Saturday, June 14, 2014

Faedah membesarkan anak


1. Empati : Mendengar sungutan dan rungutan anak anda apabila mengadu sakit gigi untuk kesekian kalinya pada pukul 2 pagi atau bagaimana kawan-kawan mencemuhnya apabila dia gagal menyelamatkan bola dalam pertandingan bola sepak sepak atau bagaimana kawan baiknya membocorkan rahsia yang lama tersimpan kepada semua orang di sekolah mengajar anda menjadi lebih berperikemanusiaan.

2. Kesabaran : Sebagai ibu bapa situasi-situasi yang menguji kesabaran anda tentu akan berlaku. Buku dan barang-barang mainan yang dibiarkan bersepah di sana sini. Bekas gula anda dipenuhi semut kerana anak anda tidak menutupnya dengan betul. Dinding yang baru anda cat minggu lepas penuh dengan kesan kotor...Anda tahu kemarahan tidak akan dapat menyelesaikan masalah tetapi kesabaran dan kata-kata nasihat akan membuat anak anda lambat laun faham dan sedar apa yang patut dan apa yang tidak patut dilakukan.

3. Kemahiran menyelesaikan masalah : Bukan saya yang buat. Dia yang mulakan. Tentu anda pernah mendengar ungkapan-ungkapan seperti ini. Jika anda mempunyai lebih daripada seorang anak, anda akan berhadapan dengan perbalahan dan peselisihan faham di anta anak-anak anda. Situasi ini mungkin akan membesar menjadi perkelahian serius jika tidak ditangani dengan segera dan adil. Anak-anak anda mahukan anda bersikap adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sekiranya tiada perkelahian di antara anak-anak sekalipun, konflik di antara anda dan anak anda sedikit sebanyak masih tetap akan wujud.

4. Kemahiran berunding : Kalau keputusan peperiksaan akhir saya cemerlang, boleh tak mama/papa belikan saya telefon bimbit?. .....Berapa lama kami boleh menonton tv selepas sekolah? Pukul berapa dan mengapa?....Perundingan yang membina memerlukan anda meluangkan masa untuk bercakap dan berbincang dengan anak anda demi mencapai persetujuan bersama. Anda perlu memahami situasi dan keadaan, menyelami perasaan anak anda dan juga perasaan anda sendiri dan memastikan yang semua pihak berasa dihormati dan dihargai sebelum satu-satu kata sepakat itu dicapai.

5. Ketabahan dan ketekunan : Cuba dan cuba lagi, jangan mudah menyerah kalah. Sekiranya anak anda yang bersekolah tadika tidak dapat memahami dan menyelesaikan masalah matematik mudah seperi tambah dan tolak, apakah anda  akan berputus asa dan tidak mahu mengajarnya lagi? Tentu tidak. Cuba anda perhatikan ibu bapa yang anaknya menghadapi masalah kesihatan. Tidak ada ibu bapa yang hanya akan duduk diam dan membiarkan anaknya menderita sakit begitu saja tanpa berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan rawatan sebaik mungkin. Begitu juga bagi mereka yang memiliki anak kelainan upaya. Tidak berputus asa adalah satu sifat yang terdapat dalam ibu bapa cemerlang. Memelihara anak-anak bukan hanya memberi kebaikan kepada dunia, tetapi juga memberi kebaikan kepada diri anda sendiri.

Mempunyai pandangan positif setiap masa ketika menjaga dan memelihara anak memberi manfaat kepada anda dalam jangka masa panjang.

Albert Schweitzr berpandangan; kita tidak boleh mendapat kuasa daripada setitis air. Tetapi jika ia memasuki rekahan batu dan bertukar menjadi ais, ia akan memecahkan batu tersebut; jika bertukar menjadi anak sungai, ia akan menjalankan omboh dalam enjin atau mesin yang paling kuat. Sesuatu berlaku padanya yang membuatkan kuasanya yang terpendam menjadi aktif dan efektif.
 
Sebagai ibu bapa, marilah kita bersama-sama bekerja untuk memecahkan batu dan menjalankan omboh agar kuasa yang terpendam di dalam anak-anak dan di dalam diri kita menjadi aktif dan efektif.

Ingatlah, ibu bapa yang yang paling bahagia adalah ibu bapa yang berjaya menjalin hubungan erat dengan anak mereka. Mereka mengimbangkan hak diri mereka sebagai insan dengan hak anak mereka sehinggakan hubungan itu menjadi mesra sepanjang hayat. Syaratnya ada dua. Pertama, sedarilah bahawa cara anda dididik semasa kecil dulu banyak mempengaruhi cara anda mendidik anak anda kini. Kedua, anda sendiri perlu berubah. Lunakkan suara atau gaya hidup dan profesion.

Wallahu ’alam.

Ibu Kool Bapa Hebat
Jamilah Samian, 2007

No comments:

Post a Comment