Monday, January 30, 2017

Cermin peribadi (1)

Ilmu atau pengetahuan itu mempunyai daya kekuasaan. Kesedaran tentang adanya kekuasaan yang mudah membawa orang kepada kesukacitaan atau kepada perasaan ketinggian diri. Dan ia juga boleh menyeret ke hala angkuh, sombong atau riak jika kurang dasar imannya seseorang itu.

Apabila ia pernah membuat jasa atau menolong orang maka dikiranya orang itu akan membalasnya atas jasa-jasa itu. Ia berfikir ia berhak memerintah dan orang pula harus tunduk dan patuh kepadanya.Tidakkah ini membayangkan yang dia itu dengan tidak disedarinya cuba mengambil hak Allah. Sepatutnya Allahlah yang semestinya dipatuh dan tunduk kerana Dialah yang kita terhutang budi dan nyawa. Sifat sedemikian ini terkadang menghinggapi beberapa penganjur agama dan para alim ulama, sayang sekali kerana sifat sedemikian jika ada pada diri mereka, ini hanya membawanya ke jalan kebinasaan diri di hari akhirat kelak.

Mereka dengan bebasnya menerangkan sifat-sifat jalan ke surga dan jalan untuk mengelak ke neraka padahal mereka sendiri lupa atas sifat mereka yang sedemikian. Jika begitu adanya, apakah layak diberikan panggilan penganjur agama, alim atau ulama atas mereka? Kerana gelaran-gelaran tersebut seharusnya  dimiliki oleh mereka yang mengenal dirinya, lebih takwa kepada Allah, mempunyai rasa tanggungjawab bagi setiap perbuatannya. Hal yang demikian disebabkan mereka tahu akan mana yang buruk dan mana yang baik dan ia lebih menyedari bahawa Allah sentiasa mengetahui akan hal dirinya lebih dari ia tahu akan dirinya sendiri.

Wallahu ’alam

Sentuhan rohani
Yusof Haji WanJor
Thinker’s libarary Sdn.Bhd.
2001

No comments:

Post a Comment