Tuesday, January 25, 2011

Ijazah Pengorbanan

( Buat mereka yang gugur kerana Negara )

Anak itu lahir
di tengah perih-jerih kemiskinan nan mencengkam
yang masih juga begitu
saat usia menginjak dewasa.

Dia tidak punya kepintaran
buat menghuni menara gading
namun dikurnia jiwa satria
yang berpadu
antara derap sepatu bertapak besi
dan gegak laungan Gempur Wira
katanya
hanya itu termampu disumbang
insan sepertinya

Hari ini si anak kembali
ke desa tempatnya mula menjengah dunia
diiring pilu handai taulan
benarlah bicaranya
lewat warkah buatku
”Cikgu,
barangkali hari konvo saya
hari di mana Jalur Gemilang berlipat segi tiga
diserah ke tangan ayah dan bonda”

Anak muridku
damailah engkau di sana
cikgu berbangga
kerana pernah mendidikmu
walau engkau
bukan seorang graduan
namun lulus cemerlang
dalam peperiksaan taat setia
pada agama nusa juga bangsa.

(Amrul Bahar, Ipoh Perak)



No comments:

Post a Comment