Tuesday, January 11, 2011

GARIS-GARIS BIMBINGAN KE ARAH HIDUP BAHAGIA - Bahagian 4

Mencari Kejernihan Jiwa

Oleh : Yusoff Zaky Yacob


Bab 17 : Terima Diri Sendiri

Banyak di antara kekeruhan dan kesulitan jiwa berpunca dari keengganan seseorang, baik secara sedar atau tidak, untuk menerima diri sendiri dengan segala kekurangan dan kerendahannya.

Orang yang dapat menerima dirinya dengan baik akan menikmati rasa ketenangan dan kejernihan. Ahli jiwa William James menyatakan, hari paling berbahagia dalam umur hidupnya ialah hari ia dapat menrentikan usaha-usaha bagi mempercantikkan dirinya.

Sesungguhnya tiada seorang pun manusia yang mutlak sifatnya. Sia-sia saja jika kita enggan menerima diri kerana kecacatan yang ada, sedangkan ada lagi kelebihan yang dijadikan tuhan. Kita harus tabah menerima kenyataan tentang kekurangan diri biar pun getir rasanya.

Amatlah sia-sia kalau kita hanya keluhkan nasib yang miskin, jahil,tiada kepandaian dan kelebihan seperti orang lain sedangkan kita enggan berusaha dan berjuang untuk menghapuskan kemuraman nasib itu.


Bab 18 : Tunaikan Kewajiban

Kewajiban suatu amanah. Suatu pertaruhan suci yang harus dipikul dengan penuh kejujuran dan kepatuhan biar sekecil manapun kewajipan itu.

Tiap orang berkewajipan. Semakin jujur kita memikul tanggongjawab semakin damai dan bangga jiwa kita demikian sebalikknya. Lantaran itu orang yang patuh menjalankan tanggongjawab berperasaan puas tanpa kekhuatiran.

Pembayaran kewajiban yang jujur dan patuh juga memperkembangkan dan mempertinggikan peribadi seseorang.

Penunaian tanggongjawab juga satu tanda kematangan jiwa kerana penunaian ini memerlukan kejujuran,kesanggupan dan kemahuan yang kuat iaitu ciri-ciri yang tidak terdapat pada orang yang masih kementahan.




Bab 19 : Jauhi Dosa

Segala perbuatan yang berdosa dan bersalah akan meninggalkan kesan yang buruk dan mengeruhkan kejernihan jiwa seseorang. Mereka akan sentiasa khuatir sentiasa terancam di bawah intipan dan penyiasatan orang. Setiap orang mungkin berikhtiar untuk menyorokkan kejahatannya dari mata orang dan undang-undang. Tapi ia tidak dapat menyembunyikan dari mata kecilnua yang jarang tidor dan lalai. Hati kecil ini akan membuat dia gelisah dan resah di mana sahaja ia berada.

Hukuman dari hati kecil lebih azab dari hukuman undang-undang, kadang-kadang menyiksa seseorang hingga akhir hayat. Bahkan hukuman hati kecil ini membawa bukan sedikit orang salah membunuh diri dan mendorong mereka mengaku salah berterus-terang di hadapan mahkamah dan mentut keadilan dari pengadil.

Memang sukar sekali bagi orang berdosa untuk melepaskan diri daripada hukuman pengadilan biar ke mana serta bagaimana saja mereka menyembunyikan diri kerana mahkamah hati kecilnya akan menurut jejaknya kemana saja dia melangkah dan akan menjatuhkan kutukan-kutukan yang pedih dan hukuman-hukuman yang mentiksakan jiwanya.


 Bab 20 : Berbakti Kepada Orang Lain

Suasana hidup seorang sering keruh bila dia menitikberatkan kepentingan dirinya sahaja, bila kalimah ” Aku ” dan ” Aku ” menguasai segala usaha dan rancangan.

Kelobaan dan keakuan inilah yang membuat setiap orang gelisah, khuatir dan semburu satu sama lain, curiga kepada setiap perubahan dan penghabisannya curiga kepada Tuhan. Peloba dan pementing diri sendiri tidak senng kalau sesuatu yang beruntung itu disyrikati oleh orang lain. Bahkan dia mahukan semua untuk dirinya sahaja.

Lihatlah betapa curiga dan khuatirnya seekor ayam yang cuba melarikan sepotong makanan dari disyarikati oleh kawan-kawannya. Terhuyung-hayang lari tak keruan. Makanan dipagut cepat0cepat, sedangkan matanya mebuang seribu jeling kiri dan kanan dan kepala berputar-putar mengawasi kawan-kawan yang datang.

Kalau kepentingan diri dan keluarga sahaja menjadi sasaran perjuangan hidup, maka kepentingan itu tidak akan terkejar. Dia tiada akan habis-habis, satu kepentingan sudah tercapai, nafasnya menuntut satu lagi kepentingan yang baru. Kita tidak akan kenyang selagi mulut kita tidak makan tanah kubur dan nafsu kelobaan tidak akan puas biarpun disuap dengan sebuah dunia dengan segala isinya yang hidup dan mati.

Nafsu kepentingan diri inilah yang mendorong orang berkelahi, membunuh, menipu, menceroboh, menindas dan seumpamanya. Di dalam masyarakat hidup, setiap orang harus bersikap pandai memberi di samping pandai mengambil. Seluruh perhubungan kita akan pincang bila kita hanya tamakkan budi dan bakti orang sedangkan kita tak tahu memberinya.

Gotong royong, kasih mengasihi, lindung-lindungi dan saling berkorban jiwa keutuhan dan perkembangan masyarakat manusia dan menjadi inti sari kemanusiaan. Dari sudut inilah kecil besar kemanusiaan diukur. Berbakti kepada orang lain memberikan kepuasan dan keriangan pada jiwa, merasa ada peranan dalam hidup orang lain. Mereka seperti dian membakar diri sendiri.

Kita tidak sekali-kali dituntut untuk berkorban dengan seluruh kebjikan yang ada pada kita untuk kepentingan orang lain kerana tidak semua orang berjiwa besar tapi biarlah ada dalam kegiatan hidup kita itu rancangan berbakti untuk orang lain yang lebih muram nasibnya dari kita samada untuk kebaktian berupa sumbangan wang, tenaga atau penyebaran ilu pengetahuan. Dengan kata lain biarlah ada dalam kegiatan hidup kita rancangan menanam sepohon bunga indah di taman masyarakat sebagai bekas tangan kita hidup di dunia ini.



Bab 21 : Beriman

Pada pengakhiran kembara kita mencari penawar jiwa dan iksir kejernihan dan kedamaian hidup sampailah kita kepada dukun segala dukun iaitu keimanan kepada Tuhan yang Maha Pengasih, Penyayang dan Berkuasa. Keimanan ini mata air kedamaian dan kejernihan jiwa.

” Tidakkah dengan menyebut Allah akan tenang jernih segala hati ”. ( Al-Quran )

Ahli falsafah dan pujangga Rusia, Tolstoy pernah berkata, ” Hanya dengan keimanan sahaja hidup ini bernilai, saya merasa baru terjumlah di antara orang-orang yang hidup iaitu selepas saya sedar bahawa hidup ini memang mengandungi erti dan keimananlah yang memberi erti kepada hidup ini ”.

Orang yang percaya bahawa segala krisis itu dibelakangnya ada Tuhan Yang Maha Adil, Penyayang, Maha Kuasa dan Maha Pengampun tidak akan merasa keseorangan dan  tidak hanyut dalam arus putus asa yang pedih, bila menginsafi keagungan dan keluasan rahmat Tuhan.

Ketika itu kecillah pada perasaannya segala bencana dan mala petaka yang menimpa dan mengancam dirinya dan tercetuslah kejernihan jiwa dan kelegaan akal untuk bertindak dengan bijaksana.

Kepercayaan atau keimanan saja tidak cukup, tidak akan berpengaruh jika tak ditemani oleh kemesaraan dan keasyikan membuat perhubungan secara langsung dengan Tuhan menerusi saluran ibadat yang khusyuk, sedang ibadat pula akan kurang ertinya jika tak disertai oleh pengertian dan keinsafan yang mendalam.

Keimanan akan membimbing kita menyintai tiap yang indah dan luhur, memusuhi tiap yang buruk dan keji. Oleh itu setiap orang yang beriman berpandangan hidup yang jernih, sikap yang tenang, niat bersih, cita-cita luhur dan rela berkurban untuk kedamaian masyarakat dan keredaan Tuhan.

Alangkah bahagianya manusia yang hidup dengan bimbingan iman sejati.

Wahai jiwa yang tenang bening
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh kerelaan dan kepuasan
Masukilah kedalam hamba-hamba pilihanKu
Masukilah kedalam surgaKu.
                                                            ( Al-Quran )


Asrama SMB
250388

No comments:

Post a Comment