Takwa : Orang yang bertakwa adalah
orang yang mempunyai keutamaan. Perkataan mereka selalu jujur, pakaian mereka
sederhana dan gaya
berjalan mereka tawadhu’. Mereka memejamkan mata dari hal-hal yang diharamkan
Allah. Telinga mereka sentiasa mendengarkan ilmu yang bermanfaat. Dalam keadaan
susah mahupun senang mereka tetap sama : hati mereka selalu dekat pada Allah
dan sentiasa menjalankan perintahNya.
Seandainya tidak ada kematian
yang telah dipastikan Allah, nescaya roh mereka sesaat pun tidak akan diam
dalam jasadnya, kerana .terlalu rindu dengan pahala Allah swt dan takut dengan
seksaNya.
Dalam hati mereka, yang sangat
diingati hanyalah Allah, Maha Pencipta dan sesuatu selain Allah adalah kecil
belaka. Mereka dan syurga seperti orang yang telah melihatnya mereka merasakan
nikmat syurga. Mereka dan neraka seperti orang yang telah melihatnya mereka
boleh merasakan seksaannya. Maksudnya keyakinan mereka terhadap syurga dan
neraka telah sampai kepada darjat ‘ainul
yakin. Hati mereka selalu bersedih. Kejahatan diri mereka dapat
dihindarkan. Tubuh mereka menjadi kurus kerana rajin melakukan solat malam,
berpuasa dan amalan-amalan lainnya. Keperluan mereka sangatlah sederhana dan
diri mereka terpelihara dari hal-hal yang terlarang.
Mereka sabar menanti hari-hari
yang singkat untuk mendapatkan pahala di hari yang kekal abadi iaitu Hari Kiamat.
Usaha mereka beruntung kerana telah dimudahkan oleh Allah swt. Dunia mencintai
mereka tetapi mereka tidak cintakan dunia. Dunia mencuba untuk menawan mereka
namun mereka mampu untuk menebus dirinya.
Bila malam menjelang tiba, mereka
berbaris sambil mengalunkan ayat-ayat al-Quran dengan tartil. Mereka menyesali
diri dan mengubati penyakitnya. Mereka menangis kerana tangisan itu dapat
mencuci kotoran hati dan mencari ilmu yang dapat menghilangkan kebodohan. Ketika
mereka mengalunkan ayat-ayat berisi kerinduan terhadap syurga, hati dan jiwa
mereka sangat mengharapkan dan merasakan seolah-olah syurga berada dalam
pandangan matanya. Sebaliknya ketika mereka mengalunkan ayat-ayat berisi
ancaman, hati mereka terpegun penuh penghayatan serta merasakan seolah-olah api
neraka berada di telinganya. Mereka rukuk dalam solat, beralaskan dahi, telapak
tangan, lutut dan telapak kaki (dalam keadaan sujud). Mereka memohon kepada
Allah swt agar membebaskan diri mereka dari api neraka.
Muttaqin : Di
antara tanda-tanda muttaqin adalah : teguh dalam beragama, perkasa namun tetap
lembut, ada keimanan dalam keyakinannya, dahagakan ilmu pengetahuan, pemurah
lagi bijaksana, bersederhana dalam keadaan berada, khusyuk beribadah, tetap
menjaga harga diri walau dalam keadaan miskin, sabar dalam keadaan susah,
sentiasa mencari yang halal, bersemangat meraih petunjuk, jauh dari sifat
tamak, beramal soleh dan penuh rasa malu.
Di petang hari ia bersyukur dan di
pagi hari ia berzikir. Di malam hari ia dalam kekhuatiran dan pagi harinya
dalam kebahagiaan. Khuatir kerana takut lupa terhadap Allah swt dan bahagia
kerana mendapatkan anugerah dan keutamaan dari Allah. Bila dirinya terasa berat
meninggalkan apa yang ia benci, maka ia tidak minta sesuatu yang disenangi.
Penyejuk hatinya adalah sesuatu yang tidak pudar (akhirat dan syurga).
Kebenciannya adalah sesuatu yang tidak kekal (dunia). Dia memadukan sifat
dermawan dengan bijaksana dan ucapan dengan perbuatan. Angan-angannya pendek,
sedikit berbuat salah, hatinya khusyuk dan tawakkal, makannya sedikit,
memudahkan segala urusannya, menjaga dengan kuat agamanya dan mampu menahan
marahnya.
Dia sangat mengharapkan kebaikan
dan menghindarkan diri dari keburukan. Apabila dia bersama orang-orang yang
lalai kepada Allah, maka dia adalah orang yang ingatkan Allah. Apabila dia
bersama orang-orang yang ingatkan Allah, maka dia tidak tergolong dari kalangan
orang yang lalai. Apabila dia bersama orang-orang yang lalai, maka dia tetap
mengingati Allah. Jika dia bersama orang-orang yang mengingati Allah, maka dia
tidak hanya mengingati Allah dengan lisannya namun juga dengan hatinya.
Mereka memaafkan orang yang
menzaliminya, memberi kepada orang yang bakhil kepadanya, menyambung tali
silaturrahim terhadap orang yang memutusnya, jauh dari sifat buruk, ucapannya
lembut, jauh dari perbuatan mungkar, mudah berbuat baik dan memerhatikan
kebaikan serta berpaling dari kejahatan.
Dia tetap tenang dalam keadaan sukar, sabar dalam keadaan
miskin, syukur dalam keadan kaya, tidak menzalimi orang yang benci kepadanya,
dan tidak menyakiti orang yang mencintainya. Sentiasa mengakui kebenaran
sebelum disuruh, tidak mensia-siakan amanat yang diberikan kepadanya, tidak
melupakan sesuatu yang harus diingati, tidak memanggil seseorang dengan gelaran
yang tidak disukai, tidak membahayakan jirannya, berdukacita dengan orang yang
terkena musibah serta tidak termasuk dalam urusan kebatilan dan tidak terkeluar
dari kebenaran.
Apabila diam, dia tidak merasa
sedih kerana tidak ikut berbicara. Apabila tertawa dia tidak meninggikan suara,
apabila dizalimi, dia sabar hingga Allahlah yang membalaskannya. Jiwanya
sentiasa berat kerana menanggung ketaatan dan menjauhi nafsu syahwat. Setiap
orang merasa aman bila bersamanya. Mengorbankan segalanya untuk keperluan
akhirat dan melepaskan diri dari sikap bergantung kepada manusia. Dia menjauhi
orang yang jauh dari zuhud dan kebersihan hati. Dia mendekati orang yang dekat
dengan kelembutan dan kasih sayang. Dia tidak menjauhi seseorang dengan bongkak
dan sombong, tidak pula mendekati seseorang dengan helah dan tipudaya.
Saidina Ali bin Abi Talib
Wallahu a’alam.
( Kaifa nasluk Thariq al-Jannah;
Nabil Hamud Al-Ma’az )
No comments:
Post a Comment