Dari itu maka marilah kita bahas sekadar mengapa orang-orang yang berilmu
pengetahuan boleh terkena oleh sifat-sifat itu. Ada dua sebab yang mungkin
mempengaruhinya:
Pertama. Fikirannya keliru menangkap hakikat
ilmu. Misalnya ia mengabdi kepada teori-teori ilmu pengetahuan tertentu seperti
Matematik, Fizik, Dialektika. Mereka mengira
bahawa dengan mempunyai keahlian dalam ilmu-ilmu ini akan menjadikannya manusia
sempurna. Pada hal sesungguhnya hakikat ilmu yang sebenarnya ialah yang
mengandungi erti penyingkapan sesuatu hijab yang menutup sehingga mata hatinya
terbuka dan dapat melihat perhubungan ghaib antara manusia dengan Yang Maha
Pencipta. Kemudian hendaknya pancainderanya (seluruh jiwa raganya) mengabdi
dengan rasa taqwa, khusyuk kepada Yang Maha Kuasa, Yang Maha Suci.Sikap fikiran
yang seperti ini dan penerangan yang sedemikianlah yang semestinya ia sungguh
mempelajari kerana itulah hakikat ilmu yang sebenarnya.
Kedua. Adanya sikap tak acuh (tidak tertarik)
kepada agama dan yang berhubung dengannya seperti kesucian akhlak, moral dan
sebagainya semasa di bangku sekolah mahupun dalam menjalani hidupnya – boleh
menimbulkan buah kesombongan yang pahit pada pembawaan peribadi. Apakah ilmu
yang merubahkan corak atau warna pada perhiasan diri yang hasilnya membawa
kepahitan itu yang dituntuti dan dibanggakan? Seorang sufi menggambarkan bahawa
ilmu pengetahuan itu adalah bagaikan air hujan yang turun dari langit, bersih
dan manis rasanya. Akan tetapi tatkala tiba meresap pada tumbuhan maka ia dapat
memaniskan atau memahitkannya tergantung pada rasanya masing-masing menurut
pembawaan tumbuhan-tumbuhan itu?
Manusia dalam memperoleh ilmu pengetahuan mendapat pula kekuasaan yang
memberi kekuatan kepada sifat-sifat hati yang tersembunyi. Apabila ia mudah
cenderung kepada ketinggian diri dan tidak mengmbil perhatian untuk mengalahkan
perasaan itu maka ia akan lebih bangga, lagak dan sombong dalam memperoleh
ilmu-ilmunya itu.
Nabi saw bersabda:
Akan ada orang-orang yang
pandai mengucap Al-Quran di bibirnya, akan tetapi tidak sampai di hatinya.
Mereka menuntut ilmu belajar Al-Quran dan menamakan dirinya Qari (ahli baca Quran),
mungkin akan ada di antara anda hai sahabatku, maka awas-awaslah terhadap
mereka itu kerana , akan melihat kelak
bahawa mereka akibatnya akan masuk neraka.
( Riwayat Ibnu Abbas )
Betapa kita yang menamakan diri
sebagai pengikut nabi saw tidak ingin mencuba membersihkan dan mensucikan hati
kita itu. Janganlah demikian, untuk menilik sama ada hati kita itu kotor atau
bersih pun tidak kita usahakan. Bagaimana akan kita dapat keselamatan jika tidak
demikian? Oleh yang demikian cubalah kita menjelajah untuk mengambil tahu
tabiat manusia, iaitu diri kita.
Wallahu ’alam
Sentuhan rohani
Yusof Haji WanJor
Thinker’s libarary Sdn.Bhd.
2001
No comments:
Post a Comment