Sunday, October 28, 2012

Petikan Khutbah Arafah


Khutbah Arafah 1433 H

Para tetamu Allah SWT, di saat dan ketika seperti ini, di mentari yang seperti ini, di tanah Arafah yang seperti ini, di bumi ini, di pasir-pasir dan debu-debu ini, 1400 tahun terdahulu, junjungan besar nabi Muhammad saw bersama-sama dengan para sahabat, bersama dengan seluruh daripada mereka yang terdiri daripada hulmahaltul mukminin , yang terdiri daripada kalangan sahabat-sahabat besar, terdiri daripada mereka yang dijamin surga Allah swt. Berhimpun dan berkumpul di padang ini mengucapkan talbiah, tahmid dan takbir, memuji dan memuja kebesaran Allah SWT. Lidah mereka basah dengan  Labbaikallahumma labbaik, labbaika lasyarika laka labbaik, innal hamda wanni’mata laka walmuka lasyarika lak.

Kelahiran dan kedatangan mereka ke bumi Arafah bagi menyempurnakan : Dan serulah manusia kepada menunaikan ibadah haji.

Kita hari ini, bukan sekadar rakyat Malaysia, bahkan daripada pelbagai bangsa dan negara yang hadir di bumi Arafah, tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk menyambut seruan, apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT yang menjadi sebahagian daripada kewajiban Rukun Islam iaitu ialah menunaikan ibadat haji.

Mudah-mudahan bumi Arafah menyaksikan kelahiran dan kewujudan kita sebagai umat Islam yang melaksanakan titah dan perintah Allah SWT.

Ya Allah, persaksikan mereka yang hadir di bumi Arafah, khususnya rakyat Malaysia yang ada pada khemah ini, bahkan di merata khemah yang berdekatan termasuk seluruh daripada kalangan umat Islam yang hadir di bumi Arafah melebihi daripada 3 juta umat, yang kita harapkan tiada ganjaran lain yang diberikan Allah dalam suasana kepanasan dan bahang Arafah , dalam suasana debu-debu Arafah, dalam suasana udara dan angin Arafah, mudah-mudahan telapak-telapak kaki kita bertemu dengan telapak-telapak kaki para sahabat junjungan besar nabi Muhammad saw.

Para tetamu Allah sekalian:

Sesungghnya Arafah adalah bumi yang terlalu amat bersejarah, sehinggakan pertemuan Adam as bersama-sama dengan Hawa yang berpisah begitu lama dan panjang juga dipertemukan oleh Allah SWT di bumi Arafah. Hanya Allah yang mengetahui kemuliaan dan kebesaran, kenapa Arafah menjadi pilihan ketentuan pertemuan bapa kepada segala manusia yang meneruskan zuriat kelahiran manusia hari ini.

Sidang hadirin hadirat yang dirahmati Allah , bermula dari gelincir matahari, bermula dari masuknya waktu Zohor sebentar tadi, bermula di saat khatib berdiri di sini untuk membaca khutbah, ianya adalah merupakan sesuatu yang amat bermakna kepada kita. Dalam perjalanan haji alhajur Arafah, haji adalah perhimpunan di bumi Arafah. Mudah-mudahan apabila matahari yang sedang memancar terik di atas kepala, mudah-mudahan apabila turunnya mentari nanti, kita mampu menyempurnakan berwukuf di padang Arafah, sesudah kemudian kita bergerak ke Mudzalifah, bermabik mengutip anak-anak batu melontar di Mina. Dan begitulah seterusnya, sesungguhnya pengajaran Mina yang terlingkung dalam syiar ibadat haji yang kita lalui. Di Mina kita melontar di ketiga-tiga jumrah. Bermula dengan Jumratul Qubra dan begitulah seterusnya diulang sebanyak 3 hari sama ada nafal awal atau nafal yang kedua, nafal thalni. Sesungguhnya lontaran itu memberikan pengajaran yang terlalu besar kepada kita.

Bagaimana nabi Allah Ibrahim as, ketika umur yang terlalu tua, tiba-tiba dikurniakan dengan seorang anak, yang ditunggui sekian lama, namun dalam penantian anak yang begitu lama, Allah memerintahkan anak tersebut disembelih. Sesudah diperintahkan berpindah berada di bumi Mekah, pada wadi yang kering kontang.

Ketika mana nabi Allah Ismail pandai bermain-main, berkata-kata, mengikuti ayahnya Ibrahim. Allah perintahkan anak yang dinanti sekian lama, untuk disembelih. Lalu nabi Ibrahim bertanya kepada anaknya : Apakah pandangan kamu terhadap perintah ini.

Anak yang masih lagi kecil tetapi mempunyai roh dan semangat yang begitu besar, menjelaskan : Wahai bapakku, laksanakan perintah Tuhanmu ke atasku, nescaya kamu akan dapati aku akan bersabar di atas perintah ini.

Bayangkan bagaimana pengorbanan yang begitu hebat, seorang kanak-kanak yang memahami perintah Allah, yang sebagaimana kita juga yang memahami perintah Allah berhimpun dan berkumpul di bumi Arafah. Semuga-muga pertautan ibadah ini akan mengganjarkan dengan  janji syurga Allah SWT.

Begitu juga, sewaktu kita nanti bertawaf menyempurnakan haji di bumi Mekah. Mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali keliling, melihat kepada Hajarul Aswad yang dikurniakan oleh Allah, batu syurga yang diberikan sebagai kemuliaan kepada umat Muhammad saw dan umat nabi Ibrahim as.

Dan kita bersaie di antara Safa dan Marwah. Kita berlari di antara Safa dan Marwah dengan 7 pusingan sebagai gambaran bagaimana berlarinya Siti Hajar dalam pencarian dan pendakian untuk mendapatkan setitis minuman kepada anaknya Ismail. Dalam suasana yang demikian, bayangkan. Dalam kelapangan yang ada sekarang ini di bumi Safa dan Marwah, di antara dua bukit yang pada hari ini telah diratakan dengan perjalanan yang lebih mudah, bahkan pada tingkat yang tertentu mempunyai udara yang dingin dan nyaman, yang dikurniakan.

Sedangkan Siti Hajar suatu ketika dan saat dahulu di kepanasan seperti inilah, di kepanasan bukit-bukit yang kering kontang itulah Safa dan Marwah yang menjadi perlambangan syiar ibadah yang kita lakukan pada hari ini, sehingga akhirnya pengorbanan seorang isteri dan juga ibu yang begitu gigih memelihara anaknya yang sepatutnya menjadi suatu dorongan kepada kita sebagai umat Islam. Bagaimana bersungguhnya untuk kita membawa agama Allah, mempertahankan agama Allah SWT.


Akhirnya, Allah mengurniakan telaga Zam-zam yang munculnya mata-mata air di bawah telapak kaki nabi Allah Ismail as. Bagaimana kemuliaan yang Allah berikan yang sampai ke saat ini dan ketika ini Zam-zam yang tidak pernah kering, walaupun jutaan umat Islam sama ada di musim Ramadhan, di musim haji, sama ada di musim umrah, mereka membawa pulang air-air tersebut, meminum dan juga menyimpan air tersebut. Tapi sedikit pun ianya tidak pernah mengeringkan telaga yang kecil, yang tumbuh sebagai mukjizat di telapak kaki seorang nabi yang dikurniakan oleh Allah yang menjadi air yang terbaik di atas muka bumi ini.

Sidang hadirin hadirat para tetamu Allah yang dihormati sekalian.

Marilah dalam kesempatan yang terbatas ini, di mentari yang penoh cahaya kurniaan Allah, di saat Allah membuka semua pintu-pintu hijab, di saat tidak ada perlindungan dan tutupan dari doa yang akan kita sampaikan. Marilah para tetamu Allah, marilah para jemaah haji untuk sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT dengan hati yang penoh tulus ikhlas. Kalaulah ini merupakan ziarah yang terakhir, haji yang terakhir, Arafah yang yang terakhir untuk kita, jadikan Arafah yang terbaik, yang menjanjikan tiada balasan yang lain melainkan syurga Allah.

Para tetamu Allah sekalian.

Mungkin kita tidak dapat menziarahi lagi Arafah, mungkin kerana keterbatasan waktu dan juga jumlah jemah haji. Tetapi kita mengharapkan inilah yang terbaik yang Allah kurniakan kepada kita. Gunakan saat Arafah yang begitu mulia ini.

Apabila nabi ditanya para sahabat :  Apakah doa yang terbaik, apakah doa yang paling afdal. Nabi saw menjawab : Doa pada hari Arafah. Marilah kita berdoa untuk keselamatan diri kita, keluarga, isteri, anak dan suami, seluruh rakan muslimin dan muslimat termasuk khusus bagi negara kita Malaysia yang tercinta supaya Allah mengurniakan negara yang mendapat keampunan Allah SWT.

Para hadirin hadirat :

Marilah pada saat dan ketika penoh bermakna ini, di suasana Arafah yang penoh dengan kemuliaan ini, di suasana kita berhimpun di padang yang penoh kemuliaan ini. Marilah untuk kita tidak lupa untuk mengucapkan salam dan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw yang telah membawa Islam kerana perintah Allah dalam Al-Quran : Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas nabi, maka berselawatlah kamu dan mengucap salam ke atasnya dengan sesungguh-sungguhnya.

Dan sabda rasulullah saw :  Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat.

Wallahu a’lam

Datuk Seri Jamil Khir b Hj Baharom
Arafah, 25 Okt 2012

No comments:

Post a Comment