Tuesday, January 11, 2011

GARIS-GARIS BIMBINGAN KE ARAH HIDUP BAHAGIA - Bahagian 3

Mencari Kejernihan Jiwa

Oleh : Yusoff Zaky Yacob


Bab 11 : Singkirkan rasa jemu dan bosan

Sukar bagi mereka yang merasa bosan dan jemu untuk menikmati kemeriahan hidup. Terdapat beberapa faktor yang bertanggongjawab bagi timbulnya rasa bosan dan jemu ini antaranya :

  1. Pengangguran
Iaitu tiada pekerjaan atau kekosongan seseorang dari kegiatan dan kerja-kerja yang berguna yang menaikkan harga dirinya. Kesengsaraan perasaan akibat pengangguran ini bukan sahaja dialami oleh orang miskin tanpa pekerjaan tapi juga oleh orang kaya yang kosong hidupnya akibat ketiadaan kegiatan yang membina dan kerja-kerja bakti dan tiada tahu sesuatu selain menikmati kelazatan-kelazatan hidup yang rendah.

  1. Pembelengguan
Iaitu terikat kepada kerja rutin yang tetap dan seragam tanpa pembaharuan. Peluang pengembangan diri dengan luasnya tiada. Penentuan kerja dibuat seperti mesin beku tak berubah-ubah. Untuk itu berusahalah mengembang lapangan kesukaan atau hobi seperti menubuhkan badan sukan, kebudayaan dan sebagainya ataupun menyertainya.

  1. Pengasingan
Sikap ini berlawanan dengan tabiat semulajadi manusia yang cintakan perhubungan dan pergaulan. Pertemuan akan dapat mengusir tompok awan muram dari jiwa seseorang. Kehidupan yang tertutup dan terkurung dalam penjara diri sendiri yang sunyi dari gelak tertawa, yang kosong dari persabungan lidah yang sahut-sahutan samalah seperti sebuah bilik yang tertutup dari curahan cahaya dan laluan angin lembut. Bilik sedemikian tak syak lagi akan dipenuhi oleh bau hapak, gelap gelita akhirnya akan mencekek dan melemaskan pernafasan penghuninya.

Ada yang malu tak ingin bergaul dan merasa dirinya tidak digemari orang. Dia lebih suka atau  rasa lebih selamat. Pendirian ini akan menyebabkan keadaannya bertambah buruk. Pendirian ini akan menambahkan buruknya lagi keadaan minat dan kegemaran orang lain terhadap dirinya kian jauh.

Dalam hubungan pergaulan dan mencari kawan beberapa perkara penting mestilah difikirkan, antaranya :

Kita tidak akan berjaya membuat perhubungan persahabatan yang luas jika kita hanya bersikap menunggu orang menghulurkan tangan persahabatanya, kitalah harus dahulu menghulurkan tangan persahabatan, mendatangi orang dan menawarkan senyuman persahabatan kepadanya.

Kita harus berusaha membuang sikap mengenang diri dan sikap terlampau banyak memperhitungkan soal kehormatan diri, sikap-sikap ini merumitkan pergaulan.

Orang yang selalu mengenang dan mengira-gira kehormatan dirinya akan mudah berkecil hati, terhina,mentafsirkan gerak-geri orang lain dengan sangkaan yang buruk. Bila kawan kelihatan agak masam atau sejuk ketika bertemu dengannya lantas dia mentafsirkan gerak-geri bahawa kawannya mudah benci kepadanya atau tidak menghormatinya lagi. Bila dia mendengar kata-kata yang tajam atau agak keras sedikit dari orang lain dia terus merasa dirinya dihina atau diperkecilkan orang, sedang orang itu tidak sedikit pun bermaksud demikian, Bila dia nampak dua orang  ketawa ketika dia lalu, dia lantas menganggap orang-orang itu sedang membicarakan hal dirinya.

Bila dia memasuki satu tempat yang penuh dengan orang dia kelihatan jelas gugup dan serba salah kerana dia merasa semua orang sedang menumpukan mata mereka kepada gerak-gerinya. Oleh sebab itu orang-orang pengenang diri selalu pemalu, pengecut dan ragu-ragu hendak melakukan tindak tanduknya di hadapan orang lain kerana dia takut tersalah dan tersilap yang mungkin menjatuhkan nilai kehormatan dirinya.

Memang benar bahawa kita di suruh menjaga kehormatan diri tapi janganlah kehormatan itu dihubungkan dengan soal-soal titik bengek seperti tadi. Bahkan hubungkanlah kehormatan dengan perkara-perkara asasi.

Sesungguhnya orang-orang lain di sekeliling masing-masing sibuk dengan masalah mereka sendiri.

Dalam pergaulan kita harus menginsafi bahawa persahabatan itu bukanlah suatu perniagaan yang menghitungkan untung rugi bahkan persahabatan itu adalah berdasarkan saling berbudi dan berbakti, saling menolong dan menghormati satu  sama lain. Tegasnya dalam persahabatan dan pergaulan undang-undang ambil dan beri harus diakui bersama.







Bab 12 : Padamkan bara-bara di dalam jiwa

Kita tidak mungkin memandang hidup dengan kaca mata yang terang benderang jika dalam jiwa kita masih ada keping-keping bara api yang menyala dan mengumpulkan asap yang hitam kelam. Perasaan marah, dendam, berseteru, cemburu,  dengki dan benci inilah keping-keping bara api yang merbahaya kepada ketenteraman dan kejernihan hidup seseorang. Dia mengazab dan mengsengsarakan hati manusia dengan percuma. Makin kuat kita marah, berseteru, cemburu dan dengki makin pedih dan parah kehangusan hati seolah-olah kita hanya menambahkan kayu bakar untuk menghanguskan diri kita sendiri. Inilah ketololan yang tidak harus diteruskan.

Perasaan-perasaan ini bukan sahaja bahayanya sekadar mengeruhkan kejernihan hati kita malah mencetuskan di dalam jiwa kita berbagai-bagai cita-cita jahat dan ganas terkadang-kadang mendorong kita melakukan kejahatan-kejahatan jenayah yang menjatuhkan nama baik kita.


Bab 13 : Marah dendam

Kita tidak  dituntut membuang marah dengan akar umbinya sekali, oleh kerana kita tidak mungkin berbuat demikian sebab marah adalah unsur perasaan manusia yang terpenting sebagai senjata untuk memelihara dan mempertahankan keselamatan dirinya. Kita boleh marah dan dalam setengah-setengah keadaan kita perlu pula marah tetapi kita harus bijaksana menggunakan kemarahan itu seperti kebijaksanaan kita menggunakan api. Api hanya digunakan dalam masa tertentu bagi keperluan tertentu setelah selesai api itu harus dipadamkan. Begitu juga dengan marah.

Marah melulu bukanlah perbuatan yang bijak kerana lambat laun ianya akan membakar rumah kita sendiri.

Bila diamuk perasaan marah segera cari jalan keluar atau jalan penyelesaian.Jika mengikut pertimbangan kemarahan perlu diletupkan letuplah dengan bijaksana dan kalau perlu disiram, siramlah dengan sabar. Yang penting jangan di simpan kemarahan itu sampai menjadi dendam dan perseteruan yang tak kunjung padam dan sejuk. Oleh kerana jika tidak disiram lama kelamaan ianya akan meletup mencurahkan belerang ke atas orang-orang yang tidak berdosa.

Kemarahan dan perseteruan yang lama terpendam lambatlaun akan mengubah pekerti seorang kepada tabiat perengus, lekas meradang, menaruh keraguan dan syak wasangka yang jahat kepada orang lain.

Kita hanya menghabiskan dengan percuma tenaga yang sebegitu besar, tenaga yang seharusnya kita gunakan untuk usaha memperbaiki suasana-suasana yang telah membangkitkan kemarahan dan dendam kita itu.

Biarpun kita mempunyai sebab-sebab benar tapi kita harus berusaha menjauhi sikap menyimpan perasaan dendam kesumat.

Untuk mengawal perasaan marah, kita harus belajar bersikap suka mengampuni kesalahan dan kesilapan orang. Pandanglah kesalahan orang terhadap kita dengan memikirkan suasana yng melingkungi mereka dan sebab-sebab yang mendorong mereka melakukan tindakan-tindakan itu.

Penyelidikan dengan jujur pada punca-punca kesalahan yang menimbulkan kemarahan-kemarahan itu nescaya kita seringkali dapati bahawa sebab-sebabnya sangat kecil yang tidak sedikit merugikan kita dan tidak mustahak kita mengazabkan jiwa kita dengan api dendam yang menyala-nyala dengan hebat. Kadangkala punca kemarahan itu dari diri kita sendiri tapi tabiat manusia yang tidak nampak kesalahan dan kelemahan diri sendiri dan sedapat mungkin cuba berdalih untuk meletakkan kesalahan-kesalahan ke atas orang lain.

Jangan lekas marah jika dikritik, kita harus belajar menerima kritik dengan dada terbuka kerana kritikan mencerminkan kelemahan kita. Kritikan memberikan kita bahan-bahan yang perlu untuk kita berfikir memperbaiki keadaan diri kita. Kita harus berterima kasih kepada kritik kerana ia mendorong kita lebih cermat, teliti dan hati-hati dalam setiap langkah dan ini tidak syak lagi menjamin keselamatan dan kejayaan kerja-kerja kita.


Bab 14 : Dengki dan cemburu

Kita juga tidak dapat bergaul dengan jernih dan mesra jika hati kita di selubungi rasa dengki  sedangkan ianya bisa menjatuhkan dan merosakkan pendengki dan pemcemburi itu sendiri.

Makin besar dengki dan cemburu seseorang, makin besar pula api sengsara dan gelisah jiwanya. Makin lama perasaan dipendam makin banyak perubahan buruk akan lahir pada tingkah-lakunya. Dia cenderung mengumpat, merendah-rendah dan mengecil-gecilkan kebolehan dan kejayaan orang lain lambat-laun tembelangnya akan terbuka akibatnya ia tidak digemari masyarakat pergaulan.

Dengki dan cemburu tumbuh bila seseorang merasa dirinya kurang, rendah dan lemah merasa kedudukannya terancam dan tapak-tapak kebanggaannya bergoyang dan bila digoda perasaan tamak haloba untuk membolot semua kebaikan dan ketinggian untuk dirinya sahaja.

Dengki dan semburu menjadi tenaga perasaan lemah dan rendah diri. Orang yang percayakan diri dan kebolehan diri sendiri tiada tempat dihatinya perasaan itu. Biar bagaimana besarnya kejayaan orang itu, bahkan dia gembira kerana dapat mempelajari lebih lanjut segala rahsia kejayaan orang guna contoh tauladan untuk melaksanakan kejayaan diri sendiri.

Jangan cuba menjadi penarung yang menyiksa dan menghalangkan kejayaan-kejayaan orang lain, bahkan biarkanlah bakat-bakat gemilang orang lain itu kembang dengan sekembang-kembangnya kerana perkembangan bakat-bakat ini membawa  kemajuan kepada masyarakat. Belajarlah bergembira dan bersuka hati mendengar kejayaan orang lain.


Bab  15 : Usirkan kerungsingan dan keresahan

Rungsing, resah dan gundah-gulana merupakan tompok-tompok awan hitam yang menggelap dan meredupkan kaca hidup seseorang. Orang yang membiarkan dirinya hanyut dalam pengelamunan, rungsing dan gundah gulana tidak dapat melihat cuaca hidupnya.

Kerunsingan tidak dapat mengubah kenyataan. Ia hanya melumpuhkan diri sendiri dan membazirkan tenaga berharga.

Jangan cuba hendak mengisi hati dengan lebih dari satu kerungsingan dan kekhuatiran dalam satu masa. Jangan jemput kerungsingan hari yang laku, jangan gambarkan kerungsingan dalam lipatan hari-hari depan bahkan hadapi satu kerunsingan-kerungsingan hari sekarang sambil mengadakan usaha-usaha pengatasan yang tegas.

Sikap hidup yang bijaksana dan logik ialah menghadapi hari sekarang dengan penuh kesedaran dan usaha-usaha membina dan persediaan membina. Setelah itu percayalah masalah-masalah hari esok akan selesai dengan sendirinya.

Kenangilah hari kelmarin sebagai cermin dan pelajaran bukan bahan untuk mencurah keluhan dan membuai-buai diri dalam pengalamunan rungsing dan penyesalan tak berpantai.

Terdapat berbagai saluran untuk mencurah keluar kerungsingan yang terdesak-desak dalam jiwa seperti mendengar muzik, membaca, melancug dan bersiar-siar di tempat-tempat indah, mencurah kandungan hati dan bertukar fikiran dengan orang yang disayangi dan dipercayai, penuhi masa lapang dengan kerja-kerja berguna yang mengalih kita dari pemusatan fikiran dan kenangan di sekitar diri sendiri kepada sekitar alam luar yang luas saujana.

Dua saluran yang amat berguna atau berpengaruh ialah membaca kitab suci dan memperbanyakkan ibadat sembahyang. Tiada kententeraman yang lebih jernih dari ketenteraman yang dirasai berhadapan dengan Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Kita harus insaf bahawa kerungsingan dan kekhuatiran ini bukan sahaja berbahaya kepada kedamaian jiwa tetapi juga merbahaya kepada kesentosaan tubuh badan. Dialah yang bertanggongjawab kepada kebanyakkan pengidapan sembelit, tidak hadam dan berbagai-bagai jenis sakit perut.


Unit 16 : Hadapi gelombang dengan tenang

Hidup tidak semuanya hembusan bayu, aliran air yang bening bahkan hidup tidak sunyi dari ribut taufan, hempasan ombak dan gelombang ngeri. Kita tak mungkin dapat menahan segalanya namun kita boleh belajar menghadapinya.

Peristiwa yang menimpa seseorang bukannya semua buruk. Banyak yang ada kebaikannya. Meskipun kebanyakkan kita biasanya gentar menghadapinya.

Bukan hanya gempa bencana yang membunuh manusia tapi kaca mata hidup iaitu jika kaca mata hitam yang dipakai dan kitalah peristiwa yang dipandang, lemaslah jadinya.

Krisis yang mengancam seseorang terkadang merupakan titik peralihan menuju hidup baru. Ini kerana semasa menghadapi krisis, segala daya dikerah. Sesungguhnya tiada sejarah hidup yang lebih indah dari sejarah hidup orang-orang yang ditimpa sakit derita tetapi mereka tetap tabah dan kebal mengemudikan bahawa hidup yang mengirikan orang sihat yang hidup dengan semangat dan cita-cita kerdil.

Hanya manusia berjiwa besar sahaja dapat menggunakan kesakitannya itu sebagai guru yang mengasuh jiwa dan mengilhamkan fikiran yang sihat dan pengertian yang mendala terhadap hidup.

Kejayaan yang dicapai dengan mudah dengan tidak meluruhkan sehelai roma adalah kejayaan yang tiada baik padahnya, kejayaan yang senang gugur. Orang senang mabuk dan lupa daratan, membawa pada lagak sombong. Bila krisis memancar maka kejayaan yang tidak diawasi itu pun terbakar hangus dan mereka pun gugur tak bangun-bangun lagi.

Oleh itu jangan gentar menghadapi kegagalan dan putus harapan akibat halangan di tengah jalan. Jika gagal berturut-turut di saat ini kita harus berhenti sejenak dan memandang ke belakang untuk mencari rahsia yang menyebabkan kegagalan itu. Boleh jadi pekerjaan yang diperjuangkan itu tidak sesuai dengan latar belakang peribadi kita atau kesenangan. Dalam memperjuangkan suatu cita-cita, latar belakang tidak boleh diabaikan.

Hanya pokok yang tahan dipukul ribut taufan sahaja yang sanggup melepaskan pucuknya tinggi ke awan, sedangkan pokok-pokok manja yang lain tempatnya ialah roboh dibumi atau hidup bantut di bawah pokok yang tinggi. Demikian juga ala manusia hanya mereka yang tahan dilanggar krisis-krisis hidup sahaja yang berhak maju sedangkan mereka yang manja dan penakut adalah berhak gugur atau hidup kerdil dan menjadi beban masyarakat.

No comments:

Post a Comment