Di Aidil fitri manusia akan kembali kepada fitrahnya. Manusia akan jadi
mulia bila ia kembali kepada fitrahnya. Bila mana hawa nafsu seorang manusia
dididik sepanjang bulan Ramadhan maka akan terpancarlah, bercahayalah hatinya
dan terpancarlah fitrah daripada lubuk hatinya. Manusia, kita akan rasa tenang,
gembira dengan seluruh kebaikan yang
kita bangunkan. Dan dalam masa yang sama, kita akan menangis, jiwa kita akan
merintih seandainya kita melakukan perkara yang keji dan mungkar. Seandainya
kita gamak untuk melakukan kedurhakaan kepada Allah swt.
Ketika inilah seorang anak pulang mendatangi ibunya. Seorang anak pulang
mendatangi ayahnya. Wahai anak, tataplah riak pada wajah ayahmu. Tataplah riak
pada wajah ibumu. Nescaya kita akan menyaksikan garis-garis kedut pada wajah
mereka yang sedang merangkak di usia tua.
Wahai hati, tidakkah kita terdetik dan berkata: Wahai Tuhan, sebenarnya berapa lamakah ?, berapa detikkah sahaja lagi
kami berpeluang menatap wajah mereka ya Allah. Berapa masakah sebenar yang masih berbaki buat kami, untuk
kami boleh membelai wajah mereka, untuk kami mengucup kening mereka. kami boleh
menatap wajah mereka ini ya Allah!
Wahai anak! Di hari yang manusia kembali kepada fitrah ini, pada Aidil
fitri ini, ungkaplah : Ayah, ibu di
sepanjang laluan hidup ini, betapa
kejamnya kehidupan. Yang menjarakkani
antara seorang anak dengan ayah dan ibunya. Betapa kesibukan hidup ini menjadikan
ayah, ibu berada dalam dunia yang sangat terasing, berada dalam kesunyian yang
amat sangat sedangkan siapakah seorang anak melainkan mereka yang pernah berada
dalam rahim ibunya.
Ucaplah, ungkapkanlah ungkapan memohon kemaafan ketika mana peluang masih
ada. Kerana pasti akan datang satu saat dan detik seorang anak tidak punya
peluang lagi untuk menuturkan, mengucapkan ungkapan maafnya pada saat yang
pasti akan datang tersebut.
Aidil fitri memberi ruang kepada kita untuk seorang anak menuturkan kepada
ayahnya, kepada ibunya: Inilah anakmu,
yang sebenarnya sangat menyayangimu pada seluroh jiwa dan setiap nafas yang keluar daripada
diri anak ini.
Lihatlah pada riak wajah ibumu, saksikanlah pada mata ayahmu, mereka yang
sedang merangkak di usia tua . Betapa merasakan benar-benar kembalinya anak
ini.
Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar walillaahi hamd. Bila mana manusia kembali kepada fitrahnya, manusia akan tahu menghargai
manusia yang pernah berkorban untuk dirinya.
Wallahu ’alam.
Radio Ikim.fm