah saudara mara yang datang dari jauh dan dekat juga amat sedih.Tapi saya yakin mereka akan bangkit dan menerima semua ini sebagai ujian yang amat berharga daripada Allah SWT.

Seperti yang saya katakan di awal catatan ini, saya berdoa dan berharap agar tragedi menyayat hati ini akan mengeratkan hubungan dan kasih sayang anak dan menantu saya.
Malah ia akan menjadikan mereka lebih menghargai erti perkahwinan yang masih muda usianya.Setiap orang diuji Allah, pemisahnya kecil atau besar, ringan atau berat, juga pahit atau manis. Buat Dafrizal dan Haidah, mak tahu kalian berdua cukup kuat untuk menerima ujian Allah ini.

Jangan sia-siakan hidup yang masih panjang. Ingatlah, Delisha perlukan kalian berdua. Setiap pemberian yang Allah ambil balik, Dia akan gantikan dengan yang lebih baik. Mak doakan semoga Allah menghadiahkan zuriat yang terbaik untuk kalian berdua pada masa mendatang.Jangan lupa berdoa untuk arwah - jangan pernah lupa yang dia pernah mengisi kebahagiaan kalian berdua walaupun seketika cuma.

Mak, abah, abang, adik-adik dan saudara mara juga terasa kehilangan. Lepaskan Dalila dengan tenang dan penuh keimanan. Jangan berdendam. Walau kita tidak tahu sebab dan puncanya, Allah melihat apa yang berlaku. Satu hari kebenaran tentang kecuaian manusia ini akan dapat diatasi.

Anak-anakku, pesanan mak lagi, sematkan di hati dengan keimanan dan takwa bahawa arwah sudah menjadi penghuni syurga dan di sana dia menanti kalian berdua!
Al-Fatihah. Salam

utusan.com.my 
17 Nov 2012

Saturday, November 17, 2012

Petikan sajak Maal Hijrah


…….khalifah akan umatnya pada  sejarah
bicara Ali pada Umar
hijrah dipilih terpancar sirah
pemisah kebatilan dan kebenaran
lantang menyerlah
terbentang jambatan masa
titik tolak Mekah Madinah.

Hijrah rasulullah tidak sama hijrah anbia’ terdahulu
bukan kerana fitnah, seksa, tekanan musuh melulu
bukan sekadar cari bumi subur benih dakwah
terkibar wawasan  bagi muslimin berdiri megah
bukan kerana lari tetapi menyahut panggilan iman
di medan bayangan harapan fajar kemenangan.

Demi jihad cita-cita murni dan pengorbanan
nanti akan tertegak sebuah pemerintahan terbina, terjulang umat
dalam kejayaan

Hijrah rasul para sahabat itu merelakan
keluarga, sanak saudara tersayang, kampung halaman
kasih kota kelahiran ditinggalkan
kerana akidah dan tuhan.

Kini fajar hijrah tiba
dalam endah tak endah manusia
kita adalah umatnya
mohon rahmat, hidup sejahtera
bisakah kita berbangga mulia kedatangannya?
memperingati sirah melihat peribadi agung
mengingati  segala  nikmat Allah yang tidak terhitung.

Kita pun berhijrah hadapi cabaran, rintangan
sabar, tabah, teguh hati tempuh kesulitan
bagaikan dalam Firman:
Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah
serta berjihad pada jalan Allah
dengan harta benda dan jiwa mereka
adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah.

Kita renungi sirah dan makna
cari  kebahagiaan dari suratan peristiwa
dengannya kita lakukan perubahan sekarang
bisakah dengan semangat hijrah itu
kita kukuhkan padu kesatuan yang jitu
di landasan ukhuwwah islamiah bersatupadu
maka seluruh umat  tidak boleh tidak akan bernaung
kukuh, sujud, taat kepada Allah yang Maha Pengampun.

Kita kutip setiap sesuatu tauladan yang bijaksana
lihatlah bagaimana didirikan Quba’
masjid pertama
itulah rumah ibadah
bukan kediaman indah sempurna.
begitu rasul mempersaudarakan Muhajirin dan Anshar
Yahudi dan Nashrani
sepakat kata lahir damai suasana

Bisakah kita menimba hikmah dan iktibar
di saujana gurun terbangun kehidupan ummah
saling membantu berkerjasama kukuh ketakwaan.

Hijrah bukan untuk istirehat tetapi menegakkan dakwah
menyatukan kumpulan yang saling bertelagah, bermusuhan,
berperang dan berbunuh-bunuhan
bagaikan Aus dan Khazraj menjalinkan kasih sayang
kita kini sedang berpecah tidak ketentuan
tersilap langkah bisa ke gaung kehancuran.

Sudahlah, lihatlah
umat kita daif harta kekayaan
mundur ilmu pengetahuan
mundur akal fikiran

Tanya diri
bagaimana dan di mana jalan buat kita
kembalikan kegemilangan zaman
teguh, utuh umat dalam satu kesatuan iman?
bisakah kita muhasabah jati diri
musafir kitakan hampir ke akhir?
akal yang waras akan fahami dua alam
antara maju kehidupan dan berjaya sesudah kematian
ke mana hasil usaha untuk di bawa sebagai bekalan.

.......dan akan kembaralah kita ke masyar
masuk ke pintu surga atau neraka
adalah debar.

Hijrah kita adalah demi kemajuan dan perubahan
daripada tidak baik kepada yang baik
daripada baik kepada yang lebih baik
sehingga semuanya memang yang terbaik
lalu kita bermohon
cetusan iman berpadu jihad
antara amal makruf nahi mungkar terpaku kejap
dalam jiwa dan rasa
dalam fikir dan ilmu berguna
bukan permusuhan dan nafsu serakah
akan mengubah jasmaniah dan rohaniah
mengenali makna dunia dan akhirat.

 A. Aziz Deraman