Wednesday, July 30, 2014

Menyucikan dan membersihkan jiwa dengan bantuan Ya Quddus dan Ya Jalil ( 5 )

Ya Allah, izinkan kami meletakkan hanya cintaMu di dalam hati kami ini kerana sesungguhnya dengan cintaMu sahajalah hati kami menjadi tenang dan jiwa kami tenteram. Kami sedar Ya Allah, hanya dengan cintaMu saja yang dapat melahirkan cinta manusia, cinta ibu bapa dan cinta sahabat-sahabat kami.

Sesungguhnya Ya Allah, Engkau adalah pemilik hati-hati manusia. Dan Kau mampu membalik-balikkan hati manusia. Maka, dengan ini aku sebagai seorang insan yang lemah lagi daif ini Ya Allah memohon kepadaMu.

Kau balik-balikkanlah hati kami semua agar kembali meletakkan cintaMu di hati kami. Ya Allah dan membuang segala cinta-cinta lain yang hanya membuat hati kami lalai serta alpa kepadaMu. Kami yakin Ya Allah, apabila kami meletakkan cinta hanya kepadaMu, Engkau pasti akan membalas cinta kami ini dalam bentuk kenikmatan dan kebaikan serta kecintaan manusia di sekeliling kami Ya Allah.

Sesungguhnya kami yakin, inilah penyelesaian kepada masalah jiwa manusia hari ini, sering mengejar sesuatu yang tidak abadi, yang lemah dan tidak akan kekal, sesungguhnya Emgkaulah yang kekal dan abadi. Sentiasa menunggu kami memohon kepadaMu untuk mendapatkan pertolonganMu Ya Allah.

Amat jahil dan lalainya kami selama ini Ya Allah, tidak sedar akan kehadiranMu di sisi kami. Kami sering mencari manusia untuk membantu dan menolong kami dan kami lupa untuk memohon kepadaMu ya Allah, sedangkan Engkaulah yang Maha Kaya yang memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi, hatta diri kami, suami mahupun isteri kami, ibu bapa kami, anak-anak kami dan seluroh manusia di dunia ini.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih

No comments:

Post a Comment