Saturday, August 23, 2014

Wafatnya nabi Muhammad saw

Pelajaran ke-16

Diriwayatkan bahwa tatkala saiyidina Ali ra meletakkan jasad nabi Muhammad saw di atas divan untuk dimandikan, terdengar suara yang agak keras dari sudut rumah berseru: Janganlah kamu mandikan Muhammad, karena ia sudah suci dan disucikan.  Timbul ragu-ragu di hati Ali mendengar  agar suara itu dan bertanya: Siapakah engkau, kami menjalankan perintah dan wasiat nabi kemudian terdengar suara lain yang berbunyi: Teruskanlah hai Ali! Mandikan nabi Muhammad, karena suara pertama tadi adalah suara Iblis yang terkutuk yang terdorong oleh rasa iri-hati bermaksud agar nabi Muhammad di kubur tanpa dimandi.

Allah membalas engkau dengan kebaikan! Siapakah engkau? Tanya Ali. Aku adalah Al-khidhir – nabi sahut suara kedua itu, Aku datang untuk menghadiri jenazah Muhammad saw.

Demikianlah setelah pemandian selesai dilakukan oleh saiyidina Ali, Alfadhel Ibnu Abbas dan Usamah bin Zaid dan ditabur jasadnya dengan bedak yang dibawa oleh Jibril dari syurga dibungkuslah mayat rasulullah  saw dan dikebumikan di dalam kamar Siti A’isyah ra pada malam Rabu, tengah malam – atau malam Selasa menurut setengah riwayat – pada saat penguburan mana berdirilah Siti A’isyah di atas kuburnya sambil berkata: Hai nabi yang tidak pernah memakai sutera, tidak pernah tidur di atas hamparan halus, yang telah keluar dari dunia dengan tidak pernah merasa kenyang perutnya dari roti sy’ier dan tidak tidur malam karena takut adzabissa’ier.

Wallahu ’alam

H.Salim Bahreisy
Bekal Juru Da’wah Jilid 1
Surabaya, 1977

Mengelak ’ujub

Pertama, menyedari bahawa amal soleh yang dapat kita lakukan adalah berkat kurniaan Allah swt semata-mata.

Kedua, menyedari bahawa ada orang lain yang memiliki pahala lebih banyak. Usahalah untuk menahan diri daripada menyombongkan pelbagai amal soleh yang telah kita lakukan.Syukur pada Allah kerana terselamat daripada godaan nafsu, dengan tetap melakukan amal-amal soleh dan termasuk orang yang mendapat petunjuk.

Ketiga, menyedari bahawa sebesar apa pun pahala yang kita dapatkan, di akhirat kelak kita akan melihatnya sangat kecil lantaran suasana hari itu yang amat mengerunkan dan kita menjadi sedar bahawa kita belum beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Muhammad b Abu Umairah ra berkata: Sekiranya diperlihatkan kepada seorang hamba segala apa yang dia lakukan sejak lahir sehingga mati dalam ketaatan kepada Allah, hari kiamat akan membuat amal-amalnya kelihatan kecil. Dia pasti ingin dikembalikan ke dunia agar dapat menambah pahala dan kebaikannya.

Keempat, jangan terlampau percaya bahawa amalan-amalan kita sudah banyak! Ibn’Aun berkata: Jangan menyakini bahawa amal kita sudah banyak, kerana kita tidak tahu sama ada amal-amal itu diterima di sisi Allah atau pun tidak! Sesungguhnya semua amal kita itu masih misteri. Aisyah ra mengatakan dirinya pernah bertanya kepada rasulullah saw tentang makna ayat : Dan orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut (al-Mu’minum:60). Aisyah ra bertanya: Apakah mereka ini orang-orang yang minum minuman keras dan mencuri? Rasulullah saw menjawab: Bukan, wahai puteri al-Shiddiq, akan tetapi mereka adalah orang yang berpuasa, bersolat, bersedekah tetapi mereka takut kalau-kalau amal mereka tidak diterima (di sisi Allah). Mereka itulah orang yang bersegera melakukan kebaikan.

Wallahu a’lam.

Muhammad b Ibrahim Al-Nu’aim
Misteri panjang umur, 2010

Diri

Cahaya teramat terang
membelah kegelapan
menyelinap resap ke kalbu
dan diri berlidah kelu
yang dicari, ditemui
tanpa ragu.

Senegara bersolat
kuimpikan
pemimpin sejati
mengimami.

Solat,solat, puing sejahtera
tak lagi dolak-dalik
ada hati,ngerti
ada akal,jernih hati.

Kapal,ombak mengelilingi
kian tinggi
lembab, tenggelam,pasti.

Daeng Ramliakil
Berita Harian
17 Ogos 2014

Bicara hati ketika Sai

Ya Allah Ya Afuww yang Maha Memaafkan Ya Ghafur yang Maha Pengampun, Ya Tauwab yang Maha Menerima Taubat, ampunilah dosa-dosa hambaMu ini sama ada yang hambaMu ini sedar atau tidak sedar, dosa-dosa di atas kejahilanku, keingkaranku dan ketelanjuranku.

Ya Allah Ya Aziz yang Maha Perkasa, Ya Qawwiyu yang Maha Kuat dan Ya Matin yang Maha Mantap, perkuatkanlah hatiku ini agar mampu menghadapi segala kesulitan hidup dan dugaan yang Engkau berikan. Sepertimana Siti Hajar mempunyai kemahuan yang kuat berusaha mencari air untuk nabi Ismail as tanpa jemu dan putus asa. Sesungguhnya hidup ini perlu berusaha dan bersungguh-sungguh dengan bantuanMu.

Ya Ba’ith yang Maha Membakar Semangat, bakarlah semangatku untuk terus mengharungi segala ujian hidup yang Engkau bentangkan kepada hambaMu ini. Jadikalah keperitan, penderitaan, kesakitan itu sebagai satu nikmat yang dirasai pada jiwa hambaMu ini kerana itulah proses Engkau membina kekuatan dan ketahanan serta kesabaran diriku agar hambaMu ini mampu memikul tanggungjawab khalifahMu. Ya Engkau berikanlah kepadaku kemudahan ya Wahhab yang Maha Memberi, Ya Basith yang Maha Melapangkan hidup, Ya Fattah yang Membuka ruang-ruang kehidupan, Ya Razzak yang Maha Memberi Rezeki, agar dengan kemudahan dan rezekiMu hambaMu ini mampu bangkit membela agama, bangsa dan negara.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih

Friday, August 22, 2014

Hari ini kita berkabung

Tiada kata dalam bicara
tiada merdu pada lagu
tiada tinta dalam tulisan
tiada nyala pada warna
kerana hari ini seperti semalam
seperti minggu lalu
seperti bulan lalu
persis 17 Julai yang sendu
langit Malaysia jadi mendung
kala merpati putih MH17
gugur dari cakerawala?
bersama 298 jiwa
yang meruntuhkan
seluruh nafas kita
dan segenap kemanusiaan.

Hari ini jasad sudah disempurnakan
jenazah siap dibaringkan
dalam keranda berlitup
Jalur Gemilang
kafilah telah berangkat
lahad sedang menanti
pengebumian yang lama tertunda
mari kita kejapkan tekad
pada tanah perkuburan itu
hanya saudara, taulan
atas nama negara yang sama itu
atas makna insan yang serupa itu
hanya mereka kita semadikan
dan bukannya harapan keadilan
jua citra keamanan
kerana kemanusiaan tak akan
bahkan tak boleh dikebumikan.



Hari ini, kita berkabung
berhimpun atas nama kemanusiaan
hari esok, kita menyambung
keadilan untuk  merpati puteh kita
MH17  dan 298 jiwa
yang meninggalkan kita
di bawah langit Malaysia
yang mendung.

Nazmi Yaakob
Kuala Lumpur
Berita Harian,
22 Ogos 2014

Khutbah Hari Berkabung MH17

Muslim yang diberkati Allah;

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan  pada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah swt dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah swt di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan hari berkabung negara kita pada hari ini, maka mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk Hakikat Luh Mahfuz.

Muslim yang diberkati Allah;

Sebagai seorang Islam yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Al-Hadis, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam hal ini Allah swt telah mencatatkannya dalam kitab Luh Mahfuz sebagai tempat untuk menyimpan segala rahsia yang ada di langit dan di bumi dari permulaan zaman hingga ke akhir zaman.

Persoalan besar timbul di sini, apakah yang dimaksudkan dengan Luh Mahfuz itu? Secara ringkasnya, ada ulamak yang menceritakan tentang hakikat  Luh Mahfuz. iaitu ianya merupakan kitab suratan, yang dituliskan qadak dan qadar semua makhluk sebelum dijadikan.  Firman Allah swt  dalam suratul Hajj ayat 70 yang maksudnya : Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya yang demikian itu. ada tertulis dalam kitab Luh Mahfuz. Sesungguhnya hal ini amatlah mudah bagi Allah.

Dan Firman Allah swt lagi dalam suratul Hadid ayat 22 yang bermaksud:  Tidak ada kesusahan yang ditimpakan ke bumi dan yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada di dalam di kitab sebelum kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikan itu adalah mudah bagi  Allah swt.

Menurut Ibni Taimiyah dan Imam AlQutubi dalam tafsirannya bahawa yang dimaksudkan kitab dalam ayat ini ialah Luh Mahfuz. 

Daripada Ibni Mas’ud katanya, bahawa sesungguhnya bila nukfah itu telah mantap dalam rahim, malaikat akan mengambil dan meletakkannya  dalam telapak tangannya sambil berkata: Tuhanku, apakah untuk diciptakan atau tidak diciptakan?.  Jika dijawab, untuk tidak diciptakan iapun tidak menjadi manusia ia akan lebur menjadi darah. Sebaliknya jika dijawab  diciptakan. Malaikat pun berkata, adakah lelaki ataupun perempuan, sengsara atau bahagia, bagaimana ajalnya,berapa umurnya, apa peninggalannya, apa rezekinya, dan di bumi manakah ia akan mati.

Allah swt kemudiannya berfirman : Pergilah ke Luh Mahfuz, di sana kau akan mendapat nukfah itu. Dikatakan kepada nukfah, siapakah Aku siapakah Tuhanmu. Jawabnya, Allah. Ditanyakan pula siapakah yang memberikan rezeki kepadamu, jawabnya Allah. Lalu diciptakan dia  menjadi manusia, hidup bersama-sama keluarga dan makan rezeki yang dikurniakan kepadanya. Jika datanglah ajalnya, ia akan meninggal dan dikebumikan di tempat tersebut.  (Riwayat al-Hakim)

Muslim yang dirahmati Allah;

Berdasarkan ketentuan Allah swt di Luh Mahfuz ini, maka kita sebagai orang Islam mesti yakin dan percaya bahawa kematian merupakan satu perkara yang telah ditentukan. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya seseorang, bagaimana suasana dan caranya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para nabi-nabi, rasul-rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan Tuhan bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah swt pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzah dan hari penghakiman di Padang Masyhar.

Firman Allah swt dalam suratul Nisaa ayat 78  yang maksudnya : Di mana sahaja kamu berada pasti mati mendatangi kamu sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.

Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan.  Bila seseorang itu mati, ia dikatakan kiamat kecil baginya. Ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia, kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur, kembali menjadi tanah dan ruh telah keluar dari badan manusia. Ruhlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.

Muslim yang dirahmati Allah;

Mimbar yang mulia ini ingin mengatakan, bahawa  menerima kematian sebagai satu ketentuan Allah swt mengandungi banyak hikmah. Antaranya ialah pertama, dapat memperkukuhkan keimanan dan menimbulkan rasa takwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah swt dan meninggalkan segala laranganNya. Ibni AlQayyim berkata : Allah swt menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan iaitu alam dunia, alam barzah dan alam akhirat yang kekal abadi. Pada setiap alam ini, ada hukumnya yang tersendiri. Percayalah bahawa, Allah swt menentukan sesuatu kejadian itu dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah.

Memetik kata-kata hikmah yang pernah dilontarkan oleh Junaid AlBaldadi bahawa bala dan bencana adalah pelita bagi orang yang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun mendapat manisnya iman, sebelum ia ditimpa ujian dengan redha dan bersabar.

Kedua, dapat menambahkan keteguhan hati dan kesabaran. Mereka yang memiliki keteguhan hati dan kesabaran yang tinggi tidak akan berputus asa, Tindakannya selalu tenang tanpa terburu-buru ataupun bimbang kerana mereka sedar bahawa segala ketentuan perjalanan hidup ini hak mutlak Allah swt.

Renungilah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra  bahawa rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa diri seorang muslim, samaada yang berupa kesusahan , penderitaan, kesedihan dan kedukaan ataupun penyakit bahkan kerana sepotong duri yang mencucuk kakinya yakni anggotanya melainkan dihapuskan oleh Allah swt dengan itu sebahagian daripada kesalahannya.
Ketiga, lahir perasaan tanggungjawab, hendak membimbing diri dan keluarga supaya bersungguh-sungguh beramal dan berbuat kebajikan dalam menuntut keredhaan Allah swt serta timbul rasa kasih sayang serta mahabbah sesama manusia khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat. Percayalah bahawa, kita sebagai manusia diikat dengan satu perasaan kasih sayang. Oleh sebab itulah setiap kali kita ditimpa musibah kematian maka hati kita tercuit dengan kesedihan dan kepiluan.

Diriwayatkan daripada Usamah b Zaid rahu katanya kami sedang berada di sisi rasulullah saw, ketika salah seorang dari puteri baginda menyuruh seseorang untuk memanggil baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri baginda itu berada dalam keadaan nazak, lalu rasulullah saw kepada orang suruhan itu : Kembalilah kepadanya, dan katakanlah  bahawa yang diambil oleh Allah itu adalah milikNya dan siapa yang diberi oleh Allah juga milikNya, segala sesuatu di sisinya akan berakhir. Mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada Allah.

Orang suruhan itu kemudian kembali mengadap rasulullah saw  dengan berkata dia  berjanji akan menunaikan pesanan itu. Kemudian rasulullah saw berdiri diikuti oleh Saad b Ubaidah dan Muaz b Jabbar rahu lalu diangkat kepada rasulullah saw dan diserahkan anak dari puteri baginda yang nafasnya masih tersekat-sekat seolah-olah ia berada dalam suatu qibbah yakni bekas air yang lusuh. Kedua-dua mata rasulullah saw mulai berlinangan. Saad bertanya : Apakah ertinya ini wahai rasulullah?. Rasulullah saw lalu bersabda: Ini adalah rahmat, yakni belas kasihan yang diletakkan oleh Allah swt di hati hamba-hambaNya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hambaNya yang mempunyai rasa belas kasihan.  (Riwayat Muslim)

Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar AlSidiqq rahu ketika berhadapan dengan kewafatan nabi saw.Beliau memujuk saidina Umar rahu yang masih terkejut dengan pemergian nabi saw seraya berkata:  Ketahuilah yang menyembah Muhammad saw,  maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah maka  sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.

Muslim yang dirahmati Allah;

Sebagaimana yang kita ketahui, hari ini 22hb Ogos 2014 pihak kerajaan kita telah mengisytiharkan Hari Berkabung Negara sebagai penghormatan berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17  di Timur Ukraine. 

Oleh itu mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa hendaklah bendera Malaysia dikibarkan  separuh tiang di seluruh negara. Marilah sama-sama kita melaksanakan solat jenazah secara ghaib di tempat masing-masing. Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan kepada saudara mara dan sahabat handai kita yang telah pergi meninggalkan kita dalam tragedy MH17. Kita mendoakan semuga roh mereka dan rahmat dan kasih sayang Allah swt . Kepada seluruh kaum keluarga mangsa tragedy MH17 kita ucapkan takziah. Kita juga mendoakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedy ini. Kita doakan semuga agar negara dijauhkan dari segala mala petaka dan kehancuran, dikekalkan nikmat keamanan, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum,kukuhkan perpaduan di kalangan  mereka semuga sentiasa hidup aman damai, menikmati kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

Sesungguhnya setiap yang hidup itu mesti akan mati. Walau pun di mana jua kita berada, sama ada di darat, laut atau pun di udara.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kita sama-sama kita merenungi Firman Allah swt dalam suratul Luqman ayat 34 yang bermaksud : Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang  hari kiamat dan Dialah juga yang menurunkan hujan dan yang mengetahui tentang apa yang ada dalam rahim yakni ibu mengandung dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada dapat diketahui oleh seseorang itu bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi pengetahuanNya.

Wallahu a’lam.

Tan Sri Dato’ Shaikh Ismail b Muhammad al-Hafiz
Masjid Putrajaya
22 Ogos 2014

Doa ketibaan jenazah MH17

Bismillaahirrahmaanirrahiim

Pada hari yang penuh keberkatan ini, dengan rasa  kehambaan dan penuh pengharapan, kami bermohon kepadaMu Ya Allah di majlis istiadat penghormatan jenazah tragedy MH17 ini kurniakanlah ke atas kami kehormatan Ya Allah bagi menyambut ketibaan dua jenazah penumpang MH17.

Bismillahiala milati rasulullah saw
Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyuumu

Berikanlah keampunan, kehormatan dan kesejahteraan khususnya kepada dua jenazah ini., allahyarhamah Ariza bt Gazalee dan allahyarham Muhammad Afif b Tambi begitu juga dengan jenazah-jenazah yang lain.

Allah hummaghfir lahum, war hamhum, wa’afihi a’afu ’anhum

Ya Allah berikanlah keampunan bagi kedua-dua jenazah ini, tingkatkanlah darjatnya di sisiMu Ya Allah, tempatkanlah mereka di kalangan orang-orang yang mendapat petunjukMu Ya Allah. Kurniakanlah mereka kelapangan dalam kuburnya, dan terangilah mereka dengan cahaya nikmat surgaMu Ya Allah. Jadikanlah yang ditujunya ini yakni alam akhirat mereka lebih baik daripada negeri yang ditinggalkan.

Allahumma Ya Fatah Ya Aliim Ya Allah

Sesungguhnya kami ini adalah milikMu jua, kepadaMu kami dikembalikan. Innalillahi wainnailahi rojiun. Seterusnya kami pohonkan, khususnya kepada ahli keluarga sekalian, kekuatan iman, ketabahan hati dan kesabaran jiwa dalam menghadapi musibah ini agar pemergian mereka sentiasa didoakan, mudah-mudahan roh-roh mereka sentiasa dirahmati dan diampuni, ditempatkan dalam surgaMu Ya Allah bersama-sama orang yang soleh.

Akhirnya kami pohonkan, permudahkanlah, permudahkanlah, permudahkanlah Ya Allah segala urusan penyelenggaraan jenazah-jenazah ini dengan lancar, selamat dan sempurna. Kekalkanlah kerjasama dan persefahaman saling bantu membantu, hormat menghormati dan kasih sayang yang berpanjangan.

Rabbana atina fiddunya hasanatan wa fil akhirati hasanatan waqina ’azabannar.
Wassalallahuala saidina Muhammadin waala alihi wassohbi ajimain wal hamdu lillahi rabbi ’alameen.

Al-Fatehah.

Lapangan Terbang TUDM
Kuching Sarawak
22 Ogos 2014