Monday, January 30, 2017

Cermin peribadi (3)

Di dalam tabiat manusia terdapat empat unsur yang menjelma dalam sifat-sifat yang dikenal dengan nama kebinatangan, kekasaran, kesyaitanan dan kemalaikatan (kesucian). Oleh kerana itu tidak hairan apabila dalam tabiat seseorang itu muncul perbuatan-perbuatan seperti babi, anjing, syaitan dan alim.

Sifat-sifat babi

Ia menggambarkan keserakahan yang menjijikkan, bukan dalam hal hentuk dan potongannya akan tetapi dalam kegemaran makan di luar kepantasan. Hanya untuk melepaskan lahap dan nafsunya sahaja. Itulah tanda orang-orang yang tiada menghiraukan hukum-hukum  agama yang melarang ia memakan, meminum benda-benda yang diharamkan atas dirinya.

Sifat-sifat anjing

Ia menggambarkan sifat-sifat suka melepaskan hawa nafsu kemarahan, keganasan dengan perbuatannya menggonggong dan menggigit siapa sahaja yang tidak disukainya atau yang dianggap hendak mengacaunya. Itulah tanda orang-orang yang pertimbangan akalnya tidak sempurna sehingga timbul persangkaan yang buruk terhadap orang lain, yang boleh menyebabkan kerugian dirinya sendiri jua.

Sifat-sifat syaitan

Ia menggambarkan sifat-sifat yang suka hasut menghasut, menabur faham dan pengertian. Menggoda, membujuk dengan hiasan-hiasan janji dan keseronokan. Itulah tanda-tanda orang yang akal budi serta hatinya tidak sihat, kabur dan kotor kerana dipengaruhi oleh khayal, asyik dan lupa kepada Allah.

Sifat-sifat kemalaikatan

Ia menggambarkan akal budi, fikiran dan hati yang suci bersih. Ia mengisikan lubuk hatinya itu dengan kalimat Alif Lam Lam Ha iaitu Allah. Bibirnya menolak segala yang batal dengan lafasan kalimatu tauhid iaitu La Ilaha Illallah. Dengan jalan proses itulah yang ia terdaya upaya untuk menolak:

* benda-benda haram (sifat babi)
* nafsu amarah (sifat anjing)
* hasutan hati (sifat syaitan)

Setelah itu barulah timbul rasa tawaduk, kerendahan diri, kesucian cita-cita dan terbukalah tabir yang mendindingi cermin kalbu untuk melihat kebenaran, merasa kemanisan hidup beragama dan memuji Allah dengan pemberian ilmu yang diberikan kepadanya.

Sifat-sifat seperti babi itu boleh menghilangkan rasa malu pada diri seseorang. Jika ini telahpun melekat pada diri seseorang maka setentunya segala perbuatan yang tidak senonoh menjadi kegemaranya. Apakah layak ia digelar manusia? Sifat-sifat seperti anjing itu boleh membawa kebesaran diri dan persangkaan buruk kepada yang lain. Sesiapa sahaja yang dianggap kurang dihinanya dengan kata-kata kesat dan menyakitkan. Sifat seperti syaitan itu boleh menimbulkan hilangnya kewajipan diri terhadap Allah dan agamaNya.

Dan seandainya ketiga-tiga sifat itu sudahpun menjadi darah daging si manusia itu, tidak lain hanya segalanya itu akan membawa ia kepada azab dirinya jua. Oleh yang demikian, sayanglah diri kita ini, janganlah kita memasukkannya ke neraka dengan keinginan dan perbuatan kita sendiri itu. Ketahuilah bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Pengampun. Tiada dosa atau kesalahan yang tiada pengampunan kecuali menduakanNya.

Ya Allah aku berlindung diriku padaMu daripada hati yang tidak khusyuk dan dari doa yang tidak didengar (dikabulkan) dan dari nafsu yang tidak pernah kenyang (puas) dan dari ilmu yang tidak bermanfaat. Aameen Ya Rabbal Alamen.

Wallahu ’alam

Sentuhan rohani
Yusof Haji WanJor
Thinker’s libarary Sdn.Bhd.
2001

No comments:

Post a Comment