Tuesday, January 11, 2011

GARIS-GARIS BIMBINGAN KE ARAH HIDUP BAHAGIA : Bahagian 1

Mencari Kejernihan Jiwa

Oleh : Yusoff Zaky Yacob


Bab 1 : Kaca Mata Hidup

Bumi yang kita didiami hari ini bukanlah sebuah surga yang selama-lamanya aman damai malah suatu gelanggang hidup yang penuh dengan pergolakan dan gelombang percubaan. Untuk menghadapi suasana hidup yang sedemikan, tiap-tiap seorang harus dibimbingi oleh suatu sikap hidup yang tegas dan pandangan hidup yang tabah, yang boleh membawa kepada kejernihan dan kedamaian jiwa.

Kedamaian dan kejernihan jiwa amat perlu kepada kita. Tanpa kejernihan ini kita tak mungkin menikmati kepermaian dan keindahan-keindahan yang terkandung di dalam hidup.

Di sana ada dua sikap yang boleh menentukan jernih atau keruhnya pandangan dan harapan kita terhadap hidup. Pertama sikap pembening atau optimis iaitu sikap hidup yang sentiasa menaruh harapan baik dan pandangan yang jernih terhadap sesuatu yang berlaku atau lebih tegas lagi memandang hidup menerusi kaca mata yang putih bersih. Yang kedua,sikap pemuram atau pesimis iaitu sikap memandang sesuatu yang berlaku dalam hidup dengan harapan buruk, pandangan yang muram,cemas dan khuatir atau lebih tegas sikap memandang hidup menerusi kaca mata hitam muram.

Sikap optimis itulah mata air kejernihan dan kedamaian jiwa sedangkan sikap pesimis merupakan sumber kegelisahan, kekhuatiran, kesengsaraan dan kesiksaan jiwa yang boleh menghilangkan segala keindahan dan kepermaian hidup di alam ini.

Untuk hidup di zaman hebat ini setiap orang perlu mengumpulkan segala semangat keberanian dan ketabahan dan perlu mengisi jiwanya dengan harapan yang menyala dan pandangan yang jernih bening.

Memang benar kita tak berdaya menghapuskan tekanan pancaroba-pancaroba dan paluan peristiwa-peristiwa yang tak diingini tetapi kita jangan lupa, kita memang berkuasa meredakan tekanan-tekanan itu dan kita juga mampu menghindarkan diri kita dari dilanggari oleh gelombang-gelombang perasaan yang menyiksa dan mengazabkan jiwa kita.

Mari kita bertanya lebih tegas lagi.

Mungkinkah kita hidup dengan sikap yang optimis dan memandang segala sesuatu dengan kaca mata yang putih sedangkan kita dikepung dari segenap sudut oleh suasana bahaya dan getir.

Jawabnya meskipun dalam suasana yang sedemikian mengancam dan mengerikan namun kita mungkin hidup dengan  harapan yang bening, hidup dengan kaca mata yang putih sekiranya kita hadapi peristiwa itu dengan jiwa yang positif, jiwa yang mahu melawan dan pantang menyerah, jiwa yang yakin kepada diri sendiri, jiwa-jiwa yang percaya kepada keadilan dan kerahiman Illahi, jiwa yang sanggup mengharapkan kebaikan dari peristiwa-peristiwa yang buruk hitam.

Orang yang pesimis atau orang yang berkebiasaan memandang peristiwa-peristiwa hidup dengan kaca mata yang hitam muram dan harapan yang mati masih lagi boleh mengubahkan sikap hidupnya yang merugikan itu kepada sikap optimis yang memandang sesuatu dengan anggapan yng cerah dan harapan yang kembang jika ia mempunyai saki baki kemahuan yang tabah untuk melatihkan dirinya menerima perubahan dan kebiasaan baru.

Memang sulit hendak mengubah kebiasaan dan menukar sikap yang sudah lama berkuku dalam jiwa kita tetapi apabila latihan itu dilakukan dengan segala kesungguhan dan keyakinan lambat-laun akan reputlah kebiasaan yang lama dan akan tumbuhlah kebiasaan baru mengambil tempatnya.

Anggapan dan kepercayaan kita terhadap sesuatu perkara itu mempunyai pengaruh yang besar. Tiap-tiap usaha itu akan mudah bila dianggap dan dipercayai mudah dan sebaliknya akan payah bila dianggap dan dipercayai payah. Kerana orang yang menganggap mudahnya sesuatu usaha akan dilakukan itu memang mudah mencerminkan keazamannya untuk mencuba dan melaksanakan usaha itu sedangkan orang yang beranggapan payah adalah siang-siang membayangkan pudarnya keazaman  dan kegemarannya untuk mencuba dan melakukan usaha itu. Oleh itu anggapan payah dan sukar suatu taktik menyelamatkan diri sendiri dari kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini atau suatu helah untuk melarikan diri dari tanggongjawab yang harus dipikul olehnya.

Tempoh menempoh juga salah satu taktik untuk melepaskan diri dari usaha-usaha yang agak pahit tetapi makin banyak orang menempoh makin kusut kerjanya dan makin bertambah payah dan berat dirasakan.

Pujangga Perancis Andre Maurois pernah menegaskan, “ Saya percaya siapa-siapa yang sering membisikkan kepada dirinya bahawa dia akan gagal atau akan sakit lambat-laun dia akan tetap gagal dan akan tetap sakit “.

Musuh yang besar kepada kedamaian dan kejernihan jiwa ialah perasaan ketakutan, kedukacitaan dan keraguan. Pengaruh perasaan-perasaan ini melumpuhkan tenaga berfikir dan melemahkan segala daya dan usaha dan untuk menghindarkan diri dari penguasaan perasaan ini, kita harus isikan hidup kita dengan pekerjaan-pekerjaan, usaha-usaha dan hobi-hobi yang membina dan bunuhkan segala keinginan dan kehendak mengelamun dan bermenung-menung kosong.

Orang yang sudah biasa dengan kehidupan yang kelenangan dan mewah sering kali menganggap dirinya sudah kehilangan segala sesuatu apabila saja mereka bersua dengan kesusahan dan bencana hidup, mereka dengan serta merta putus harapan, mereka dengan hinanya menyerah diri kepada kesusahan dan dengan lemahnya membiarkan seluruh kekuatan semangatnya hancur lebur.

Orang seperti ini pasti ditunjukkan nilai keberanian, nilai kebaikan yang tersembunyi di belakang tiap kesusahan, nilai hidup dengan harapan dan mereka harus diberi pengertian kebahagian yang luas dari timbunan mata wang, dari sinar pangkat kebesaran dan kehebatan mahligai dan sebagainya yang senang hilang, fana dan cepat berubah.

Tanyakanlah pada diri, “ Adakah tujuan hidupku di dunia ini semata-mata untuk memuaskan nafsu yang gelojoh dan semata-mata untuk menikmati kelazatan yang fana? “. Kalau ia menyoal begini haruslah kegelojohan yang mengamuk dalam jiwanya itu akan reda dan keinsafan kepada tingginya nilai kebahagiaan jiwa akan perlahan-lahan memancar dalam mata hatinya.

Pembawaan kelakuan dan cara berfikir seseorang sangat dipengaruhi oleh perasaan yang sedang berkuasa dijiwanya. Orang yang dikuasai oleh perasaan marah dan dendam akan dilihat cenderung berkelahi, bergaduh, berbalah, cepat tersinggong dan fikiran penuh dengan rancangan pembelaan, pembalasan denda, penuh dengan cemburu, dengki dan buruk sangka.

Sedangkan orang yang sedang dikuasai oleh perasaan yang mulia, tenang dan khidmat akan dilihat cenderung kepada pendirian jujur, insaf, mengenang budi dan damai dalam pergaulan dan perhubungan.

Kita tidak harus berputus asa biarpun di dalam saat-saat yang paling hitam dan genting kerana putus asa itu akan membunuh segala saki baki kecerdasan yang ada pada kita dan menutup segala pintu fikiran yang sihat dan membina.

Orang yang dibunuh oleh perasaan putus asa lebih banyak jumlahnya dari orang-orang yang dibunuh oleh kesusahan, penderitaan dan kesakitan sendiri.Orang yang berputus asa merasa tiada lagi langit untuk berpijak, tiada langit untuk berteduh, tiada kuasa dan pengaruh yang lebih besar dari pengaruh penderitaan dan kesusahan. Oleh itu putus asa dianggap lebih sengsara dari mati itu sendiri.

Tiada alasan untuk berputus asa selama kita masih bernafas di bawa langit yang meluas saujana dan di atas bumi menghampar sayup lantang, selama kita mempunyai Tuhan yang pengasih, penyayang dan berkuasa dari segala yang berkuasa, selama kebahagiaan dan kepermaian hidup tidak hanya sekuntum, tidak hanya sewarna juga secorak, tidak setempat dan tidak berupa mata benda sahaja.

Kalau kebahagiaan secara harta benda mudah hilang kita masih belum hilang sesuatu, kita masih ada jalan yang luas untuk menikmati kebahagiaan rohani yang lebih indah dan lebih luas cita-cita dari yang lain seperti keindahan kasih sayang, kemesraan, simpati, bakti dan dari kemesraan mengenal dan berlutut di hadapan Tuhan semesta alam.

Di sana ada satu manusia yang paling dibenci Allah iaitu manusia yang angkuh sombong ketika senang lenang dan hina dina dan putus asa ketika susah, manusia yang berdoa panjang ketika sengsara dan bersembahyang pendek-pendek ketika makmur, manusia yang syukur ketika dicurahi nikmat dan kufur ketika tidak ada pengurniaan dan penganugerahan.

Kebeningan hidup bukan suatu kurniaan bahkan suatu hasil dari pendidikan dan latihan yang penat jerih, suatu buah dari pengertian dan kesedaran, suatu jasa dari perjuangan mengendalikan diri sendiri. Usaha yang bersungguh-sungguh pasti akan memperolehkannya.


Bab 2 : Pembersihan suasana pergaulan

Pandangan hidup yang sihat dan jernih tidak mungkin subur dalam suasana pergaulan yang  penuh dengan inspirasi yang muram dan dorongan-dorongan contoh tauladan yang buruk. Suasana pergaulan harus bersih, sihat, berinspirasi dan  contoh tauladan yang dainamis yang boleh mendorong kita kepada kebaikan dan keluhuran.

Dari sinilah timbulnya keperluan berteliti dalam usaha memilih sahabat handai.  Merekalah orang-orang yang berpengaruh memberi warna kepada suasana hidup kita, memberi tauladan dan inspirasi dalam perjuangan hidup sehingga seringkali mereka menyeret kita terlibat dalam pusingan hidup mereka tanpa kita sedari dan dari merekalah orang dapat menilai dan mengukur peribadi kita.

Untuk mencapai suasana hidup yang segar dan pandangan yang cerah bening maka lingkungan persahabatan dan pergaulan kita harus bersih dari anasir-anasir orang-orang yang lemah semangat, tidak percaya pada diri sendiri, cepat berputus asa, penguatir, pembimbang, penakut dan pengecut, pendengki, tidak tetap pendirian dan sudah rosak budi pekertinya.

Orang-orang seperti ini merbahaya kepada kita. Mereka mungkin menaburkan bibit-bibit pandangan hidup yang lemah, benih-benih fikiran yang kaku dan semangat yang lumpuh, mereka mungkin menanamkan tunas-tunas kejahatan dan kerendahan moral yang boleh mengheretkan kita ke jurang kecelakaan dan kebinasaan.

Tetapi ini bukan bererti bahawa kita sama sekali harus mengambil sikap memusuhi atau memutuskan tali persaudaraan dengan mereka. Bahkan kita harus menghormati tiap-tiap manusia dengan sewajarnya. Apa yang kita maksudkan dengan pemulauan mereka di sini kita tidak harus menjadikan mereka rakan-rakan sepergaulan tempat kita menumpang mencari buah fikiran atau sumber kita mencari contoh tauladan dan pimpinan.

Kita harus dulu mengkaji dan mengenalkan peribadi orang-orang di sekelililing kita dahulu sebelum menceburkan diri bergaul dan bersahabat handai dengan mereka.

Besarlah keberuntungan hidup kita kalau kita berjaya mencarikan sahabat-sahabat sepergaulan dari orang yang berbudi luhur, berperibadi tenang dan mempunyai pandangan hidup yang jernih. Merekalah orang yang sebenar-benarnya layak menjadi sumber dan tauladan dalam perjuangan hidup kita. Merekalah orang yang dapat mewarnakan suasana hidup dengan warna-warna yang segar megar dan memberi inspirasi dan dorongan-dorongan yang sihat dan luhur.

Orang-orang yang mempunyai sahabat handai yang seperti ini seolah-olah mempunyai perbendaharaan hidup yang tidak ternilai harganya.


Bab 3 : Menikmati keindahan alam

Alangkah indahnya temasya hidup ini kalau kita tonton dengan adirasa seni iaitu perasaan halus yang tahu menikmati sesuatu yang permai, yang tahu melazati sesuatu yang anih dan tahu meraba sesuatu erti yang mendalam dari apa yang diterima oleh pancainderanya.

Di alam ini penuh dengan keindahan dan kepermaian yang boleh melahirkan kemeriahan dan keriangan yang seluas-luasnya kepada jiwa kita. Keindahan itu merupakan kekayaan-kekayaan alam yang tak terbatas, kekayaan yang murah harganya yang boleh dinikmati oleh setiap orang dari penghuni istana sampai kepada penghuni gobok, dari orang seni samada sihat atau sisakit asalkan mereka belum kehilangan adirasa seni.

Perasaan redup muram, gelisah dan merana akan bertambah bermaharajalela apabila seluruh pemikiran, pemerhatian dan kenangan kita pusatkan pada diri sendiri sahaja.

Dalam suasana ini amatlah berguna kita berlatih melupakan diri kita dengan mengajak diri kita iaitu fikiran dan pancaindera kita bercerakarama di dalam  keindahan alam yang berkembang di merata-rata.

Kitab suci Al Quran sendiri menyarankan dalam ratusan ayat mengajak manusia ke arah itu. Orang yang mengerti bahasa kitab itu akan merasa kagum melihat peta-peta keindahan alam melalui pembacaannya. Ahli-ahli politik dan pujangga terkenal sering beristirehat di tempat-tempat yang mengandongi keindahan alam dan dari merekalah mengejutkan dunia dengan fikiran-fikiran yang gemilang.

Menikmati kepermaian alam bukan sahaja meredakan ketegangan urat saraf tapi juga memulihkan kekuatan tenaga yang hilang dan lusuh dan membarui suasana jiwa dan menolong kita mengembangkan pandangan yang jernih bening terhadap hidup.

Kita adalah sebahagian daripada alam, oleh kerana itu kita tidak boleh hidup berasingan diri dari alam. Perasingan dari alam akan menimbulkan perasaan bosan, perasaan merasa diri kecil dan tidak berharga.

Bab 4 : Percaya kepada diri sendiri

Ahli jiwa pernah berkata, ” Percaya itu kuasa, sesiapa yang percaya maka ia berkuasa ”. Kepercayaan pada diri sendiri mempunyai berbagai mujizat. Ia suatu dorongan menggalakkan percubaan dan menguji yang menyuakan jalan-jalan kejayaan.

Manusia yang tak berkepercayaan pada diri sendiri adalah manusia lemah, kaku, tiada inisiatif dan keberanian untuk bertindak serta menonjolkan diri ke tengah masyarakat.

Tetapi kepercayaan itu bukanlah yang membabi buta. Kita tidak mungkin melakukan pekerjaan-pekerjaan yang luas dari kebolehan kita biarpun seteguh mana kita percaya pada diri.

Langkah pertama dalam menegakkan kepercayaan diri ialah mengenal diri sendiri : kenal latar belakang kebolehan dan bakat kemudian kembangkannya dengan penuh keyakinan.

Dasar menganggap diri tidak kurang dari manusia yang telah berjaya sepatutnya jadi dorongan kuat. Bisikan, ” Mereka anak manusia, aku pun anak manusia, mereka berjaya jadi aku juga boleh berjaya ”.

Sejarah orang yang berjaya bukanlah himpunan lembaran kosong tapi penuh dengan langkah-langkah yang berani, usaha tanpa mengenal sukar dan kecewa dan keyakinan tanpa kenal putus harapan.

Masyarakat terdiri dari orang perseorangan. Masing-masing ada lebihannya. Usaha setiap individu mencantikan keseluruhan. Tiada orang boleh mengangkat dan melahirkan keistemewaan peribadi kita melainkan diri sendiri. Di sana tiada pelita yang menyala dengan sumbu pelita yang lain.


Bab 5 : Turun ke dalam pergaulan

Semangat percaya pada diri sendiri tidak mengembang dengan subur dengan pengasingan dari pergaulan yang luas. Semangat itu perlukan kehidupan yang gegak dan penuh pengeseran, pergolakan. Dalam suasana seperti ini semangat kepercayaan akan tercetus dan teruji.

Pengasingan diri membayangkan gejala kehilangan rasa keyakinan pada diri. Ini membahaya pada kesihatan jiwa dan juga sekali gus menutup peluang kejayaan.

Untuk menghapuskan sikap yang tidak sihat ini dunia petapaan mestilah ditinggalkan, tujulah dunia pergaulan yang luas dengan berani. Daftarlah diri dengan mana-mana pertubuhan yang sesuai dengan kebolehan tanpa rasa takut kelemahan dilihat orang. Tiada manusia yang sempurna sebenarnya.

Pada permulaan bergaul memanglah serba salah rasanya, canggung, gagap tapi setelah lama bergaul, saksikan dan dengari, berlatih dan mencuba maka perasaan kecut dan gemuruh akan perlahan-lahan hilang. Ini diganti pula oleh perasaan aman tenang, dalam kumpulan dan yakin pada kebolehan sendiri dalam beberapa segi tertentu.

No comments:

Post a Comment