Putri,
Saya titipkan lembaran di bawah khas buat tatapan Putri dan para penggemar Luahan Rasa seperti saya. Saya bukanlah penciptanya tetapi ia saya petik dan terjemahkan dari sebuah laman web berunsur motivasi. Saya senang membacanya dan saya kira sehingga ke nokhtah yang terakhir nanti, anda juga akan berkongsi perasaan yang sama apabila membacanya.
“ Tuhan Yang Maha Pemurah telah menciptakan kita ikan-ikan di sungai dan lautan, tetapi kita harus mengail mahupun memukat untuk mendapatkannya. Demikian juga jika kamu terus menunggu waktu yang tepat, mungkin kamu tidak akan bermula. Mulailah sekarang!. Mulailah di mana kamu berada sekarang dengan apa adanya “.
Jangan pernah fikirkan kenapa kita memilih seseorang untuk dicintai, tetapi sedari bahawa cintalah yang memilih kita untuk mencintainya. Perkahwinan memang memiliki banyak kesusahan tetapi kehidupan bujang tidak memiliki kesenangan. Buka mata kamu lebar-lebar sebelum menikah, dan biarkan mata kamu setengah terpejam sesudahnya.
Menikahi wanita atau pria kerana kecantikan atau ketampanannya sama seperti membeli rumah kerana lapisan catnya. Harta milik yang paling berharga seorang pemuda di dunia ini adalah hati seorang wanita. Begitu juga persahabatan. Persahabatan adalah satu jiwa dalam dua raga. Persahabatan sejati tidak ubah seperti nikmat kesihatan yang baik, nilainya baru kita sedari setelah kita kehilangannya.
Seorang sahabat adalah insan yang dapat mendengarkan lagu di dalam hatimu dan akan menyanyikan kembali tatkala kau lupa akan bait-baitnya. Sahabat umpama ‘ tangan tuhan ‘ untuk menjaga kita. Rasa hormat tidak selalu membawa kepada persahabatan tetapi jangan pernah menyesal untuk bertemu dengan orang lain. Menyesallah jika orang itu menyesal bertemu dengan kamu.
Bertemanlah dengan orang yang suka membela kebenaran. Dialah hiasan di kala kamu senang dan perisai di waktu kamu susah. Namun kamu tidak akan pernah memiliki seorang teman, jika kamu mengharapkan seseorang tanpa kesalahan. Kerana semua manusia itu baik kalau kamu mampu melihat kebaikannya dan menyenangkan kalau kamu mampu melihat keunikannya. Tetapi…..semua manusia itu akan buruk dan membosankan kalau kamu tidak biasa melihat kedua-duanya sekali.
Begitu juga dengan kebijaksanaan. Kebijaksanaan itu seperti cairan yang mana kegunaannya terletak pada penyerapan yang benar. Orang pintar sekalipun akan gagal apabila mereka memikirkan terlalu banyak hal. Sedangkan orang bodoh sering kali berhasil dengan melakukan tindakan tepat. Dan bahawasanya keintektualan sejati tidak datang dari pemikiran kita semata-mata tetapi turut bersandarkan pada perasaan dan fakta.
Tak seorang pun sempurna, bukan? Mereka yang mahu belajar dari kesalahan adalah seorang yang bijak. Adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila melihat orang berkeras bahawa mereka benar meskipun terbukti salah. Apa yang berada di hadapan kita adalah perkara kecil berbanding dengan apa yang berada di dalam diri kita sendiri.
Kita tidak berupaya untuk mengubah masa lalu tetapi sesungguhnya dapat menghancurkan masa kini dengan berasa khuatir tentang masa depan. Bila kita mengisi hati dengan penyesalan untuk masa lalu dan kebimbangan untuk masa-masa yang akan mendatang, percayalah. Kita tidak memiliki hari ini untuk disyukuri. Justeru jika kamu berfikir tentang hari kelmarin tanpa rasa penyesalan dan hari esok tanpa rasa takut, bererti kamu sudah berada di jalan yang benar menuju sukses. – ASILAH
Terima kasih daun keladi kerana sudi meluangkan waktu bagi menterjemahkan coretan di atas untuk dikongsikan bersama. Hanya Tuhan yang dapat membalasnya.
Benar kata Asilah, senang sekali membacanya. Ia membuatkan kita berhenti sekejap untuk berfikir dan merenung sejenak. Ia seolah-olah memberikan kita satu sumber kekuatan yang baru dan segar. Lagipun berfikir sejenak dan merenung masa lalu juga merupakan satu permulaan untuk kita bertindak.
( Utusan Malaysia : 4 Jan 2007 )
No comments:
Post a Comment