Showing posts with label Manaqib Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Manaqib Sahabat. Show all posts

Wednesday, September 11, 2013

Zaid bin Arqam RA



Zaid bin Arqam bin Zaid bin Qais bin Nu’man bin Malik bin al-Aghar bin Tha’labah bin Ka’ab bin Khazraj. Ulama berselisih pendapat tentang gelarannya. Ada pendapat menyebut Abu Umar dan ada yang menyebut Abu Amir. Beliau masih kecil sewaktu peperangan Uhud. Mula menyertai peperangan Khandak. Ada pendapat menyatakan peperangan Muraisi’. Berperang 17 kali bersama nabi saw sebagaimana thabit dalam Shahih.

Beliau banyak meriwayatkan hadis. Antara yang meriwayatkan daripadanya pula ialah Anas, Abu Tufail, Abu Uthman al-Nahdi, Abdul Rahan bin Abi Laila, Abd Khairin, Tawus dan beliau mempunyai kisah yang menarik ketika turunnya surah al-Munafiqin. Menyertai peperangan Siffin bersama Ali. Beliau meninggal dunia pada tahun 63 Hijrah di Kufah sewaktu zaman pemerintahan al-Muhktar dan ada pendapat mengatakan pada tahun 68 Hijrah.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tuesday, September 10, 2013

Umar bin al-Khattab RA



Umar Ibn al_khattab, Amirul Mukminin, Abu Hafs. Merupakan khalifah kedua selepas Abu Bakar RA pada tahun 13 Hijrah. Memeluk agama Islam ketika berusa 33 tahun iaitu 6 tahun selepas nabi Muhammmad saw dibangkitkan sebagai rasul.

KeIslamannya itu merupakan pembukaan kepada umat Islam sehingga kata Abdullah bin Mas’ud : Kami tidak mampu mengadakan solat berhampiran Kaabah sehingga Islamnya Umar. KeIslamanannya selepas daripada 40 lelaki dan 11 wanita. Beliau merupakan satu-satunya yang melakukan hijrah secara terang-terangan dan menghadiri semua peperangan bersama rasulullah saw.

Pada zaman pemerintahannya dibuka Syam, Iraq, Baitul Maqdis, Madain, Mesir dan Jazirah sehingga dikatakan : Tertegak pada zamannya dua belas ribu minbar dalam Islam. Mati syahid pada tahun 23 Hijrah, dibunuh oleh Abu Lu’luah al-Majusi ketika menghadiri solat Subuh dan hidup selepas tikaman itu selama 3 hari.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sunday, September 8, 2013

Salman al-Farisi RA



Abu Abdillah Salman al-Farisi, digelar juga dengan gelaran Salman al-Khair. Maula kepada rasulullah saw yang berasal dari Parsi. Seringkali bermusafir mencari agama yang sebenar. Pernah menganut agama Kristian dan mampu membaca banyak kitab.

Beliau dibeli oleh orang Yahudi sehingga di bawa ke kota Madinah sebagai hamba. Dikatakan, beliau mula menyertai peperangan bersama rasulullah saw di dalam peperangan Khandak dan seterusnya dan pernah juga memegang jawatan gabenor di Madain selepas itu.

Rasulullah saw pernah bersabda: Salman di kalangan kita Ahlul Bait. Beliau dikatakan mempunyai usia yang panjang. Ada pendapat menyatakan usianya 250 tahun dan ada yang mengatakan usianya 350 tahun. Beliau makan dengan kerja yang dilakukannya dan banyak bersedekah.

Beliau meninggal dunia di kota Madinah pada tahun 50 Hijrah. Ada pendapat menyatakan 32 Hijrah. Rasulullah saw pernah bersabda: Sesungguhnya Allah kasih di kalangan sahabatku empat orang, salah seorangnya Salman al-Farisi.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Thursday, September 5, 2013

Sahl bin Sa’d RA




Sahl bin Said bin Malik bin Khalid bin Tha’labah bin Haisami bin Amru bin al-Khazraj bin Sa’idah al-Ansari al-Sa’idi. Dari kalangan sahabat yang masyhur. Dikatakan namanya Hazan, kemudian nabi saw menukarkannya sebagaimana riwayat Ibn Hibban. Beliau meriwayatkan daripada nabi saw bahawa Abi Ubay, Asim bin Adi, Amru bin Anbasah, Marwan dan Marwan yang lebih kecil daripadanya. Adapun yang meriwayatkan daripadanya pula oleh anaknya al-Abbas, Abu Hazam, al-Zuhri dan lain-lain.

Al-Zuhri berkata : Rasulullah saw wafat di mana beliau berusia 15 tahun dan sahabat yang terakhir meninggal di Kota Madinah iaitu pada tahun 91 Hijrah. Al-Waqidi berkata : Beliau hidup selama 100 tahun dan ada pendapat yang mengatakan 96 tahun.

Berhubung dengan tempat kematiannya ada juga pendapat yang mengatakan beliau meninggal di Iskandariyah seperti sangkaan Ibn Abi Daud. Qatadah berkata : Beliau meninggal di Mesir. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata : Ini adalah waham yang sebenarnya anaknya al-Abbas.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Wednesday, September 4, 2013

Saad bin Abi Waqqas RA



Saad bin Abi Waqqas Malik bin Wuhaib bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab al-Zuhri Abu Ishak. Salah seorang daripada sepuluh orang yang dijamin masuk syurga. Beliau orang yang pertama memanah di jalan Allah. Beliau mempunyai sejarah yang banyak. Meninggal di Aqiq pada tahun 55 Hijrah, inilah pendapat yang rajah. Dialah yang terakhir meninggal dunia daripada sepuluh orang yang dijamin masuk ke syurga.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tuesday, September 3, 2013

Qutbah bin Malik RA



Qutbah bin Malik al-Tha’labi daripada Bani Tha’labah bin Zibyan dikatakan juga Zibyani iaitu bapa saudara kepada Ziyad bin Alaqah. Imam al-Bukhari dan Ibn Abi Hatim berkata : Beliau merupakan sahabat menetap di Kufah. Kata Ibn Sakan, beliau termasuk di kalangan ahli Kufah.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Monday, September 2, 2013

Nu’man bin Basyir R.Anhuma



Nu’man bin Basyir bin Sa’d bin Tha’labah bin Khalad bin Zaid al-Khazraji. Dikuniyah dengan Abu Abdillah. Beliau dan bapanya adalah sahabat rasulullah saw.

Al-Waqidi berkata : Beliau orang yang pertama dilahirkan dalam Islam di kalangan Ansar selepas Hijrah, 14 bulan. Meriwayatkan daripada nabi saw dan Khalid bin Abdullah, Umar dan Aisyah dan telah meriwayatkan daripadanya anaknya Muhammad, maulanya Salim, Urwah, Sya’bi, Subaie, Abu Qilabah, Khaithaas, Sammak dan lain-lain.

Syaibah bin Abdul Aziz berkata : Beliau adalah qadi Damsyik selepas Fudalah bin Ubaid. Samna’ bin Harb berkata : Muawiyah menjadikannya Gabenor di Kufah, sebagsi ahli pidato yang hebat kemudian berpindah kepada Gabenor Hims. Mati dibunuh pada tahun 65 Hijrah.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sunday, September 1, 2013

Miqdam bin Ma’dikarib RA



Miqdam bin Ma’dikarib bin Amru bin Yazid bin Ma’dikarib digelar dengan Abu Karimah, dikatakan juga kuniyahnya Abu Yahya al-Kindi. Seorang sahabat yang masyhur, meriwayatkan daripadanya beberapa hadis. Begitu juga beliau meriwayatkan daripada Khalid bin al-Walid, Muaz dan Abi Ayyub. Yang meriwayatkan daripadanya pula ialah anaknya Yahya, cucunya Soleh bin Yahya, Khalis bin Ma’dan, Habib Ubaid dan lain-lain. Menetap di Hims. Meninggal dunia pada tahun 87 Hijrah mengikut pendapat yang sahih dalam usia 91 tahun. Uthman berkata : meninggal ketika usia 93 tahun dan ada pendapat 96 tahun. Abi Yahya bin Salim al-Kilaie berkata : Kami bertanya kepada Miqdam bin Ma’dikarib, ramai orang menyangka kamu tidak melihat nabi saw, lantas jawabnya : Bahkan sesungguhnya aku melihatnya dan dia memegang telingaku dan sesungguhnya aku berjalan bersama bapa saudaraku.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Friday, August 30, 2013

Al-Bara’ bin Azib Ra



Al-Bara’ bin Azib bin al-Harith bin Adi bin Jusyam bin Majda’ah bin Harithah bin al-Harith bin Amr bin Malik bin al-Aus al-Ansari al-Ausi. Dikuniyahkan dengan Abu Ammarah Abu Amr. Beliau dan ayahnya merupakan sahabat. Katanya: Aku dianggap kecil  oleh rasulullah saw dalam peperangan Badar. Beliau menyertai peperangan Uhud. Diriwayatkan daripadanya, beliau berperang bersama rasulullah saw sebanyak 14 peperangan dan bermusafir sebanyak 18 kali bersama rasulullah saw. Beliau yang membuka kota al-Ray pada tahun 24 Hijrah. Menyertai peperangan Tustar bersama Abi Musa, begitu juga bersama Ali dalam peperangan al-Jamal dan al-Sifin, juga memerangi Khawarij. Menetap di Kufah dan meninggal dunia di sana pada pemerintahan Mus’ab bin al-Zubair iaitu pada tahun 72 Hijrah.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Thursday, August 29, 2013

Al-Abbas bin Abdul Mutalib



Namanya al-Abbas bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf al-Qurasyi. Bapa saudara nabi saw, Abu Fadhl. Ibunya bernama Natilah binti Janab bin Kalb. Beliau lahir dua tahun sebelum rasulullah saw dilahirkan. Pada zaan jahiliyah, beliau menguasai siqayah dan imarah (memberi minum dan menjaga Baitullah al-Haram). Beliau menghadiri perjanjian Aqabah bersama golongan Ansar sebelum memeluk Islam. Beliau turut menyertai peperangan Badar di sebelah pihak Musyrikin.

Beliau termasuk salah seorang yng ditawan kemudian ditebus oleh anak saudaranya Aqil bin Abi Talib dan kembali ke kota Mekah. Dikatakan beliau telah memeluk Islam tetapi menyembunyikan daripada kaumnya. Beliau menulis surat kepada nabi saw menceritakan rancangan orang Mekah untuk menyerang Madinah dalam peperangan Khandak.

Kemudian beliau berhijrah sebelum pembukaan kota Mekah seketika. Menghadiri pembukaan kota Mekah dan peperangan Hunain. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud : Siapa yang menyakiti Abbas sesungguhnya menyakitiku, kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudara.

Rasulullah saw juga pernah memuji al-Abbas dengan bersabda yang bermaksud : Inilah Abbas, sepemurah Quraisy dan paling kuat menjaga silaturahim. Justeru, para sahabat mengiktiraf kelebihan Abbas, bermesyuarat dengannya dan mengambil buah fikirannya. Meninggal di kota Madinah pada bulan Rejab atau Ramadan, tahun 32 Hijrah. Antara sifat-sifatnya, beliau seorang yang tinggi, tampan dan putih warna kulitnya.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Wednesday, August 28, 2013

Aisyah R.Anha



Ummu al-Mukminin Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq R.Anha. Digelar dengan Ummu Abdillah iaitu dengan anak saudaranya Abdullah bin Zubair. Beliau dilahirkan di kota Mekah empat tahun sebelum nabi Muhammad saw dilantik sebagai rasul.

Beliau berkahwin dengan rasulullah saw di Mekah ketika berusia 6 tahun dan rasulullah saw bersamanya di kota Madinah ketika usianya 9 tahun iaitu pada bulan Syawal selepas pulang daripada peperangan Badar pada tahun 2 Hijrah. Rasulullah saw wafat ketika usianya 18 tahun dan beliau hidup selepas kewafatan baginda selama 40 tahun. Salah seorang isteri rasulullah saw yang faqih, alim, cerdik dan banyak meriwayatkan hadis daripada rasulullah saw iaitu sebanyak 1210 hadis.

Aisyah R.Anha meninggal di kota Madinah pada tahun 57 Hijrah. Abu Hurairah menyembahyangkannya yang ketika itu menjadi Gabenor di kota Madinah pada zaman pemerintahan Marwan bin al-Hakam.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tuesday, August 27, 2013

Ali bin Abi Talib RA



Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf al-Qurasyi al-Hasyimi digelar dengan Abu al-Hasan. Lahir di kota Mekah sebelum kebangkitan rasulullah saw sebagai rasul sepuluh tahun mengikut pendapat yang sahih. Beliau telah dipelihara oleh rasulullah saw, sepupu nabi saw dan juga menantunya. Beliau antara orang yang pertama beriman ketika berusia 10 tahun.

Beliau mempunyai sejarah manaqib yang menarik sehingga kata Imam Ahmad tidak dinaqalkan bagi seseorang daripada sahabat sebagaimana dinaqalkan berkenaan dengan Ali. Beliau tidak pernah berpisah dengan rasulullah saw dan sentiasa bersamanya dalam semua peperangan kecuali peperangan Tabuk kerana beliau dilantik menjadi pengganti rasulullah saw di Madinah. Rasulullah saw mempersaudara dengannya. Salah seorang yang dijamin masuk syurga dan menjadi ahli syura yang dilantik oleh Umar RA. Beliau sentiasa menyebarkan ilmu dan berfatwa. Menjawat jawatan khalifah selama lebih kurang 5 tahun selepas Uthman bin al-Affan RA. Mati syahid dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljim pada malam 17 Ramadan tahun 40 Hijrah ketika berusia 63 tahun.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Monday, August 26, 2013

Abu Zar RA



Abu Zar al-Ghifari sahabat yang masyhur. Nama sebenarnya Jundub bin Junadah bin Sufyan bin Ubaid bin Hiram bin Ghifar bin Malil bin Damrah bin Bakar bin Abdul Manaf bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma’d bin Adnan sebagaimana pendapat al-Tabarani. Ini adalah pendapat yang paling sahih. Ada mengatakan Burair atau Barir dan nama ayahnya terdapat kekhilafan di kalangan ulama ada yang menyatakan nama ayahnya ialah Jundub, atau Asyraqah, atau Abdullah atau al-Sakan.

Beliau telah memeluk Islam pada awal lagi, tetapi lewat berhijrah ke Madinah justeru tidak menghadiri perang Badar. Beliau mempunyai manaqib yang banyak, antaranya kata beliau : Aku dapati diriku yang keempat memeluk Islam dan tiada yang memeluk Islam sebelumku kecuali nabi saw, Abu Bakar dan Bilal mengikut al-riwayat al-Tabarani. Rasulullah saw pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud, maksudnya : Siapa yang suka melihat orang yang hampir sama dengan Isa bin Maryam, akhlak dan fizikal maka lihatlah kepada Abi Zar. Beliau meninggal pada pemerintahan Saidina Uthman di al-Rabzah pada tahun 32 Hijrah.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sunday, August 25, 2013

Abu Ya’la, Syaddad bin Aus RA



Syaddad bin Aus bin Thabit al-Khazraji. Dikuniyahkan dengan Abu Ya’la atau Abu Abdul Rahman. Khalifah berkata: Nama ibunya Sarimah atau Sarmah daripada Bani Adi bin Najjar. Ayahnya menyertai Peperangan Badar dan mati syahid dalam peperangan Uhud sebagaimana kata Ibn al-Burqi.

Ubadah bin al-Somit berkata: Syaddad bin Aus termasuk di kalangan manusia yang dikuniyahkan dengan ilmu dan sifat lemah lembutnya sedangkan ramai manusia dikuniyahkan salah satu dari keduanya. Dengan sebab itu, kata Said bin Abdul Aziz kelebihan Syaddad bin Aus ialah dengan dua perkara yang penuh dengan ilmu dan kesabaran yang tinggi ketika marah.

Satu ketika rasulullah saw bertanya kepada Syaddad, lantas jawabnya : Dunia sempit bagiku. Kemudian sabda nabi saw : Tidak bagi kamu, sesungguhnya Kota Syam akan dibuka, kamu dan keturunanmu akan menjadi pemimpin di sana, insya Allah.

Imam al-Baihaqi berkata : Beliau menetap di Kota Hims. Ibn Sa’d berkata: Beliau meninggal pada tahun 58 Hijrah ketika berusia 75 tahun. Terkenal sebagai orang yang kuat beribadat dan rajin berusaha. Abu Nu’aim berkata: Beliau meninggal dunia di Palestin pada zaman pemerintahan Muawiyah. Ibn Hibban berkata : Beliau dikebumikan di kota Baitul Maqdis.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Saturday, August 24, 2013

Abu Syuraih al-Khuzaie RA



Nama sebenarnya Khuwailid bin Amru bin Khuwailid. Dikatakan juga Abdul Rahman bin Amru. Begitu juga ada yang mengatakan Hani’ dan Ka’b. Abu Syuraih al-Khuza’ie merupakan seorang sahabat. Menetap di kota Madinah dan meninggal dunia pada tahun 68 Hijrah mengikut pendapat yang sahih.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Friday, August 23, 2013

Abu Said al-Khudri RA



Nama sebenarnya ialah Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khazraji al-Ansari, Abu Said al-Khudri. Al-Khudri dinisbahkan kepada perkampungan Khudrah daripada perkampungan Ansar sebagaimana di dalam al-Qamus. Beliau dan ayahnya adalah sahabat rasulullah saw. Beliau tidak menyertai peperangan Uhud disebabkan masih kecil. Menyertai peperangan selepas Uhud sebanyak 12 peperangan bersama rasulullah saw. Beliau juga meriwayatkan hadis iaitu 1170 hadis dan berfatwa. Usianya mencecah 86 tahun. Ulama telah khilaf tarikh kematiannya, ada yang menyatakan beliau meninggal dunia di kota Madinah pada tahun 63,64 atau 65 Hijrah dan ada yang mengatakan pada tahun 74 Hijrah.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Thursday, August 22, 2013

Abu Ruqayyah RA



Abu Ruqayyah Tamimi bin Aus al-dariy bin Kharijah. Nisbahnya kepada al-Darain, Hani’ daripada Lakhm. Beliau berasal dari agama Kristian, kemudian memeluk Islam pada tahun 9 Hijrah. Menetap di Kota Madinah kemudian berpindah ke Syam selepas pembunuhan Saidina Uthman bin Affan RA. Kemudian menetap di Baitul Maqdis.

Beliau terkenal dengan kekuatan tahajjud. Meninggal dunia di Palestin pada tahun 40 Hijrah. Beliau meriwayatkan 18 buah hadis. Abu Nu’aim dalam kitabnya al-Hilyah berkata: Tamim al-Dariy berasal daripada seorang pendita pada zamannya dan ahli ibadat di kalangan penduduk Palestin. Beliaulah orang yang mula menyalakan pelita di dalam masjid dan perintis kepada penceritaan pada zaman Umar dengan izinnya.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Wednesday, August 21, 2013

Abu Malik al-Harith bin Asim al-Asy’ari RA



Nama sebenarnya ialah Ka’ab bin Asim al-Asy’ari dikuniyah dengan gelaran Abu Malik. Seorang sahabat yang masyhur menetap di Syam kemudian Mesir. Meriwayatkan dua buah hadis daripada nabi saw.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tuesday, August 20, 2013

Abu Hurairah RA



Abu Hurairah al-Dusi, seorang sahabat yang mulia lagi hafiz. Ulama khilaf pada namanya dan nama ayahnya antaranya ialah Abdul Rahman bin Sakhar, Ibn Ghanam, Abdullah bin A’iz, Ibn Amir, kebanyakan ulama mensahihkan yang pertama ialah Abdul Rahman bin Sakhar. Ibn Ishak berkata : Sebahagian sahabat kami berkata kepadaku tentang Abu Hurairah, adalah namanya pada zaman Jahiliyah ialah Abd al-Syam bin Sakhar. Kemudian rasulullah saw menamakannya dengan Abdul Rahman dan dikurniakan dengan gelaran Abu Hurairah. Ini kerana beliau selalu membawa anak kucing dalam lengan bajunya.
 
Al-Hafiz Ibn Hajar meriwayatkan sebab dinamakan Abu Hurairah iaitu beliau bekerja sebagai pengembala kambing dan mempunyai seekor anak kucing. Apabila waktu malam beliau meletakkan di atas pokok dan apabila di siang hari beliau akan mengambilnya untuk bermain.

Antara wasiat rasulullah saw kepada Abu Hurairah RA ialah mandi pada hari Jumaat, bersegera menunaikan solat Jumaat, jangan melakukan perkara lagha, berpuasa tiga hari dalam sebulan, melakukan dua rakaat solat fajar sekalipun bersembahyang sepanjang malam. Beliau meninggal pada tahun 57 Hijrah, ada yang mengatakan 58 Hijrah dan ada yang mengatakan 59 Hijrah ketika berusia 78 tahun.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Monday, August 19, 2013

Abu Bakrah RA



Abu Bakrah namanya ialah Nufai’ bin Masruh. Dikatakan juga bin al-Harith. Abu Bakrah pernah berkata: Aku ialah maula rasulullah saw dan beliau enggan dinisbahkan kepada sesiapa. Beliau pernah berada di benteng Taif ketika rasulullah saw mengepungnya bersama jamaah di kalangan pemuda ahli Taif dan memeluk Islam. Kemudian rasulullah saw memerdekakannya.

Beliau termasuk di kalangan sahabat yang lebih. Ibn Abd al-Bar berkata: Beliau sama seperti al-Nadhar bin Ubadah. Meninggal di Kota Basrah pada tahun 51 atau 52 Hijrah. Anak-anaknya memegang jawatan yang besar di Basrah dan mempunyai ilmu. Beliau masyhur dengan gelarannya.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri