Tuesday, January 18, 2011

Syair Budi

Bukanlah kenang sebarang kenang
Bertanam budi janganlah kurang
Kalau termakan budinya orang
Hendaklah balas bila terluang.

Budi itu pelembut hati
Tanamlah ia jangan berhenti
Walau tak berbalas cukuplah diingati
Supaya hidup tidak terkeji.

Budi itu gambaran jiwa
Berbuat kebajikan jangan dikira
Membalas budi sehabis daya
Pahit dan sakit janganlah dikira.

Hendaklah kita elokkan budi
Berbuat baik kerana Ilahi
Jauhkan kita termakan budi
Supaya kelak tak susah sendiri.

Budi itu elokkan perangai
Membalas ia hendaklah pandai
Buat kebajikan janganlah lalai
Petuah amanah hendaklah dipakai.

Hendaklah kita berlapang dada
Bertanam budi janganlah bangga
Perasaan orang wajib dijaga
Membalas budi jangan berhingga.

Setiap masa hendaklah ingat
Bertanam budi jadi ibadat
Membalas budi mengikut adat
Semoga Allah memberi rahmat.

Dalam berbudi lembutkan lidah
Jangan selalu buat menyalah
Membalas budi jangan bertingkah
Berbuat baik jangan menyumpah.

( Rosli Kuala Pilah )



No comments:

Post a Comment