Friday, September 12, 2014

Isu Ketua Jabatan dalam Tatatertib 1

Antara isu-isu yang sering berbangkit berhubung peranan Ketua Jabatan di dalam pemantauan tatatertib pegawai bawahan ialah:

a) Ketua Jabatan enggan melaporkan kes pelanggaran tatatertib yang dilakukan
Salah satu alasan yang kerap diberikan adalah kerana berasa kasihan dengan pegawai bawahan yang melakukan pelanggaran tatatertib berkenaan ataupun dalam erti kata lainnya ingin menjaga periuk nasi. Terdapat Ketua Jabatan yang sengaja tidak melaporkan pelanggaran berkenaan kerana tidak mahu imej dan nama baik organisasinya terjejas. Namun, perlu diingatkan bahawa di dalam sesetengah kes perbuatan Ketua Jabatan menyembunyikan pelanggaran berkenaan akan mendatangkan kesan yang lebih teruk di masa yang akan datang.

b) Cuai di dalam menghantar perakuan
Terdapat Ketua Jabatan yang terlalu berlembut dan hanya mengambil tindakan ke atas pegawai yang melakukan kesalahan tataterib setelah satu tempoh yang lama telah berlalu. Sebagai contoh, terdapat Ketua Jabatan yang hanya membuat laporan mengenai pegawai yang tidak hadir bertugas setelah tiga tahun sudah berlalu. Di dalam kes-kes ini, Ketua Jabatan wajib membuat laporan sekiranya pegawai tidak bertugas selama tujuh (7) hari dan bukannya membiarkannya perkara berkenaan berlarutan. Seperti yang dinyatakan di atas, kegagalan Ketua Jabatan berbuat demikian akan menyebabkan beliau diambil tindakan tatatertib.

c) Menghantar perakuan yang tidak lengkap
Terdapat Ketua Jabatan yang membuat laporan kepada pihak berkuasa tatertib agar mengambil tindakan ke atas pegawai bawahannya namun tidak memberikan bukti yang kukuh. Perlu diingatkan bahawa tindakan tatatertib adalah satu prosiding quasi-judicial di mana tindakan berkenaan meyerupai satu tindakan undang-undang. Justeru pembuktian sesuatu pelanggaran yang dilaporkan adalah penting dan hanya boleh dicapai jika Ketua Jabatan mengemukakan perakuan yang lengkap.

d) Membuat perakuan berdasarkan hearsay evidence
Terdapat Ketua Jabatan yang terus melaporkan mengenai pelanggaran tatatertib hanya disebabkan oleh satu aduan. Sebaliknya Ketua Jabatan hendaklah menyiasat terlebih dahulu aduan berkenaan sama ada benar atau tidak  dan seterusnya mendapatkan bukti-bukti yang kukuh.

e) Menganggu prosedur tatatertib
Terdapat Ketua Jabatan yang sengaja atau tidak telah mensabotaj perjalanan prosiding tatatertib. Sebagai contoh, terdapat Ketua Jabatan yang tidak menghantar surat pertuduhan kepada pegawai tetapi sebaliknya memaklumkan Lembaga Tatatertib bahawa surat berkenaan telah dihantar. Terdapat juga Ketua Jabatan telah menyuruh pegawai berkenaan menandatangani surat aku janji akan mematuhi peraturan kerana terlampau kasihan kepada pegawai yang sedang dikenakan tindakan tatatertib. Perbuatan ini boleh menjejaskan prosiding tatatertib yang sedang dijalankan kerana Ketua Jabatan telah bertindak melangkaaui Lembaga Tatatertib. Perlu diingatkan di dalam kedua-dua contoh yang diberikan, Ketua Jabatan akan diambil tindakan.

Wallahu a’lam.

Toolkit Pengetua dan Guru Besar
BPSM, KPM, 2010

No comments:

Post a Comment