Di dalam tabiat manusia terdapat empat unsur yang menjelma dalam
sifat-sifat yang dikenal dengan nama kebinatangan, kekasaran, kesyaitanan dan kemalaikatan
(kesucian). Oleh kerana itu tidak hairan apabila dalam tabiat seseorang itu
muncul perbuatan-perbuatan seperti babi, anjing, syaitan dan alim.
Sifat-sifat babi
Ia menggambarkan keserakahan yang menjijikkan, bukan dalam hal hentuk dan
potongannya akan tetapi dalam kegemaran makan di luar kepantasan. Hanya untuk
melepaskan lahap dan nafsunya sahaja. Itulah tanda orang-orang yang tiada
menghiraukan hukum-hukum agama yang
melarang ia memakan, meminum benda-benda yang diharamkan atas dirinya.
Sifat-sifat anjing
Ia menggambarkan sifat-sifat suka melepaskan hawa nafsu kemarahan,
keganasan dengan perbuatannya menggonggong dan menggigit siapa sahaja yang
tidak disukainya atau yang dianggap hendak mengacaunya. Itulah tanda
orang-orang yang pertimbangan akalnya tidak sempurna sehingga timbul
persangkaan yang buruk terhadap orang lain, yang boleh menyebabkan kerugian
dirinya sendiri jua.
Sifat-sifat
syaitan
Ia menggambarkan sifat-sifat yang suka hasut menghasut, menabur faham dan
pengertian. Menggoda, membujuk dengan hiasan-hiasan janji dan keseronokan.
Itulah tanda-tanda orang yang akal budi serta hatinya tidak sihat, kabur dan
kotor kerana dipengaruhi oleh khayal, asyik dan lupa kepada Allah.
Sifat-sifat
kemalaikatan
Ia menggambarkan akal budi, fikiran dan hati yang suci bersih. Ia
mengisikan lubuk hatinya itu dengan kalimat Alif Lam Lam Ha iaitu Allah. Bibirnya
menolak segala yang batal dengan lafasan kalimatu tauhid iaitu La Ilaha
Illallah. Dengan jalan proses itulah yang ia terdaya upaya untuk menolak:
* benda-benda haram (sifat babi)
* nafsu amarah (sifat anjing)
* hasutan hati (sifat syaitan)
Setelah itu barulah timbul rasa tawaduk, kerendahan diri, kesucian
cita-cita dan terbukalah tabir yang mendindingi cermin kalbu untuk melihat
kebenaran, merasa kemanisan hidup beragama dan memuji Allah dengan pemberian
ilmu yang diberikan kepadanya.
Sifat-sifat seperti babi itu boleh menghilangkan rasa malu pada diri
seseorang. Jika ini telahpun melekat pada diri seseorang maka setentunya segala
perbuatan yang tidak senonoh menjadi kegemaranya. Apakah layak ia digelar
manusia? Sifat-sifat seperti anjing itu boleh membawa kebesaran diri dan
persangkaan buruk kepada yang lain. Sesiapa sahaja yang dianggap kurang dihinanya
dengan kata-kata kesat dan menyakitkan. Sifat seperti syaitan itu boleh
menimbulkan hilangnya kewajipan diri terhadap Allah dan agamaNya.
Dan seandainya ketiga-tiga sifat itu sudahpun menjadi darah daging si
manusia itu, tidak lain hanya segalanya itu akan membawa ia kepada azab dirinya
jua. Oleh yang demikian, sayanglah diri kita ini, janganlah kita memasukkannya
ke neraka dengan keinginan dan perbuatan kita sendiri itu. Ketahuilah bahawa
Allah itu Maha Pengasih dan Pengampun. Tiada dosa atau kesalahan yang tiada
pengampunan kecuali menduakanNya.
Ya Allah aku berlindung
diriku padaMu daripada hati yang tidak khusyuk dan dari doa yang tidak didengar
(dikabulkan) dan dari nafsu yang tidak pernah kenyang (puas) dan dari ilmu yang
tidak bermanfaat. Aameen Ya Rabbal Alamen.
Wallahu ’alam
Sentuhan rohani
Yusof Haji WanJor
Thinker’s libarary Sdn.Bhd.
2001