SENI itu indah. Ia terhubung
penciptaan dan pengkaryaan.Ciptaan itu datangnya daripada ALLAH. Pengkaryaan
itu lahirnya daripada manusia. Manusia sering melakukan apresiasi kepada seni.
ALLAH mencipta alam ini dengan segala keindahan.Ia membawa kedekatan manusia
kepada ALLAH kerana kebesaranNya. Budaya adalah gabungan perkataan budi dan
daya. Budi adalah sesuatu yang murni yang terpancar dari hati.
Daya itu ialah semangat
mengamalkan sesuatu. Budaya adalah pancaran hati seperti ikhlas, amanah, telus
dan tulus dan didayakan dalam amalan. Jika ia berlaku kelihatan indahnya
pekerti manusia.
Seni tidak harus difahamkan
sesuatu yang indah dari kaca mata manusia. Ada hikmah di sebalik sesuatu
kejadian yang menyebabkan manusia terus mencari akan kebesaran ALLAH. Manusia
tidak boleh mencipta dan melakukan penciptaan. Penciptaan itu adalah milik
ALLAH. Seni ALLAH dan seni manusia tidaklah sama. Tetapi ia berkaitan.
Seni sastera umpamanya bermula
dengan daya kreatif manusia mengolah peristiwa dan kehidupan dalam genre
sastera yang pelbagai sama ada puisi, cerpen, novel, drama dan lain-lain. Harus
wujud keseimbangan antara inspirasi yang diterima dan kebenaran itu sendiri.
Ia menuntut keseimbangan lafaz
dan ucap, rakaman dan tulisan, lagu dan ukiran yang membawa dan mendukung
risalah kebenaran supaya timbul keinsafan kepada manusia mengenai kebesaran
ALLAH yang menjadikan alam ini dengan segala keindahannya.
Sekiranya seni menjadikan
pancaran nafsu amarah membuak rasa dan kebanggaan diri sering diperkata ia
bakal menjadi seni yang lagha (sia-sia). Seni yang memberi makna ialah seni
yang mendukung risalah iaitu membawa makna yang tersurat dengan tersirat supaya
timbul keinsafan bahawa terdapat iktibar dan hikmah di sebalik karya dan
kegiatan.
Lalu lahir konsep seni kerana
ALLAH (ikhlas) dan hikmahnya kembali semula kepada manusia. Bakat dan kebolehan
yang ada pada seniman harus dimanfaatkan sebaik-baiknya supaya ada barakah
hidup kita sebagai seniman. Ia menuntut perimbangan (wasat) antara menghargai
keindahan dan menghubungkan keindahan itu sebagai kebesaran ALLAH.
Hal yang sama terhubung terhadap
faktor budaya. Budaya tidak sekadar pancaran kegiatan dalam bentuk tarian dan
lakonan, persilatan dan nyanyian yang sifatnya memperaga dan nafsu-nafsi.
Kegiatan kebudayaan dalam makna
yang terbatas seharusnya membawa apresiasi tinggi manusia terhadap bakat yang
ada pada karyawan supaya memberi keinsafan dan teladan kepada manusia
terjadinya kisah dan peristiwa, gerak dan daya yang mengembalikan manusia
tunduk kepada kebesaran ALLAH.
Budaya atau kebudayaan dalam erti
kata luas ialah kehidupan itu sendiri. Baik seni atau budaya adalah pancaran
keindahan pekerti dan amalan manusia yang diolah dalam genre pelbagai supaya
manusia mempunyai daya apresiasi yang tinggi dan menerima kesedaran bahawa seni
dan budaya tertinggi ialah mensyukuri kejadian ALLAH dan melakukan kreativiti
tanda menghargai hikmah kejadian ALLAH untuk menjadi sumber teladan kepada
manusia.
Budi dan daya adalah penting
untuk memandu kehidupan. Kehidupan dalam reda ALLAH sentiasa menghargai
pancaran murni dari hati dan bila diungkapkan dalam amalan terlihat pekerti
mulia yang menjadi sumber ikutan orang lain.
Pemahaman terhadap budaya harus
sifatnya menggenapi. Apa saja yang kita lakukan harus seimbang dengan pancaran
hati supaya kemurnian dari hati terlihat pada amal dan menjadi sumber ikutan
orang lain.
Seni dan budaya dalam faham Barat
yang disebut sebagai art dan culture sifatnya terbatas dan terpisah dari agama.
Dalam tradisi Islam seni dan budaya terhubung dengan agama.
Kehebatan pengukir-pengukir Islam
masa silam di Alhambra, Cordova mendekatkan diri manusia kepada Pencipta.
Konsep masjid yang terbina membawa manusia kepada jiwa rukuk dan sujud dan
menghasilkan insan ibadulllah dan ibadurrahman. Darinya seni dan budaya
terhubung sebagai sumber ibadah.
Seniman dan budayawan pada
hakikatnya adalah abid (hamba ALLAH) yang memiliki daya kreativiti tersendiri.
Mereka juga adalah dai’ dan murabbi iaitu pendakwah dan pendidik dengan caranya
tersendiri supaya natijah akhirnya menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada
umat manusia bahawa kita ini adalah hambaNya dan melaksanakan tugas
kekhalifahan dengan sedikit bakat yang ada, menyumbang kepada kesejahteraan
umat manusia (rahmatan lil alamin).
Wallahu ‘alam.
Sidek Baba
Sinar Harian, 22 Mei 2014
No comments:
Post a Comment