Sunday, January 1, 2017

Sa’id bin ‘Amir Al-Jumahiy (7)


Tidak berapa lama, Umar bin al-Khattab datang ke wilayah Syam bagi melakukan tinjauan. Sehingga akhirnya beliau tiba di Hims. Kota ini dikenali juga dengan al-Kuwaifah , sebagai perbandingan dengan kota Kufah. Lantaran penduduk di sini sering membuat pengaduan tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap kakitangan kerajaan dan gabenor, sebagaimana sikap penduduk Kufah.

Apabila beliau tiba di Hims, penduduknya bertemu dan mengucap salam kepada beliau. Umar bertanya: Apa pandangan kamu tentang gabenormu?

Lalu mereka mengadu kepada Umar dan menyebut empat perangai gabenor mereka. Satu demi satu dan perangai yang terkemudian lebih buruk jika dibandingkan dengan yang sebelumnya.

Kata Umar: Saya akan temukan Sa’id dengan mereka. Saya berdoa agar sangkan saya terhadap Sa’id tidak salah. Lantaran saya berkepercayaan penuh terhadapnya.

Apabila pagi menjelang, penduduk Hims dan gabenornya bersemuka di hadapan saya.

Apakah aduan kamu tentang gabenormu? Tanya Umar.

Beliau tidak keluar menemui kami sehingga matahari meninggi, adu mereka.
Apa katamu tentang aduan tersebut wahai Sa’id, Umar bertanya.

Beliau diam sebentar....kemudian berkata: Demi Allah! Saya tidak suka memperkatakannya. Namun saya terpaksa berterus terang. Keluarga saya tidak memiliki orang gaji. Setiap pagi saya bangun menguli tepung. Setelah itu saya perap adunan tersebut sehingga naik. Kemudian barulah saya bakar untuk makanan keluarga saya. Selepas itu saya mengambil wuduk dan keluar bertemu orang ramai.

Apalagi aduan kamu tentang beliau, tanya Umar setelah berpuas hati dengan penjelasan Sa’id.

Dakwa mereka: Beliau tidak melayan sebarang pengaduan padawaktu malam.

Umar bertanya: Apa katamu tentang aduan tersebut?

Jawabnya: Demi Allah! Saya juga tidak suka menghebohkan perkara ini.....sebenarnya saya peruntukkan siang untuk mereka......manakala malam untuk Allah Azza Wa Jalla.

Wallahu ’alam

Dr.Abdul Rahman Ra’fat al-Basha
65 Gambaran Kehidupan Sahabat
Pustaka Salam, 2006 

No comments:

Post a Comment