Adalah nabi saw sebaik-baik manusia dari segi bentuk badan dan akhlaknya.
Dialah yang paling benar menunjuki jalan kebenaran. Akhlaknya adalah akhlak
Al-Quran. Tabiatnya suka mengampunkan, suka memberi nasihat. Banyak membuat
kebajikan. Memaafkan kesalahan orang terhadap dirinya; tetapi jika dicuaikan
haq Allah tiada siapa dapat menahan kemarahannya. Siapa yang melihatnya sekali
pandang akan merasa gerun kepadanya kerana kehebatannya. Jika baginda dipanggil
oleh orang miskin baginda menyahut seruannya. Baginda berkata benar walaupun
pahit. Tidak pernah menaruh perasaan hendak menipu atau menyusahkan orang lain.
Siapa yang melihat wajahnya, nampak nyata bukan muka seorang pendusta.
Adalah nabi saw tidak pernah mengeji atau mencela orang. Jika baginda
bergembira maka wajahnya seolah-olah bulan purnama. Apabila baginda bercakap
dengan orang seolah-olah mereka mengambil buah-buahan yang manis dari mulutnya.
Apabila baginda tersenyum maka nampak keputihan giginya seperti butir-butir
embun yang turun. Apabila baginda bercakap seolah-olahperkataannya seperti
permata yang gugur daripada percakapan itu. Apabila baginda mengucapkan sesuatu
seolah-olah kasturi yang keluar dari mulutnya.
Jika baginda lalu di suat tempat, dapat diketahui bahawa tempat itu telah
dilalui oleh baginda kerana bau harumnya masih tercium.Jika baginda duduk di
suatu tempat akan berkekalan keharumannya beberapa hari. Bau baginda sentiasa
harum walaupun baginda tidak memakai bau-bauan. Jika baginda berjalan di antara
sahabat-sahabatnya seolah-olahnya baginda bulan purnama dipagar bintang. Jika
baginda datang ke suatu tempat di waktu malam orang-orang yang ada di situ
seolah-olahnya berada di waktu Zuhur disebabkan cahaya baginda.
Adalah nabi saw sangat pemurah orangnya. Baginda sangat berlembut terhadap
anak yatim dan perempuan janda. Setengah sahabat yang pernah menceritakan sifat
baginda berkata: Tidak pernah aku lihat seorang yang berambut hitam memakai
baju merah lebih kacak daripada rasulullah saw.
Ya Allah Ya Tuhanku
cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.
Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008
No comments:
Post a Comment