10.0 Pendahuluan
Malaysia telah menyertai TIMSS
sebanyak 4 pusingan bermula dari TIMSS 1999, dan diikuti dengan TIMSS 2003,2007
dan 2011. Tujuan penyertaan Malaysia adalah untuk mengetahui prestasi murid
Malaysia dalam matematik dan sains pada peringkat antarabangsa. Dapatan dari
kajian TIMSS diharap dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan murid dalam
matematik dan sains. Dapatan kajian juga diharap membuka ruang untuk penggubal
dasar memikirkan langkah-langkah penambahbaikan kepada sistem pendidikan negara.
Penyertaan awal Malaysia iaitu pada pada pusingan 1999 dan 2003 menampakkan
hasil yang memberangsangkan. Walau bagaimanapun prestasi yang cemerlang ini
tidak kekal. Pusingan TIMSS 2007 telah menunjukkan kemerosotan pencapaian murid
dalam kedua-dua subjek, matematik dan sains. Kemerosotan ini berterusan dan
semakin membimbangkan pada pusingan TIMSS 2011. Trend yang membimbangkan ini
perlu diberhentikan dan dialihkan kepada peningkatan prestasi demi memastikan
kedudukan Malaysia berada pada tahap yang membanggakan di peringkat
antarabangsa.
Cadangan yang disenaraikan ini
adalah hasil daripada dapatan kajian TIMSS 2011 dan juga trend pencapaian
daripada TIMSS 1999 sehinggalah TIMSS 2011.
10.1 Menyemak semula dan mengemaskini kurikulum
Matematik dan Sains peringkat menengah.
Kurikulum menengah rendah dengan
topik tertentu perlu dikaji semula supaya lebih menyeluruh. Dapatan analisis
item kajian TIMSS menunjukkan terdapat beberapa topik yang baru diperkenalkan
di peringkat menengah rendah di sekolah KPM tetapi terdapat dalam kurikulum
TIMSS gred 8 pada tahap yang lebih mendalam yang hanya akan dipelajari oleh
murid di tingkatan 3 atau di peringkat menengah atas. Oleh yang demikian adalah
wajar disemak semula kurikulum di sekolah KPM dengan membuat perbandingan
dengan silibus yang digunapakai oleh TIMSS dan negara-negara yang cemerlang
dalam TIMSS contohnya jiran terdekat Singapura, Korea, Jepun atau negara lain.
10.2 Kemudahan Peralatan dan Sumber di Semua
Sekolah Mestilah Mencukupi dan Dapat Dimanfaatkan oleh Guru dan Murid.
Kemudahan dan sumber di sekolah
adalah suatu yang amat perlu dan mendatangkan impak kepada pencapaian murid.
Oleh yang demikian kemudahan peralatan dan sumber di semua sekolah mestilah
mencukupi dan dapat dimanfaatkan oleh guru dan murid. Kemudahan dan peralatan
ini sepatutnya mudah diakses oleh guru dan murid dan tidak terkekang oleh
peraturan dan syarat yang tidak menguntungkan. Walau bagaimananapun penggunaan
kemudahan dan sumber ini perlu diselia supaya semuanya berkeadaan baik.
10.3 Pendidikan Sepanjang Hayat
Perlu dihebahkan kepada Rakyat Malaysia
Latar belakang keluarga dari
aspek ekonomi dan pendidikan banyak mempengaruhi sikap murid terhadap matematik
dan sains. Murid yang mempunyai ibubapa yang berpendidikan tinggi lebih
cenderung mempunyai keyakinan diri dan suka kepada matematik dan sains. Ibubapa
banyak mempengaruhi anak dalam minat dan sikap terhadap pelajaran. Oleh yang
demikian pihak sekolah perlu mengenalpasti murid dari keluarga yang tidak
cenderung kepada pendidikan dan memaksimumkan peranan kaunselor di sekolah
dalam mendorong murid kepada kecemerlangan dalam pendidikan. Pendidikan
sepanjang hayat perlu dihebahkan kepada rakyat Malaysia supaya lebih ramai
golongan ibubapa menitik beratkan pendidikan dengan itu memastikan anak mereka berjaya dalam pelajaran.
10.4 Sekolah Perlu dibekalkan dengan Prasarana
yang Lengkap
Negara yang mempunyai pencapaian
cemerlang dalam TIMSS adalah negara yang mempunyai prasarana sekolah yang baik.
Sebagai contoh, ratio murid dengan komputer adalah 1:1 di negara peserta TIMSS
dengan kedudukan 5 teratas. Ini menunjukkan prasarana yang lengkap sememangnya
membantu meningkatkan prestasi murid. Oleh yang demikian sekolah perlu
dibekalkan dengan prasarana yang lengkap, di bandar dan luar bandar dan tumpuan
sepatutnya tidak hanya kepada sekolah-sekolah terpilih sahaja. Semua murid
wajar dapat belajar dalam keadaan yang selesa dengan prasarana yang lengkap
tanpa mengira lokasi dan latar belakang keluarga. Semua murid patut diberi
peluang dan kemudahan yang sama (Equity and quality in education)
10.5 Pengambilan Guru Lelaki Patut diPertingkatkan
Pencapaian murid mengikut jantina
menunjukkan prestasi murid perempuan lebih baik daripada lelaki dalam kesemua
domain kandungan dan domain kognitif. Walaupun jurang perbezaan ini kecil namun
ini adalah suatu indikator yang patut diberi perhatian. Kenapa pencapaian murid
lelaki lebih rendah berbanding perempuan? Situasi ini berkemungkinan disebabkan
corak pengajaran di sekolah lebih memihak kepada murid perempuan. Pendidik yang
majoritinya guru perempuan menyebabkan pendekatan PdP lebih menarik perhatian
murid perempuan berbanding murid lelaki. Satu kajian berkaitan perkara ini
patut dijalankan dan pengambilan guru lelaki patut dipertingkatkan untuk menarik
minat murid lelaki dengan pendekatan PdP yang lebih memihak kepada mereka.
10.6 Guru Patut Diberi Latihan Penambahbaikan
kepada Pengetahuan Kandungan dan Juga Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran
(PdP)
Persediaan guru untuk mengajar
member kesan kepada pencapaian murid. Guru patut diberi latihan penambahbaikan
kepada pengetahuan kandungan dan juga pelaksanaan PdP. Kursus dan latihan dalam
perkhidmatan patut disediakan kepada guru supaya pendekatan baharu dengan
penggunaan ICT dapat membantu guru melaksanakan PdP dengan lebih berkesan dan
dengan itu dapat meningkatkan prestasi murid dalam sains dan matematik.
10.7 Unjuran dan Penempatan Guru Perlu
Diselaraskan
Kepakaran guru dalam sesuatu mata
pelajaran amat membantu untuk memastikan kecemerlangan murid dalam mata
pelajaran tersebut. Guru mengajar mengikut opsyen adalah satu perkara yang
perlu dititikberatkan. Oleh yang demikian, unjuran dan penempatan guru perlu
diselaraskan dan perlu disemak untuk memastikan guru mengajar mata pelajaran
pengkhususan mereka.
10.8 Pelaksanaan kokurikulum di Sekolah dengan
Penekanan kepada Aktiviti Kelab dan Persatuan Yang Memupuk Minat Murid dalam
Matematik dan Sains
Keseronokan murid dalam
mempelajariu matematik dan sains membolehkan mereka mendapat pencapaian yang tinggi
dalam mata pelajaran tersebut. Minat kepada mata pelajaran ini boleh diterapkan
melalui aktiviti ko-akademik dan ko-kurikulum yang menyeronokkan. BKK disyorkan
merancang objektif pelaksanaan kokurikulum di sekolah dengan penekanan kepada
aktiviti kelab dan persatuan yang memupuk minat murid dalam matematik dan sains
dan mendidik mereka dengan pemikiran aras tinggi. Aktivuti yang dirancang patut diterapkan kemahiran
aras tinggi supaya murid Malaysia dilatih berfikir out of the box dan dapat
mempratikkan cara berfikir sebegini dalam semua aspek kehidupan dan juga dalam
mata pelajaran yang dipelajari di sekolah.
10.9 Menyediakan Pelan Tindakan Yang Menyeluruh
bagi Memastikan Standard Kualiti
Pendidikan di Malaysia Setanding dengan Peringkat Antarabangsa
Pencapaian Malaysia dalam TIMSS
menunjukkan penurunan bermula dari pusingan 2007 sehingga yang terkini iaitu
2011. Kementerian Pendidikan Malaysia wajar menyediakan pelan tindakan yang
menyeluruh bagi memastikan standard kualiti pendidikan di Malaysia standing
dengan peringkat antarabangsa.
PENUTUP
Pusingan TIMSS 2011 memaparkan
pencapaian Malaysia menjunam ke paras yang amat membimbangkan, iaitu di
kedudukan satu pertiga di bawah berbanding semua negara peserta. Dapatan kajian
membuktikan tahap penguasaan murid Malaysia menjawab item-item TIMSS adalah
lemah. Mereka tidak dapat menguasai topik yang sepatutnya telah mereka
pelajari. Analisis item menunjukkan murid tidak dapat menjawab soalan yang
memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi. Analisis item juga menujukkan
kurikulum menengah rendah sekolah KPM tidak sejajar dengan kurikulum TIMSS yang
memungkinkan murid sukar menjawab soalan yang kandungannya belum mereka
pelajari.
Sebagai kesimpulan; Malaysia
perlu mengambil tindakan yang sewajarnya daripada dapatan kajian TIMSS yang
telah dipaparkan dalam laporan kebangsaan TIMSS 2011 untuk memastikan tahap
pendidikan di negara kita sejajar dengan negara lain dan berada di tahap yang
membanggakan di peringkat antarabangsa. Kesemua pihak, ibu bapa, guru, masyarakat,
pentadbir dan semua yang berkepentingan perlu bekerjasama untuk memastikan
kejayaan anak bangsa kita di persada antarabangsa.
Wallahu alam.
Wallahu alam.
Laporan Kebangsaan TIMSS 2011
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan
Kementerian Pendidikan Malaysia
ms 218 – 221
No comments:
Post a Comment