Tuesday, November 6, 2012

Labbaik Allah


HambaMu ini datang ke rumahMu
dengan satu tekad
menyucikan hati dan jiwa
yang selama ini
tenggelam dalam keduniaan
leka dalam kemewahan
lalai diri mengingatiMu
tersisih dari jalanMu.

HambaMu ini membawa dosa
sebesar dunia
atau penuh seisinya
mohon keampunanMu
mohon kerahmatanMu
memohon keredaanMu
kerana aku tahu
dosaku tak siapa yang dapat melupuskannya
melainkan Tuhanku.

Di sisi rumahMu
aku tunduk menyembahMu
mohon sejuta keampunan
kerana aku tahu
hinanya diriku
hamba yang tidak mengagungkanMu
pada setiap detik yang berlalu
kerana aku sentiasa menjauhiMu
dalam sedar atau tidak
lupa atau leka.

Di sini
aku mohon keampunanMu
agar aku dapat kembali nanti
dalam redaMu
kerana air mata hari ini
adalah air mata keinsafan
dalam menujuMu.


Yusuf Arshad

Monday, November 5, 2012

Panduan kekeluargaan


 
1. Amanah: Pasangan sebagai amanah Allah SWT. Bermulanya amanah pada perhubungan setelah melafaz ijab kabul. Niatkan dalam hati untuk memikul tanggungjawab menjaga pasangan dan anak-anak sebaik mungkin, Apabila terasa amanah itu wajib ditunaikan, maka cinta akan terbentuk bersendikan kejujuran.

2. Tanggungjawab : Tanggungjawab utama adalah terhadap Allah SWT kerana kita mengahwini pasangan kita juga keranaNya. Jika tanggungjawab terhadapNya tertunai dengan sempurna sudah pasti tanggungjawab dengan pasangan dan ahli keluarga dapat dipenuhi dengan sebaiknya.

3. Disiplin : Disiplinkan diri dan ahli keluarga untuk mewujudkan keluarga ceria lagi harmoni serta berada dalam landasan yang diredaiNya.

4. Dekat di hati : Sesetengah pihak berasakan keluarga sentiasa dekat di hati. Sudah pasti golongan ini tidak akan mensia-siakan kehidupan setiap insan di sisinya. Walaupun berjauhan di mata tetapi sayangnya tetap di hati.

5. Sakinah : Sakinah bermaksud aman, damai dan tenang. Golongan yang mempunyai sakinah dalam rumah tangga tenang mengharungi kehidupan mencari keredaan Ilahi.

6. Mawaddah : Mawaddah iaitu kemanisan berhubungan dengan pasangan. Misalnya bergurau senda, puji-memuji, menghargai kehadirannya dan berkasih sayang.

7. Rahmah : Kasih sayang antara hubungan suami isteri adalah satu rahmah dalam rumah tangga. Kedua-duanya mestilah sanggup berkorban apa sahaja asalkan pasangan berbahagia.

Tip kesetiaan  :

1. Niat untuk kekal bahagia : Niatlah dalam hati agar perhubungan yang sah di sisi syarak akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Kebiasaannya, apabila seseorang itu telah berniat, maka dia akan berusaha ke arah itu untuk melaksanakan dengan sempurna. Berdoalah agar sentiasa dilindungi daripada fitnah.

2. Terima seadanya : Belajarlah menerima pasangan seadanya dengan sentiasa mencari kebaikan dan tidak tertumpu pada keburukannya sahaja. Ingatlah, kita juga mempunyai kelemahan.

3. Jaga pandangan mata : Sebaik muslim, kita wajib menjaga pandangan mata agar tidak tersasar ke landasan kemungkaran. Usah sesekali memberikan pandangan yang didorongkan hawa nafsu syaitan.

4. Jaga pergaulan : Saling menasihati antara pasangan agar tidak tersasar. Bijak memilih teman yang dapat membimbing ke arah lebih baik dan harmoni bukannya semakin derita.

5. Utamakan keluarga : Kebanyakan suami isteri yang dapat mempertahankan cinta selalu mengutamakan keluarga daripada urusan lain. Oleh itu, persoalan untuk cinta beralih arah dapat dipadamkan kerana tidak sanggup untuk meluka dan dilukai.

Carilah hikmah bagi setiap dugaan yang ditempuhi bersama agar kesetiaan terus subur. Jadilah sang pencinta yang setia kerana cinta sebenarnya untuk dinikmati bukan ditangisi.

Wallahu a’alam.

(Sinar Harian; 5 Nov 2012)

Melindungi Masa Instruksional


Masa Instruksional

Ia bermaksud sebagai masa yang sebenarnya digunakan untuk aktiviti pembelajaran tanpa gangguan.

Masa instruksional  perlu dilindungi. Menurut Levin dan Tsang (1987) melindungi masa instruksional  (MMI) melibatkan 4 elemen :

a)  Masa Persekolahan (Allocated schooling time) : Jumlah masa murid hadir ke sekolah.
b)   Masa Bilik Darjah (Allocated class time) : Jumlah masa murid berada dalam kelas (tidak termasuk waktu rehat, pertukaran kelas, waktu makan tengah hari dan lain-lain). Ia merupakan subkategori masa persekolahan.
c)  Masa Instruksional (Instructional time) : Jumlah masa yang digunakan untuk instruksional (tidak termasuk gangguan, pergurusan rekod dan lain-lain)
d)  Masa Pembelajaran Akademik (Academik learning time) : Jumlah masa instruksional di mana murid memberi perhatian dan menerima instruksion pada tahap penguasaan tertentu serta berlakunya pembelajaran berkesan atau bermakna.

 Wallahu a’alam.

Saturday, November 3, 2012

Telur


Kesulitan itu umpama telur. Di sangkakan  orang, menjadi penjara bagi yang ada di dalamnya. Padahal telur itu yang menjaganya, memimpin dan menolongnya supaya menjadi sempurna. Tidak ada jalan selain dari sabar menunggu waktu dan rasa senang dengan tujuan tercapai.Bila tiba waktunya telur itu pecah, keluarlah makhluk yang baru (ayam).

Orang beriman itu di dunia sebagai anak ayam di dalam telur. Hidup, bekerja dan tumbuh di dalamnya. Dan setelah sempurna, keluar dari situ dan masuk ke dalam alam yang sempurna pula.

Wallahu a’alam.

( Imam Rafi’i)

Sebatang kail menconteng langit


Sebatang kail
menconteng langit
adalah harapan
langit tidak memuntahkan taufan
mencipta gelombang pada laut

Aku di bingkai laut
menumpang zikir ombak
yang tidak pernah berhenti
mengusap pantai.

Sebatang kail
menconteng langit
adalah munajat hamba
langit memuntahkan cahaya
dan laut bermurah hati
menyuburkan mutiara iman di dada hamba.

Aku di bibir pantai
menumpang zikir angin
yang tidak pernah berhenti
menghembus bayu
membelai lembut
helaian daun-daun iman.

Sebatang kail
menconteng langit
adalah jalinan
ayat-ayat cinta
rindu dendam laut
walau sesaat tidak mahu ia
membiar pantai tinggal kesepian.

Aku di gigi laut
menumpang syukur reda pantai
mendakap rindu dendam laut
merelakan diri diterjah
dirobek ombak dan gelombang.

Sebatang kail
menconteng langit
adalah usaha seorang hamba
menuntut reda Tuhan
dalam tenang damai kebahagiaan
atau rencam gelombang kesengsaraan.

Yajuk
 esastera.com

Friday, November 2, 2012

Ujian Urwah bin Zubair


Urwah bin Zubair, seorang ahli fiqh yang terbesar, dapat menjadi contoh yang baik tentang orang beriman yang cukup sabar, menghargai nikmat dan teguh hati. Menurut riwayat, sebelah kakinya berpenyakit yang menyebabkan para doktor berpendapat supaya dipotong, sehingga tidak menular sampai ke betisnya, kemudian ke pahanya dan mungkin kepada keseluruhan tubuhnya.
 
Dia bersedia dipotong kakinya untuk kepentingan perubatan. Lalu disuruh meminum suatu minuman yang boleh menghilangkan ‘aqalnya, sehingga dia tidak merasa sakit dan lebih memungkinkan para doktor untuk memotong kakinya. Tetapi dia menjawab : Aku tidak mengira, bahawa seseorang yang beriman kepada Allah tidak akan meminum sesuatu yang dapat menghilangkan kewarasannya, sehingga dia tidak mengenal dan ingat lagi akan Tuhannya. Biarlah kakiku ini kamu potong sahaja.

Lalu dipotong lututnya. Dia diam sahaja, tidak berkata apa-apa dan dia tidak mengeluh atau merintih walau sedikitpun.

Selanjutnya qadar Tuhan berlaku pada diri Urwah, untuk menguji keimanannya, di malam hari kakinya dipotong itu terjatuh pula seorang putera kesayangannya dari tingkat atas rumahnya lalu meninggal dunia ketika itu jua. Kawan-kawannya datang menyampaikan takziah.

Beliau mengucapkan :  Ya Allah! Pujian untuk Engkau. Anakku tujuh orang, lalu Engkau ambil satu, dan tinggal enam orang. Kaki-tanganku ada empat, lalu  Engkau ambil satu dan masih tinggal tiga. Kalau Engkau yang mengambil, maka Engkau juga yang memberikan. Kalau Engkau yang memberikan cubaan, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan (menyihatkan).

Demikanlah bimbingan iman meneguhkan hati, dikala mengalami penderitaan dan cubaan.

Wallahu a’alam.

( Iman dan kehidupan ; Dr Yusuf Al-Qaradawi )

Thursday, November 1, 2012

Aku manusia


Aku manusia mahu kembali padamu
kembali seperti fitrah kejadianku
aku manusia tidak luput
dari salah, lupa, sombong, tidak mahu merendah.

Shaitan itu bangga akan dirinya
akulah paling baik
segala sempurna
tidak aku terasa terhina
kufur kepadaNya
Adam dan Hawa terusir dari surga.

Aku manusia terlalu menganiaya diri
kekal hina, lemah merintih hati nurani.

Aku manusia berbuat jahat
berhati luka, kotor , dosa
busuknya tidak bersih jiwa.
parahnya akan mematikan semua.

Mata melihat setiap yang tercela
telinga mendengar omongan sia-sia
lidah kehilangan banyak istighfar.

Jangan khianatku memukul sabar
kaki ulang berulang berpergian
perut menumbuhkan daging haram
aurat terbuka tercalar penghormatan.

Aku manusia bukan syaitan terkutuk
aku manusia tidak luput dari salah
tetapi Engkau Maha Penerima Taubat
lagi pun Engkau Maha Penyayang
maka ku mohon seperti maksud FirmanMu :
Dan barangsiapa yang berbuat kejahatan
atau menganiaya diri sendiri,
kemudian ia memohon ampun kepada Allah
nescaya ia mendapat Allah Maha Pengampun lagi
Maha Penyayang (An-nisaa’  4:110)

Hai orang-orang yang beriman
bertaubatlah kepada Allah setulus hati,
semuga Tuhanmu menghapus dosa-dosamu
dan memasukkan kamu ke dalam syurga
yang mengalir di bawahnya sungai-sungai (At-Tahriim 66:8)

Aku manusia bukan shaitan terkutuk.

A.Aziz Deraman