Tuesday, January 11, 2011

GARIS-GARIS BIMBINGAN KE ARAH HIDUP BAHAGIA - Bahagian 2

Mencari Kejernihan Jiwa

Oleh : Yusoff Zaky Yacob

Bab 6 : Kesanggupan melahirkan fikiran

Dalam kegiatan pergaulan, beberapa usaha berkesan bagi menyuburkan kepercayaan diri sendiri dilakukan seperti melahirkan fikiran. Dalam hal ini sertailah dengan penuh minat. Nyatakan pendapat dengan terang. Tak perlu mengelamun mencari bahasa berbunga-bunga.

Jika tiada pendapat, kemukakanlah pertanyaan. Kita tidak harus duduk dengan lidah terkunci, kepala mengelamun entah ke mana.

Dari pergeseran fikiran dan perlagaan perdapat inilah lahir rasa keyakinan pada diri sendiri.

Dalam usaha menyertai majlis perbahasan elakkan sama sekali sikap berleter atau bercakap secara keromo, orang sesat tanpa tentu jalanannya. Setiap fikiran dan pendapat difikirkan dengan teliti dan dibentangkan di hadapan orang lain dengan penuh keyakian dan kepercayaan. Sesuatu yang tidak difikirkan dan disusun terlebih dahulu membuatkan seseorang yang sedang bercakap itu lemas, gagap atau hanyut.

Untuk menjadi johan dalam lapangan ini kita harus memperkayakan khazanah kata-kata bahasa, luaskan gaya pembentangan fikiran, dalamkan ilmu pengetahuan, melalui usaha pembacaan yang luas dan tersusun.

Dalam kehidupan seharian kita harus bersemangat dengan pendapat dan fikiran baru yang terlintas. Uji dengan berpandukan pengalaman lepas. Bentangkan pada orang lain untuk bertukar fikiran. Jangan biarkan fikiran baru berlalu begitu saja.

Perasaan gentar tentu akan dialami jika pertama kali berucap dikhalayak ramai. Tapi jika pada setiap kali pula ini mungkin akibat :

  1. Terlalu banyak mengenangkan dirinya di saat itu sehingga tidak dapat membulatkan fikiran kepada ucapan atau lakunannya.
  2. Tiada keyakinan diri yang cukup tinggi terhadap kebolehan sendiri sehingga sangsi atas segala pendapat, buah fikiran atau gerak geri lakunan yang hendak dikemukakan dikhalayak ramai.
  3. Tiada rasa ketulusan dan keikhlasan dalam pengucapan pidato, dia lebih banyak menumpukan pada tepukan dan sorakan, mengharap sanjungan dan pujian.

Tegasnya untuk menjadi ahli pidato yang baik, kita harus jujur kepada maudhu’ pidato yang diserahkan kepada kita. Lupakan diri dan mata orang ramai dan lupakan pengharapan untuk memenangi tepuk dan sanjungan mereka.


Bab 7 : Jangan digentar oleh pangkat dan darjat

Dalam dunia pergaulan kita sering bertemu dengan orang-orang besar dan ternama. Banyak antara kita terasa gentar dan serba salah ketika berhadapan dengan orang-orang ini. Memang pangkat kebesaran ada pengaruh tapi tidak bijak membiarkan diri kita ranap di hadapannya seperti hancurnya air dik mentari.

Perasaan gentar bila pertama kali memang biasa. Tetapi jika di setiap kali, itu petanda tak baik Apa tah lagi jika sampai melarikan diri dari pertemuan.

Antara sebabnya menurut ahli jiwa ialah akibat terlalu memusatkan kenangan dan perhatiannya kepada kekurangan dan kerendahan diri di saat pertemuan itu. Akibatnya ia serba salah.

Untuk ini ia sepatutnya mengingati setiap orang mempunyai kelebihan, tidak terbatas pada pangkat kebesaran semata-mata.

Kita seharusnya bangga dapat berhadapan dan bercakap-cakap dengan mereka bukannya terasa hina dina. Seharusnya kita berdepan seperti anak berhadapan  dengan bapa atau seperti adik bertemu abang tua.

Dalam pergaulan kita sering bertemu dengan orang-orang yang sombong bongkak, suka berlagak-lagak dirinya berlebihan. Jangan gentar orang seperti ini. Mereka sebenarnya orang-orang yang lemah dan kurang. Kesombongan dan kelagakkan mereka hanya untuk menutup kelemahan mereka.

Camlah bahawa tiap orang yang terlampau memasang dirinya mempunyai berbagai kelemahan.. Mereka laparkan penghargaan, perhatian, pengakuan dan penghormatan sekelilingnya. Orang seperti ini sering kali mudah rebah bila dipuji dan mudah meletus marah dengan serta merta bila dikritik atau disinggung.


Bab 8 : Kegembiraan terhadap kerja

Orang yang gembira dengan pekerjaan-pekerjaannya ialah orang yang mencurah sepenuh daya cipta untuk kemajuan dan kebagusan pekerjaannya dan merasa bangga pula dengannya.

Kegembiraan pada pekerjaan salah satu sharat mencapai perasaan yang jernih dan cerah terhadap hidup. Apabila kegembiraan hilang, bererti seseorang itu hilang satu kekuatan. Tangan yang berkerja dengan hati yang mengeluh dan mulut yang bersungut akan mengeluarkan hasil ciptaan yang beku dan tidak menarik dan akan berakhir dengan kegagalan.

Untuk mendapatkan kegembiraan dalam bekerja sebab-sebab yang bertanggongjawab mestilah dihapuskan. Antaranya tiada pensesuaian antara kerja dan kemahuan jiwa. Ini akibat tidak bijak dan telitu dalam memilih kerja.

Tetapi kita mesti berani menghadapi kenyataan, kalau tiada lagi jalan untuk pertukaran kerja tak guna ditangisi lagi. Motif-motif dan dorongan baru di sebalik kerja yang tak digemari haruslah kita berlatih mengasihi dan menggemarinya.

Kaedah lain, memaksa diri sendiri bekerja dalam meriah gembira. Menurut ahli jiwa perasaan tak diingini boleh ditentang dengan perasaan lawannya. Umpamanya jika kita merasa bosan, jemu dan rungsing hendaklah kita berlagak seolah-olah kita gembira, meriah dan bahagia. Dengan latihan yang sabar, lama-lama perasaan yang sihat ini akan hidup dengan sendiri tanpa paksaan.

Seterusnya untuk memelihara suasana kesucian dan kejernihan bekerja kita harus menghormati tempat kerja. Jangan lakukan di tempat kerja sebarang kegiatan yang tiada sangkut paut dengan kerja. Tempat kerja jangan dijadikan restoran, tempat menikmati makanan dan minuman dan tempat kutub khanah. Butir-butir kerja harus di atur dengan rapi. Jangan berkebiasaan melakukan kerja dengan sembarangan saja.

Kalau kita bakhil memberi tenaga yang banyak kepada perjuangan hidup maka hidup akan turut bakhil memberi kejayaan yang banyak kepada kita. Kerja-kerja yang nampak biasa dan tidak menarik akan bertukar menjadi kerja yang luar biasa dan mengemparkan bila dilakukan dengan penuh semangat inisiatif dan minat pembaharuan.

Dalam masa membanting tulang urat dan menumpu daya dan tenaga untuk kebaikan kerja, jangan pula kita merasa bahawa kita terlampau banyak mencurah tenaga kerana pencurahan tenaga itu amat perlu dalam pelaksanaan tiap-tiap pekerjaan terutama sekali dalam peringkat permulaan. Sejarah hidup orang besar-besar yang berjaya menunjukkan banyak tenaga dan bilangan jam yang banyak di setiap hari.

Alangkah bahagianya orang yang hidup mempunyai pekerjaan dan menyintai pekerjaaannya. Sebaliknya alangkah sengsaranya orang yang ada kerja tetapi tidak menyintainya dan lebih sengsara ialah orang yang tidak ada kerja untuk dicintai.


Bab 9. Tujuan hidup yang terang

Hidup kita akan diselubungi keraguan dan kesangsian bila tiada tujuan-tujuan hidup yang terang dan tegas. Fikiran kabur dan muram terhadap masa depan. Hati sering digoda perasaan kecewa yang sulit, tidak puas pada kedudukan sekarang, cepat cuak dan bosan hingga kita berubah-ubah sikap dan haluan.

Hidup adalah sebuah larutan yang bergelora. Setiap orang tidak boleh menghanyutkan dirinya tanpa haluan bakal dituju.

Sebab itu kita haruslah menentukan cita-cita masing-masing. Dan harus juga menginsafi bahawa setiap orang tidak mungkin melaksanakan cita-citanya mahu membolos semua nikmat dan semua keagungan yang ada dalam  hidup kerana nikmat dan semua keagungan yang ada dalam hidup amat luas, sedangkan tenaga yang dikurniakan tuhan kepada setiap orang amat terbatas.

Anda sepatutnya mempunyai jawapan yang tegas pada :

-         apakah tujuan hidup kita?
-         apakah sesuatu yang kita hendak laksanakan?
-         kita mahu jadi siapa?

Sesiapa yang memberikan jawapan yang tegas, ringkas dan cepat, ianya satu petanda ia akan berjaya dalam hidupnya. Setiap orang yang berjaya ialah orang yang mengetahui dan mengerti dengan sesungguhnya apa yang dikehendaki. Sebaliknya jawapan yang meleret-leret dan tidak tegas pula petanda calon yang gagal kerana kehendaknya samar-samar. Orang ini sebetulnya tidak tahu apa yang sedang dibuat.

Kehendak yang samar-samar mustahil dapat dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan pembulatan tenaga. Sebuah meriam penangkis tidak mungkin menembak semua kapal terbang penyerang dengan sebutir peluru. Bahkan dia harus menembak kapal yang ada dalam ruang targetnya sahaja.

Dalam penentuan tujuan hidup bukan bererti kita harus menetapkan suatu kehendak yang agung seperti untuk menjadi perdana menteri, cukup sekadar aku mahu jadi seorang ahli pendidik yang cekap atau pertama yang berjaya dan seumpamanya.

Selepas penentuan cita-cita datang pula kewajiban kedua iaitu berusaha mempelajari segala langkah dan cara orang berjaya. Cita-cita itu pula harus dibajai dengan pembacaan yang meluas dalam segala hal berkenaan dengan politik dalam dan luar negeri, meneruskan usaha sendiri tanpa kenal kekalahan dan kebuntuan.

Dalam diri seseorang tersimpan suatu tenaga yang besar, Tenaga ini akan mengalir dengan gagahnya bila suis ditekan.

Penentuan cita-cita hidup tanpa azam yang kukuh, pengajian yang luas dan perjuangan yang sabar adalah satu angan-angan yang kosong dan satu lamunan gila yang telah menyebabkan Mat Jenin jatuh terbunuh dari pokok kelapa.







Bab 10 : Berilah hak badan dan jiwa

Sukar sekali kita hidup bahagia jika badan merana dan tidak sihat. Begitu juga bila perasaan kita muram dan buruk kerana jiwa dan badan terdapat pertalian yang kukuh, saling mengimbangi antara satu sama lain.

Akal yang siuman berada dalam badan yang siuman. Dengan itu badan dan jiwa mempunyai hak-hak tertentu dan ianya mestilah ditunaikan. Untuk memelihara kesihatan dan kesegaran jiwa dan badan, kesihatan mestilah dijaga. Dalam acara hidup, kita harus ada kesempatan bersenam, berihat dan seumpamanya.

Kita tidak mungkin hidup berkerja terus menerus seperti mesin tak bernyawa kerana kita makhluk berdaging, berurat yang bertenaga dan berkekuatan yang terbatas. Memang benar kita dituntut bekerja keras tapi kita tak boleh berkerja sampai letih lesu. Hasilnya  tidaklah memuaskan. Kajian ahli jiwa menunjukkan sebilangan besar kejadian penyakit jiwa akibat kepenatan dan kelesuan badan dan jiwa.

Tuntutan badan ialah penjagaan kesihatan, kebersihan tempat tinggal, pakaian dan makanan berzat, bervitamin dan sebagainya. Jiwa pula memerlukan ilmu pengetahuan, pembacaan yang bernilai, hiburan yang sihat, yang penting lagi iman, ibadat dan idealogi hidup yang mulia dan luhur.

Bila jiwa dibiarkan kosong dari ilmu yang berharga dan membina ia akan dipenuhi dengan khurafaat, tahyul dan anggapan  yang salah, fikiran yang cetek dan tidak logik. Jiwa tanpa iman dan idealogi yang luhur akan membimbingkan seseorang kepada keliaran, kejahatan dan akan menghumbankanya kepada kegelisahan dan kekosongan jiwa yang mendalam.

Dalam memelihara kesihatan badan dan jiwa jangan dibiarkan hanyut oleh perasaan was-was. Jika ragu-ragu tentang kesentosaan kesihatan, jumpalah doktor tanpa berlengah-lengah. Hasil pemeriksaan terima dengan baik. Kalau sakit terus berubat. Kalau tiada penyakit, bunuh terus suara-suara bisikan karut itu.

Tidak sedikit orang dikongkong oleh sangkaan tentang penyakit yang dihadapi. Mereka syak pada pemeriksaan doktor lalu mereka berulang alik berpindah dari satu doktor ke satu doktor yang lain atau dari satu bomoh ke satu bomoh yang lain. Sikap ini bukan sahaja membohongi diri sendiri juga secara perlahan-lahan menjemput penyakit yang ditakuti itu.

Dalam rekod-rekod perubatan tidak sedikit orang-orang yang dibunuh oleh bisikan was-was sakit yang karut dan tidak sedikit pula orang yang dibelah perutnya kerana sakit perut akibat bisikan was-wasnya yang dusta.

Untuk kesihatan dan kesentosaan jiwa kita pasti dengan seboleh-bolehnya berlagak seperti orang sihat dan penuhkan fikiran kita dengan bisikan sihat dan afiat, bisikan gagah dan kuat.

Lakukan sewaktu hendak tidur, saat-saat bersunyi diri. Bisikan itu seperti pengaruh ubat kepada jasmani kita. Begitu juga dengan doa ketika sembahyang. Bukan sahaja ianya suatu permohonan kepada Allah juga pemberangsang kepada diri sendiri supaya sentiasa patuh kepada cita-cita yang yang kita doakan itu.

No comments:

Post a Comment