Tuesday, July 29, 2014

Memohon & merintih keampunan dari Ya Afuww, Ya Ghafur Ya Tauwab (5)

Ya Allah Ya Malik yang Maha Berkuasa lagi Maha Memiliki dan Ya Hakim yang Maha Bijaksana, sesungguhnya segala yang berada di langit dan di bumi adalah milikMu. Ya Malik, hatta kami juga adalah milikMu, ibu bapa kami adalah milikiMu, rakan-rakan kami juga adalah milikMu dan segala apa yang ada pada tubuh badan kami adalah milikMu semuanya Ya Allah.

Kepandaian yang Engkau anugerahkan ini, udara yang kami sedut, bumi yang teguh tempat kami berpijak, matahari yang sentiasa bersinar memberikan tenaga cahaya An-NurMu, buah-buahan yang lazat, wang ringgit yang Engkau berikan dan kemudahan-kemudahan yang telah Engkau sediakan buat kami sebagai amanah yang seharusnya kami gunakan untuk beribadat kepadaMu, menjadi hambaMu yang taat, semuanya milikMu dan hakMu semata-mata.

Namun Ya Allah, kadang-kaala kami terlanjur kerana mengikut hawa nafsu, kami tertipu dengan bisikan syaitan berupa jin dan manusia yang banyak membuatkan kami alpha dan lalai, lupa dari mana kami datang, siapa yang menciptakan kami, untuk apa kami dicipta olehMu. Ya Allah dan ke mana kesudahan kehidupan ini.

 Sesungguhnya Ya Allah, kami sedar kami hanya hambaMu yang tidak punya apa-apa kecuali yang Engkau kurniakan kepada kami untuk kami taat kepada perintahMu dan menjauhi segala laranganMu dan menjalankan amanah khalifahMu. Ya Allah, sesungguhnya kami amat lemah serta sentiasa lalai dan memerlukan bantuan dan bimbinganMu. Ya Hadi yang Maha Membimbing dan Memberi Petunjuk, maka bimbinglah kami Ya Allah, Tuhan yang Maha Pembimbing dan Penolong, tolonglah kami Ya Allah Ya Wahhab, yang Maha Memberi Pertolongan dan Kemudahan, jadikanlah kami ini hambaMu yang taat, anak yang soleh, pelajar yang cemerlang dunia dan akhirat dan manusia yang berguna dan beramanah.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih


No comments:

Post a Comment