Aku sepatutnya malu menulis surat cinta padaMu
kerana ia tidak mungkin jadi sempurna
dan setelah terlalu banyak mengingkariMu
Kau mungkin tidak bersedia menerima
Mengapa aku harus tiba padaMu
bagai seekor kupu-kupu yang meninggalkan rimbanya
keragaman rahsia yang mentaati kata-kata
”tidakKu beri ilmu
melainkan sedikit sahaja”
aku jadi marah pada ketetapan itu
dan meluru menuju lampu
tapi hanya terhumban pada kaca
lalu jatuh ke kakiMu
apakah Kau sedia memaafkan
carik-carik dikepakku?
Atau apakah Kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpegun
pada kesempurnaan jari-jariMu?
Mengapa aku harus tiba padaMu
bagai sungai yang menemui muaranya
dalam murung rasa tua
setelah terlalu banyak meronta
mahu melepaskan diri dari sekatan tebingnya
tapi hanya menambahkan beban
sehingga tiba ada keluasan lautMu
apakah Kau sedia memaafkan
kekeruhan di tubuhku?
Atau apakah Engkai sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpesona
pada kejernihan mataMu?
Kau terlalu banyak menyimpan keindahan
mengapakah aku tidak melihatnya dahulu
atau apakah Kau sengaja menyembunyikan
supaya aku jadi lebih kasih padaMu
Zurinah Hassan; Mingguan Malaysia
1976
Nota :
Seringnya kita berfikir, memberi maaf adalah hadiah bagi seseorang yang kita maafkan, sebaliknya memaafkan adalah hadiah buat diri kita sendiri. Hadiah untuk sebuah kebebasan dari rasa tertekan, dendam, amarah dan kedegilan hati!.
Ukhwah itu bukan terletak pada pertemuan atau manisnya ucapan dibibir tapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya didalam doanya!
Terima kasih padaNya kerana diberi ruang dan peluang menemui pelbagai wajah insan.. hanya EMPAT huruf.. MAAF...... muga dalam rahmat, taufik hidayah dan keberkatanNya. sepanjang usia. Amin.
No comments:
Post a Comment