Asma Ul-Husna 24
Ar-Rafi’ ertinya Allah Maha Tinggi dan Maha Meninggikan atau Maha
Mengangkat sebagaimana firmanNya bermaksud:
Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang
sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy.
(Ar-Ra’du:2)
Zat Yang Maha
Tinggi dan Maha Meninggikan
Ar-Rafi’ adalah salah satu sifat Allah yang akar katanya adalah raf’, mengangkat, memunculkan,
memuliakan, menaikkan dan seumpamanya.
Ar-Rafi’ adalah Allah yang meninggikan darjat para kekasihNya, memberi
mereka kemenangan atas musuh-musuh mereka dan musuh-musuhNya, juga musuh-musuh
orang-orang soleh, kepada darjat-darjat tertinggi. Dia meninggikan kebenaran.
Dia mengangkat orang-orang beriman dengan memberi mereka kebahagiaan. Dia
mengangkat para kekasihNya di antara orang-orang beriman dengan lebih
mendekatkan diriNya kepada mereka. Dia menaikkan kedudukan para kekasihNya
dengan memberi mereka kekuasaan, dan Dia meninggikan darjat orang-orang yang
menolongNya dalam kebenaran dan persamaan.
Ar-Rafi’ juga bermakna mendirikan langit tanpa tiang, mengangkat awan
dengan angin dan menerbangkan burung di udara. Ar-rafi’ telah menaikkan darjat
para kekasihNya pada kehidupan dunia ini dengan menjadikan orang-orang beriman
merendahkan diri mereka sendiri di hadapan mereka, dan menjadikan orang-orang
memberi penghormatan dan menghargai mereka walaupun mereka tidak menggunakan
kekuatan apapun dan meskipun mereka tidak mempunyai kekayaan sama sekali.
Sifat manusia yang
keduapuluh empat ialah mengangkat dan meninggikan kebenaran
Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang keduapuluh empat dengan
bercermin pada Asma ul-Husana ialah bersikap mengangkat dan meninggikan
kebenaran (al-haq).
Sesiapa sahaja yang dikurniakan nikmat menerusi inspirasi sifat Allah ini
adalah orang-orang yang menaklukkan keinginan-keinginan dan kecenderungan hawa
nafsunya yang buruk dan tercela. Orang yang seumpama ini akan ditinggikan
darjatnya oleh Allah dan ditempatkan di sisiNya yang tinggi.
Wallahu a’lam
Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan
Asma Ul-Husna,2010
ms 58 - 59
No comments:
Post a Comment