Friday, January 14, 2011

Khusyuk dan Roh Sembahyang

Sebahagian besar huraian dalam buku ini adalah untuk mendapatkan kesempurnaan sembahyang dari segi syariat atau zahirnya sahaja. Namun apa yang lebih utama kepada sembahyang itu adalah intipatinya atau rohnya, iaitulah khusyuk dalam sembahyang

Roh sembahyang adalah semua yang dikerjakan dari awal berserta segala niat dan perasaan yang hadir adalah semata-mata kerana Tuhan, untuk Tuhan dan demi Tuhan. Tidak ada sedikitpun kepentingan diri sendiri dan kepentingan keduniaan.

Khusyuk pula adalah perasaan, ingatan dan tumpuan hanya semata-mata untuk Tuhan disulami rasa hina, lemah, malu takut, cinta dan memuja Tuhan sejak sebelum sembahyang hingga sesudahnya. Tidak sedikitpun merasa lega dan tenang kerana sudah sembahyang, sebaliknya merasa bimbang dan malu kerana masih tidak beradab dengan Tuhan, takut tuhan tidak menerima sembahyang yang dipersembahkan, malu kerana sembahyang terlalu kerdil dan amat sedikit berbanding nikmat dan pemberiaan Tuhan yang maha banyak sejak kita lahir ke dunia.

Oleh kerana sembahyang fardhu lima waktu adalah ibu segala ibadah, tiang agama, pembangun insan dan umat, maka sembahyang hendaklah istiqamah mengerjakannya. Dijaga sungguh-sungguh roh sembahyang itu bahkan kalau boleh sekalipun perkara yang sekecil-kecilnya hendaklah dipelihara seperti mempertahankan sunatnya, jauhi yang makruh di dalam sembahyang, sembahyang di awal waktu, pertahankan sembahyang jemaah, luruskan saf, rapat-rapat ketika sembahyang jemaah.

Kemudian jauhi bersembahyang di tempat di mana bangunan yang dibina daripada duit haram atau syubhat, kosongkan tempat sembahyang dari perkara yang boleh menganggu fikiran kita ketika mengerjakan ibadah sembahyang seperti jangan ada di dinding masjid atau surau gambar-gambar yang boleh melalaikan kita. Tempat sujud biarlah kain putih, jauhi daripada tempat sujud yang ada gambar pemandangan yang boleh mengalih fikiran dan perasaan kita agar kita benar-benar dapat membuat penumpuan kepada kerja sembahyang.

Begitulah juga jauhi daripada bersembahyang di tempat yang sibuk, tempat lalu-lalang orang, tempat hangar-bingar, hiruk-pikuk yang boleh menganggu kekhusyukkan kita di dalam sembahyang, yang boleh menganggu kita untuk menghayati sembahyang sepenuhnya agar sembahyang kita itu benar-benar membina fikiran kita dan membangunkan jiwa kita. Agar sembahyang betul-betul mendidik kita hingga boleh mengubah sikap dan perihal hidup kita daripada jahat kepada baik.

Perasaan Yang Patut Timbul Ketika Sembahyang

Rasa takut, rasa bimbang, rasa malu, rasa gementar, rasa hina diri, rasa lemah dan dhaif, meminta, mengharap, mensucikan dan mentaqdiskan Tuhan, membesarkanNya, merindui, bermanja-manja, merasa dilihatNya, merasa didengarNya, merasa dikuasaiNya, rasa diketahuiNya, memenuhi lubuk hati kita. Dengan cara itu subur jiwa tauhid kita  dan sekaligus dapat menghidupkan jiwa kehambaan di dalam jiwa kita dan dengan itu ruang-ruang yang menganggu dan melalaikan kita tertutup habis. Maka oleh yang demikian sembahyang itu semakin lama makin memberi kesan kepada fikiran, jiwa dan sikap serta perilaku kita.

Kenapa Selama ini Ibadah Tidak Mendidik Kita

  1. Ibadah tanpa penghayatan tidak memberi kesan
Kita diberi ilmu tentang ibadah, sama ada ibadah asas mahupun ibadat sunat, hanya setakat yang bersangkut paut dengan hukum-hakam iaitu tentang syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Oleh itu dalam beribadah, itulah yang kita jaga iaitu syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Tidak lebih dari itu. Dalam sembahyang, itulah juga empat perkara yang ditekankan. Begitu juga dalam ibadah puasa dan haji. Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman dan penghayatan pun tidak diajarkan. Kalau begitu keadaannya bagaimanalah ibadah itu dapat dihayati.

Ibadah tanpa penghayatan dan penjiwaan ini tidak memberi apa-apa kekuatan. Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai peribadi agung. Dalam perintah Tuhan supaya kita beribadah itu terkandung ubat untuk bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung, yang dapat menguasai dunia. Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir, tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersembahyang atau tidak, kita ibadah atau tidak ibadah, sama saja kesannya kepada kita.

  1. Tidak ada ilmu tentang Tuhan
Sembahyang itu, di antara tujuannya ialah untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Bukan untuk mengajar manusia tentang Tuhan tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang. Cuma, manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa. Walaupun  manusia ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang tetapi mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan adalah istilah ins dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa..

Sembahyang akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Maka dalam sembahyang, dia hanya diingat-ingatkan dan disedarkan lagi. Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang Tuhan untuk menampung sifat pelupanya itu supaya dia jangan terus lupa. Itulah rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Sembahyng hanya boleh menyedarkan orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Tetapi bagi kebanyakan umat Islam, di luar sembahyang dan dalam kehidupan seharian, mereka memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan. Kalau di luar sembahyang sudah jahil, tidak ada ilmu dan tidak faham, bagaimana untuk mengingat Tuhan dalam sembahyang. Bagaimana dapat mengingat perkara yang kita tidak pernah tahu  dan tidak pernah faham. Ini perkara mustahil. Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan sangat susah untuk disedarkan. Orang macam ini, sembahyang tidak ada makna baginya. Terpekik terlolong dalam sembahyang pun tidak jadi apa-apa. Dia tidak ubah seperti orang gila.

Inilah juga sebab kenapa ibadah terutama sembahyang itu tidak mendidik kita. Umat Islam rata-rata memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan. Sembahyang tidak membawa mereka kepada Tuhan. Jauh sekali mengingatkan mereka tentang Tuhan. Mereka tidak kenal Tuhan yang mereka sembah.


Sumber :
Mohamed Arshad Hj. Ahmad. Mari kita belajar sembahyang. 2008. Selangor : Asraff Trading Sdn. Bhd.


No comments:

Post a Comment