Saturday, October 26, 2013

Rawi doa berzanji

Ya Allah, yang sentiasa terbuka kedua-dua tangannya untuk memberi
Wahai (Tuhan), yang memadai sekadar menadah tangan untuk meminta kepadaNya
Wahai (Tuhan) Yang Maha Suci pada Zat dan sifatNya Yang Maha Esa
Yang tiada bagiNya perbandingan dan persamaan

Wahai (Tuhan) Yang Maha Esa dengan sifat Baqa’ dan Qidam serta bersifat Azali
Wahai(Tuhan) yang tiada mengharap selain Dia, dan tiada tempat bergantung kepada selainNya.
Wahai (Tuhan) yang segala makhluk bergantung kepada kudratNya yang sentiasa berdiri kukuh.
Dan berkenaan memberi petunjuk kepada sesiapa yang memohon pimpinan dan petunjuk daripadaNya dengan kurniaNya.

Kami bermohon kepadaMu, ya Allah dengan (berkat) NurMu Yang Maha Suci.
Nur yang menghapuskan kegelapan hati kerana syak dan ragu.
Dan kami bermohon kepadaMu berkat kemuliaan nabiMu Muhammad saw.
Nabi yang akhir sekali Engkau bangkitkan, dan pada hakikatnya Dialah yang paling dahulu.

Dan dengan (berkat) ahli keluarganya yang bagaikan bintang di angkasa.
Dan selaku bahtera kesejahteraan dan kebebasan.
Dan dengan (berkat) para sahabatnya yang memperolehi hidayah dan kurniaMu
Yakni para sahabat yang rela mengorbankan jiwa mereka demi menuntut keredaan Allah.
 
Dan dengan (berkat) pembawa syariatnya yang memiliki kelebihan dan keistimewaan.
Yang telah diberi khabar gembira dengan nikmat dan kurnia daripada Allah.
Kurnialah kami ini pada segala perkataan dan perbuatan kami dengan hati yang tulus ikhlas.
Dan berilah kejayaan atas segala yang hadir dan tidak hadir di tempat ini pada setiap apa yang mereka inginkan dan mereka cita-citakan.
Dan bebaskanlah kami daripada godaan nafsu dan segala jenis penyakit hati.
Maka nyatalah harapan dengan apa yang kami sangkakan.
Maka nyatalah harapan dengan apa yang kami sangkakan.
Maka nyatalah harapan dengan apa yang kami sangkakan.

Jauhkanlah kami daripada segala kebekuan jiwa dan segala mara bahaya.
Janganlah Engkau biarkan kami menjadi orang yang dipengaruhi oleh hawanya.
Dan tutuplah setiap kami ini daripada aibnya dan kelemahannya, kesempitan dadanya dan ketidakmampuannya.
Dan mudahkanlah bagi kami melakukan amal kebajikan, walaupun berat melakukannya.
Kurniakanlah kepada kami keyakinan yang benar, bagaikan buah-buahan ranum yang dapat kupetik kerana rendahnya.
Dan hapuskanlah daripada kami segala dosa dan kecacatan.
Dan kurniakanlah kepada jemaah ini kemurahan daripada khazanahMu Yang Maha Agung.
Berupa rahmat dan keampunan, tiada lain yang Maha Kaya secara abadi selain Engkau.

Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah meletakkan setiap yang bermohon kepadaMu pada suatu tempat yang istimewa.
Dan bagi setiap orang yang mengharap untuk mencapai cita-citanya, sentiasa menunggu jawapan daripadaMU.
Sungguh benar ya Allah, kami bermohon kepadaMu dengan penuh harapan akan limpah kurniaanMu yang amat dekat.
Pastikanlah ya Allah, bahawa kami akan Berjaya memperolehinya daripadaMu.

Ya Allah, jauhkanlah kami daripada peperangan, dan perbaikilah pemerintahan kami berserta rakyatnya.
Dan besarkanlah ganjaran bagi orang yang menganjurkan kebaikan ini pada hari yang mulia ini.
Tuhanku, jadikalah negeri ini dan segenap negeri Islam, menjadi negeri yang aman dan makmur.
Curahkanlah hujan rahmat yang merata kepada kami sehingga kami memperoleh nikmat daripadanya.

Dan ampunkanlah kiranya ya Allah, akan dosa orang yang menggoreskan penanya bagi menyusun kisah Maulid ini.
Iaitu Sayidina Jaafar, orang yang dinisbahkan kepada berzanji dan dikenali dengan nama itu.
Pastikanlah jua kiranya ya Allah, baginya balasan berkat kemurahanMu, dan berilah dia kejayaan di dalam harapan dan cita-citanya.
Dan tempatkanlah dia berserta orang yang hampir denganMu dan berilah dia ketenangan.

Tutuplah segala kecacatannya, kelemahannya, kesempitan dadanya dan kecuaiannya.
Demikanlah juga atas orang yang menuliskannya, membacanya dan orang-orang yang tekun mendengarnya.
Tuhanku, kurniakanlah keberkatan dan kesejahteraan ke atas orang yang mula-mula menerima kebesaran daripada segala hakikat yang ada ( Nabi Muhammad saw )
Dan atas keluarganya, para sahabatnya dan orang-orang yang memberi pertolongan kepadanya.
Barangsiapa yang telah menghiasi telinga dengan permata bertatahkan intan.
Dan hiasilah dada orang-orang yang berhimpun di sini dengan rantai bertatahkan permata.
Limpahkanlah berkat yang lebih baik dan sempurnakanlah kesejahteraan ke atas penghulu dan pemimpin kami, nabi Muhammad saw, penyudah segala nabi dan rasul.
Dan ke atas seluruh ahli keluarga dan seluruh sahabat baginda. Maha Suci Engkau Tuhan Yang Maha Tinggi daripada segala yang disifatkan. Dan kesejahteraan untuk para rasul. Dan segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Hj Muhidir Hj Tamjis
Senjata Mukmin, 2012

Friday, October 25, 2013

Rawatan ke 18

Wahai pesakit yang tidak bersyukur dan tenggelam dalam rungutan! Rungutan sepatutnya lahir daripada sesuatu hak manfaat yang hilang daripada kamu. Sedangkan tiada hak kamu yang dipersia-siakan yang menyebabkan kamu patut merungut. Bahkan kamulah yang sepatutnya menunaikan banyak hak, malah belum menunaikan hak bersyukur pada Allah. Kamu belum menunaikan hak Allah ke atas kamu. Lebih dari itu, kamu juga merungut terhadap sesuatu yang batil, seolah-olah kamu benar dalam tindakan itu. Kamu tidak berhak untuk merungut dengan melihat kepada orang yang lebih sihat daripada kamu, tetapi sepatutnya kamu melihat kepada orang yang lebih lemah dan lebih teruk sakit yang dialaminya daripada kamu.

Kamu sebenarnya ditugaskan untuk bersyukur sebanyak-banyaknya. Jika tangan kamu patah, lihatlah kepada tangan yang terpaksa dipotong. Jika kamu hanya memiliki sebelah mata sahaja, lihatlah kepada mereka yang kehilangan kedua-dua belah mata, agar kamu bersyukur kepada Allah swt.

Dari sudut kenikmatan, tiada seorang pun yang berhak untuk melihat kepada orang yang lebih baik kedudukannya agar api rungutan menyala marak di dalam dirinya. Tetapi ketika ditimpa musibah seseorang mesti melihat dari sudut musibah itu kepada orang yang lebih teruk menghadapi musibah dan sakit agar dia bersyukur selepas itu, dalam keadaan berpada dengan apa yang ada pada dirinya. Rahsia ini telah dijelaskan dalam sebahagian risalah yang lain.

Contohnya seperti berikut: Seorang lelaki memimpin tangan seorang miskin menaiki sebuah menara hingga ke puncaknya. Lelaki itu memberikan hadiah kepada si miskin pada setiap tingkat menara. Akhirnya ketika sampai di puncak menara, lelaki itu memberikan hadiah yang paling besar dan berharga kepada si miskin itu. Sepatutnya si miskin itu mengucapkan terima kasih terhadap pelbagai jenis hadiah yang diberikan kepadanya. Tetapi dia lupa terhadap segala hadiah yang diterimanya pada setiap tingkat menara.

Atau dia menganggapnya tidak bernilai lalu dia tidak berterima kasih kerana dia melihat kepada orang yang lebih tinggi darjatnya daripada dirinya. Seterusnya dia berkata dan merungut: Kalaulah menara ini lebih tinggi, nescaya aku boleh mencapai darjat yang lebih tinggi! Kenapa ketinggianmenara ini tidak sama dengan bukit di sana atau menara di sebelah?

Jika lelaki miskin itu merungut sedemikian rupa, maka alangkah besarnya kekufuran nikmat yang telah dilakukannya dan alangkah besarnya sifat melampaui hak yang dibuatnya.

Demikian juga halnya dengan keadaan manusia yang datang ke dunia ini daripada ketiadaan, dengan menjadi manusia Muslim yang banyak memperolehi segala macam jenis nikmat kesihatan dan afiat serta dapat mengecap darjat kenikmatan yang tinggi. Dia tidak menjadi batu, pokok dan binatang.

Meskipun demikian, dia tetap menampilkan rungutannya ketika sakit kerana tidak memperolehi kesihatan dan keafiatan hasil daripada sesetengah penyakit yang dialaminya, atau kerana dia sendiri yang mensia-siakan nikmat lantaran kesalahannya sendiri, atau kesilapannya ketika menggunakan nikmat itu. Atau dia tidak mampu mencapai nikmat tersebut, kemudian dia berkata: Apakah yang telah aku buat, sehingga terjadi kepadaku apa yang berlaku?

Dia berkata demikian dalam keadaan mencela rububiyyah dan uluhiyyah Allah swt. Keadaan ini menggambarkan kesakitan maknawi dan musibah yang lebih besar daripada penyakit dan musibah yang dialaminya. Dia sebenarnya menambahkan sakitnya dengan rungutan itu. Seperti seseorang memasuki pertandingan gusti sedangkan tangannya telah sedia tercedera. Tetapi orang yang berakal akan sentiasa mengingati firman Allah swt: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali….. (Al-Baqarah:156)

Lalu dia menyerahkan segalanya kepada Allah dalam keadaan sabar sehingga penyakit itu berakhir dan menjalankan tugas seterusnya.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Rawatan ke 17


Wahai pesakit yang mengadu kerana tidak dapat menjalankan kerja-kerja kebajikan! Bersyukurlah! Aku memberikan berita gembira kepada kamu bahawa yang boleh membuka pintu kebajikan yang paling tulus ialah penyakit itu sendiri. Di samping penyakit boleh membawa pahala yang besar dan berterusan kepada pesakit dan orang-orang yang menjaganya, ia juga merupakan cara terpenting yang menyebabkan doa dimakbulkan.

Daripada Jabir, sabda rasulullah saw yang bermaksud: Ziarah pesakit yang paling afdhal pahalanya ialah apabila orang yang menziarahi itu segera bangun dari sisi pesakit.

Menjaga orang sakit boleh mendatangkan pahala yang besar kepada orang yang beriman. Begitu juga  dengan melakukan ziarah dan bertanya khabar tentang kesihatan dan keadaan mereka juga merupakan amalan sunnah yang mulia dan boleh menghapuskan dosa dalam waktu yang sama, dengan syarat tidak menyusahkan mereka.

Terdapat banyak hadis yang menyuruh kita meminta orang sakit berdoa kerana doanya adalah mustajab, khususnya apabila pesakit itu terdiri daripada keluarga terdekat kita. Lebih-lebih lagi jika pesakit itu adalah ibu atau bapa, maka jika kita memberikan perkhidmatan kepada mereka ketika mereka sakit, ia merupakan suatu ibadat yang penting dan dalam masa yang sama ia adalah pahala yang besar. Menenangkan hati orang yang sakit dan menggembirakan mereka merupakan sedekah yang penting. Alangkah gembiranya anak-anak yang menjaga ibu dan bapa ketika sakit dengan memasukkan kegembiraan ke dalam hati ibu bapa mereka yang sakit itu, lalu mereka memperolehi doa ibu bapa mereka yang mustajab.

Hakikat yang berhak mendapat penghormatan dan kedudukan yang lebih tinggi di dalam kehidupan bermasyarakat ialah kasih sayang kedua ibu bapa dan anak yang baik membalasnya dengan memberi penghormatan dan kasih sayang selayaknya kepada mereka ketika sakit. Situasi ini merupakan pandangan kesetiaan yang menampilkan kebajikan yang tinggi di sisi anak dan ketinggian sifat kemanusiaan hingga membangkitkan ketakjuban seluruh makhluk. Sehingga para malaikat mengalu-alukannya dengan bertahlil, bertakbir dan meninggikan suara dengan berkata: Masya-Allah……Barakallah…..

Rasulullah saw bersabda : Doa orang sakit adalah mustajab dan dosanya terampun. (Musnad Al-Firdaus, Jam”al-Fawaid, Ibnu Majah)

Sesungguhnya perasaan kasih sayang, belas kasihan dan rahmat yang berlegar di sekitar pesakit dapat meleburkan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit dan menukarnya kepada suatu bentuk kelazatan yang manis dan menggembirakan.

Penerimaan dan mustajabnya doa pesakit merupakan satu perkara yang patut diberikan perhatian. Semenjak empat puluh tahun lalu, aku sering berdoa agar disembuhkan daripada sakit yang dialami di bahagian belakangku. Kemudian barulah aku mengerti bahawa sakit yang dialami dikurniakan kepada seseorang hanyalah agar dia berdoa.

Doa itu sendiri merupakan sejenis ibadat, kerana seseorang pesakit bernaung di bawah lindungan Allah ketika berada dalam keadaan lemah.

Oleh itu, walaupun telah 30 tahun aku berdoa agar sakit di bahagian belakang itu sembuh, tetapi ianya tidak dimakbulkan. Namun itu sedikit pun  tidak memalingkan aku atau menjadikan aku terfikir untuk meninggalkan doa meskipun sehari. Ini adalah kerana sakit merupakan waktu dan ketika untuk berdoa. Sembuh pula bukanlah natijah daripada doa, bahkan ia adalah pemberian Allah swt. Yang Maha Bijaksana lagi Maha Pengasih berdasarkan kelebihan dan kemuliaanNya semata-mata.

Jika doa tidak makbul sebagaimana yang dipohon, tidak boleh mendorong kita untuk berkata bahawa doa itu tidak mustajab. Allah Yang Maha Mencipta lagi Maha Bijaksana itu lebih mengetahui, bahkan kita adalah jahil. Sesungguhnya Allah swt memberikan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat kepada kita. Kadang-kadang Allah menyimpan doa-doa keduaniaan kita itu agar kita mendapat manfaatnya di akhirat nanti.

Demikianlah bagaimana doa dimakbulkan olehNya. Walau bagaimanapun, doa yang terbit daripada keikhlasan dan rahsia penyakit yang datang daripada sifat kelemahan, kehinaan dan harapan, amat hampir untuk dimakbulkan. Sakit merupakan asas dan paksi kepada doa yang ikhlas seperti ini. Oleh itu, orang yang sakit dan mereka yang menjaganya ketika sakit, sepatutnya mengambil faedah dan manfaat daripada doa ini.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Rawatan ke 16

Wahai pesakit yang mengadu kegelisahan! Penyakit yang dialami sebenarnya mengajar orang yang mengalaminya tentang ikatan kehidupan kemasyarakatan dan kemanusiaan yang paling penting dan indah, iaitu saling hormat menghormati dan perasaan berkasih sayang.

Ikatan ini boleh menyelamatkan manusia daripada bersifat tidak memerlukan kepada orang lain. Kerana sifat tidak memerlukan kepada orang lain akan menyebabkan seseorang hidup dalam kelaphaan, terasing dan liar serta menghilangkan sifat belas kasihan daripada dirinya, sebagaimana dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran: Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya…. (Al-‘Alaq:6-7)

Jiwa ammarah yang terjatuh ke dalam perangkap sifat tidak memerlukan orang lain yang terhasil daripada kesihatan dan keafiatan yang berpanjangan dan berterusan, tidak akan memberikan penghormatan yang selayaknya terhadap hubungan persaudaraan.

Ia juga tidak akan mempunyai perasaan rahmat dan belas kasihan terhadap mereka yang ditimpa musibah dan penyakit yang selayaknya mendapat rahmat dan kasihan belas serta kasih sayang. Tetapi jika seseorang itu ditimpa sakt, dia akan memahami betapa lemahnya dia, betapa dia memerlukan kepada orang lain ketika mengalami tekanan penyakit, kesakitan dan bebanannya. Dia akan memberikan penghormatan kepada saudara-saudaranya yang beriman yang layak diberikan penghormatan kerana menjaganya ketika sakit, atau yang datang menziarahi ketika sakitnya.

Begitu juga dia akan memiliki perasaan belas kasihan kemanusiaan yang merupakan suatu sifat keimanan yang penting terhadap mereka yang ditimpa musibah dan bala bencana sebagaimana dirinya. Lalu melimpah-limpahlah daripada hatinya perasan kasih sayang dan belas kasihan dalam pengertian yang seluas-luasnya. Jika mampu, dia akan menghulurkan bantuan kepada mereka. Jika tidak, dia akan mula menadah tangan berdoa buat mereka. Atau datang menziarahi mereka serta bertanya khabar tentang keadaan dan kesihatan mereka. Dengan itu, dia telah melaksanakan suatu sunnah yang dituntut dan memperolehi balasan pahala yang besar.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Mengharap petunjuk dan keberkatan

Ya Allah, berilah petunjuk padaku seperti orang yang telah Engkau beri petunjuk. Lindungilah aku seperti orang yang telah Engkau lindungi. Tolonglah aku seperti orang yang telah Engkau tolong. Berkatilah segala yang Engkau berikan padaku. Jauhkan aku dari keburukan qadha’ (ketetapan)Mu. Sesungguhnya, Engkaulah yang menetapkan dan tiada yang boleh memberi ketetapan padaMu. Tidak akan hina orang yang mengikutiMu, dan tidak akan mulia orang yang memusuhiMu. Maha Mulia Engkau, wahai Rabb kami, dan Maha Tinggi.

( HR Abu Daud)

Wednesday, October 23, 2013

Rawatan ke 15

Wahai pesakit yang mengaduh kesakitan! Janganlah kamu mengaduh dan berkeluh kesah memandang kepada zahir penyakitmu yang jelek itu. Bahkan lihatlah kepada makna dan kandungannya. Bergembiralah dengan berkata : Alhamdulillah…….!

Jika penyakit tidak mengandungi sesuatu pengertian yang indah nescaya Allah Yang Maha Mencipta lagi Maha Pengasih tidak menguji makhlukNya yang paling dikasihi daripada kalangan para hambaNya dengan pelbagai jenis penyakit. Tersebut di dalam sebuah hadis : Golongan yang paling banyak terkena bala ialah para nabi, kemudian para wali dan golongan yang seumpama mereka….. (HR: At-Thabrani)

Terdapat beberapa hadis yang mempunyai pengertian hampir sama. Kesemuanya adalah sahih.

Salah satu daripada hadis tersebut (diriwayatkan oleh At-Thabrani) ialah daripada saudara perempuan Huzaifah ra bahawa rasulullah saw bersabda : Golongan manusia yang paling banyak terkena bala ialah para nabi, kemudian para wali, kemudian golongan yang seumpama mereka dan begitulah seterusnya….(Sahih Al-Jami; Al-Saghir)

Orang yang paling teruk dikenakan bala ialah nabi Ayub as, seorang yang amat penyabar. Kemudia diikuti oleh para nabi yang lain, kemudian para wali dan para solihin. Kesemua mereka menerima bala penyakit tersebut dengan menganggapnya sebagai ibadat ikhlas dan hadiah ketuhanan. Mereka melaksanakan tugas bersyukur di samping kesabaran yang mereka tunjukkan. Mereka melihatnya sebagai sejenis operasi pembedahan yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih kepada mereka.

Wahai pesakit yang sentiasa mengaduh dan mengerang! Jika kamu berhasrat untuk turut menyertai kafilah murni ini, maka hendaklah menunaikan kewajipan bersyukur di celah-celah kesabaran. Jika tidak, pengaduan yang dilakukan akan menjadikan mereka enggan menggabungkan kamu ke dalam kafilah mereka, bahkan kamu akan mencampakkan diri ke dalam gaung kelpaan. Seterusnya kamu akan melalui jalan yang penuh dengan kegelapan.

Terdapat beberapa jenis penyakit yang jika ia menyebabkan kematian akan menyebabkan orang yang mengalaminya memperolehi mati syahid maknawi, seterusnya mendapat maqam wali di sisi Allah. Iaitu penyakit yang disebabkan oleh melahirkan anak, penyakit di dalam perut, lemas, terbakar dan taun. Jika seseorang meninggal dunia kerana perkara-perkara di atas, maka darjatnya akan ditinggikan sehingga mendapat syahid maknawi. Terdapat juga beberapa penyakit yang jika mengakibatkan kematian akan menyebabkan orang yang menghidapnya memperolehi darjat wali di sisi Allah.

Di samping penyakit yang dialami boleh mengurangkan kecintaan mendalam terhadap dunia dan kenikmatannya, serta mengurangkan keterikatan mendalam dengannya, ia juga boleh mengurangkan perasaan sedih dan pahit kerana berpisah denggannya seperti yang dialami oleh ahli dunia ketika mereka meninggalkan dunia ini. Bahkan penyakit itu boleh menyebabkan ia merasa kasih dan suka kepada kematian.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Rawatan ke 14

Wahai pesakit yang hampir tertutup matanya akibat selaput (cataracts)! Jika kamu mengetahui terdapat cahaya dan mata maknawi di bawah hijab yang tertutup di atas mata ahli iman, maka kamu akan berkata : Terima kasih dan ribuan terima kasih kepada Allah Yang Maha Mengasihani.

Sebagai menjelaskan rawatan ini, aku akan membawa cerita berikut:

Sulaiman yang berasal dari Barla sentiasa berkhidmat untukku tanpa jemu meskipun untuk tempoh sehari. Beliau tidak merasa sempit dada terhadapku sepanjang lapan tahunberkhidmat untukku bahkan dia memberikan sepenuh kesetiaan dan penghoratan.

Beliau mempunyai seorang ibu saudara. Ibu saudara beliau ini menjadi buta dan tidak dapat melihat. Perempuan itu terlalu bersangka baik terhadapku, melebihi apa yang patut kuterima. Dia memohon padaku ketika aku dalam perjalanan keluar dari masjid dengan berkata: Aku memohon dengan nama Allah agar tuan berdoa kepada Allah untuk menye,buhkan mataku ini.

Lalu dengan segera aku berdoa kepada Allah dengan menjadikan kesolehan wanita beriman itu sebagai syafa’at dan penguat doaku. Aku berdoa kepada Allah dengan penuh tadharru’ dan tawasssul dengan berkata: Ya Allah! Ya Tuhan kami! Dengan kelebihan kesolehan wanita ini, kembalikanlah penglihatannya.

Pada hari berikutnya, seorang doktor pakar mata dari wilayah Burdur yang berhampiran datang merawat wanita itu, lalu Allah mengembalikan penglihatannya. Tetapi empat puluh hari kemudian, matanya kembali kepada keadaan asal, iaitu tidak dapat melihat semula.

Aku merasa amat dukacita dan banyak berdoa. Aku berharap agar doa yang kulakukan itu dimustajabkan meskipun di akhirat nanti, kerana jika demikian, doaku itu akan menjadi bencana kepadanya dengan tidak disengajakan. Namun perempuan itu hanya hidup empat puluh hari sahaja selepas itu, kerana selepas itu beliau meninggal dunia.

Perempuan yang diharapkan memperolehi rahmat itu tidak sempat menikmati pandangan indah taman-taman di Barla, serta terhijab pandangannya daripada melihat kehijauan yang indah dalam tempoh empat puluh hari. Namun telah digantikkan nikmat di dalam kuburnya dengan melihat syurga dan menyaksikan ribuan taman-taman syurga yang menghijau selama empat puluh ribu hari kerana keimanannya yang mendalam dan kesolehannya yang tinggi.

Ya, sesungguhnya apabila seseorang mukmin dilabuhkan hijab di hadapan matanya dan memasuki kubur dengan keadaan demikian, maka dia mampu melihat dunia cahaya berdasarkan darjat kedudukannya dengan pandangan yang lebih luas daripada pandangan ahli kubur yang lain. Kerana sebagaimana kita mampu melihat dengan mata kita kebanyakkan benda yang wujud di atas dunia ini, sedang orang-orang beriman yang buta tidak dapat melihatnya, maka di dalam kubur nanti mereka yang buta itu akan dapat melihat dengan darjat yang sama jika mereka mempunyai keimanan. Malah lebih banyak daripada apa yang dapat dilihat oleh ahli kubur yang lain.

Mereka akan menyaksikan taman-taman dan kenikmatan syurga seolah-olah mereka dibekalkan dengan teropong yang kuasanya adalah berdasarkan darjat masing-masing. Teropong ini dapat menangkap pandangan-pandangan syurga yang indah dan mempersembahkannya seperti layar di dalam pangung wayang di hadapan mata mereka yang tidak dapat melihat semasa berada di dunia.

Oleh itu, wahai saudaraku! Kamu boleh memperolehi mata nurani ini yang akan membongkar syurga dan segala apa yang terdapat di atas langit yang tinggi di sana, meskipun berada jauh di bumi, dengan bersabar dan bersyukur di atas hijab yang menutup matamu. Ketahuilah bahawa benda yang bijaksana dan amat mengetahui tentang mata serta mampu membuang hijab yang menutup matamu agar dapat melihat dengan mata nurani itu hanyalah Al-Quranul-Karim.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009