Tuesday, April 5, 2011

Surah An-Nazi’aat ( Yang beralih dengan cepat )

Empat puluh enam ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlah (bintang-bintang) yang beralih dengan cepat,
2. Dan (bintang-bintang) yang selalu berpindah-pindah,
3. Dan (bintang-bintang) yang selalu beredar dengan lekas,
4. Lantas (bintang-bintang) yang berlomba-lomba beredar,
5. Lantas (bintang-bintang) yang mengatur urusan,
6. (Ingatan) hari yang akan bergoncang keras sesuatu yang bergoncang,
7. Lalu diiringi oleh sesuatu yang mengiringi,
8. Hati-hati (manusia) dihari itu ketakutan,
9. Pandangan-pandangannya tunduk merendah

Keterangan :

Perhatikanlah keadaan bintang-bintang yang beralih dengan cepat dan perhatikanlah bintang-bintang yang selalu berpindah-pindah tempat, dan perhatikanlah bintang-bintang yang beredar dengan lekas, seperti bumi dan lain-lain bintang yang mengelilingi matahari lantas perhatikanlah bintang-bintang yang beredar mengatur urusan : musim panas, musim dingin, musim buah dan musim bunga dan ingatlah hari yang bumi akan bergoncang dengan sekeras-kerasnya laku diiringi oleh satu goncangan, di hari mana hati-hati manusia akan ada di dalam ketakutan dan pandangan-pandangan manusia akan tunduk merendah diri.

Iaitu sekiranya kaum kafir yang tidak mahu percahaya kepada hari kiamat itu perhatikan hal perjalanan bintang-bintang tersebut, nescaya mereka akan dapat tahu bahawa apabila beradu bintang-bintang itu antara satu dengan lainya akan terjadi kerusakan alam ini, yang mana Tuhan namakan hari kiamat, di hari mana hati manusia di dalam ketakutan dan pandangan-pandangan manusia tunduk ke bawah, dengan merendah diri menantikan putusan dari Tuhan yang maha kuasa.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat-ayat itu :

Orang berakal dan yang hendak mendapat keselamatan, wajib bersedia amal yang baik sebelum datang hari yang mengoncang dan menggegar bumi sekeras-kerasnya dan sebelum datang hari yang makhluk sekaliannya di dalam ketakutan.

10. Mereka berkata : apakah kami akan dikembalikan kepada keadaan yang pertama?
11. Apakah (akan dikembalikan kami) apabila kami telah jadi tulang yang buruk?
12. Mereka berkata : yang demikian – kalau begitu – satu kembalian yang rugi,
13. (Allah berfirman) : Yang demikian itu tidak lain melainkan (dengan) satu suara
       (sangkakala),
14. Maka tiba-tiba mereka (akan ada) di  muka bumi,

Keterangan :

Kaum kafirin yang tidak mahu percaya kepada hari kiamat akan berkata : ” Apakah kami akan dihidupkan semula seperti keadaan sekarang ini, walaupun sesudah kami jadi tulang yang buruk dan reput?. Kalau begitu adalah yang demikian, satu kembalian yang rugi bagi kami kerana kami belum bersedia.

Mereka berkata begitu atas jalan mengejek dan dengan maksud mendustakan adanya hari kiamat. Lantaran itu, maka Allah swt berkata : Bahawa hari kiamat itu akan terjadi dengan satu sangkakala dan dengan suara sangkakala kedua akan hidup dan keluar sekalian makhluk dari kubur masing-masing ke muka bumi.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat-ayat tersebut :

Janganlah kita suka menolak dan tidak mahu menerima perkara-perkara yang kita rasa tidak akan terjadi atau yang belum pernah kita lihat terjadinya.

Apabila Allah kehendaki tiap-tiap sesuatu akan jadi, sebagaimana sekallian alam ini, jadinya dengan satu perkataan ” KOEN ” begitlah akan rusak alam ini dengan satu tiupan sangkala yang diperintah oleh Tuhan dan sesudah itu dengan satu tiupan lagi akan hidup sekalian makhluk yang sudah jadi tanah dan abu itu, Allah maha kuasa.

15. Sudahkah datang kepadamu khabar Musa,
16. Waktu Tuhannya menyeru – dia di lembah yang suci (bernama) Thuaa,
17. (Katanya) : pergilah kepada Fir’aun kerana sesungguhnya ia itu durhaka melebihi
      batas.
18. Maka katalah kepadanya : Maukah engkau jadi bersih,
19. Dan (mahukah) aku pimpinmu kepada Tuhanmu supaya engkau jadi takut?
20. Lalu Musa tunjukkan kepadanya tanda (mukjizat) yang amat besar,
21. Tetapi Fir’aun dustakan dan durhaka,
22. Kemudian ia berpaling padahal berusaha,
23. Lalu ia kumpulkan (rakyatnya) dan ia seru,
24. Katanya : Akulah tuhan kamu yang paling tinggi,
25. Lantaran itu, Allah siksa dia siksaan akhirat dan dunia,
26. Sesungguhnya tentang itu, adalah satu pelajaran bagi orang yang mahu takut,

Keterangan :

Allah bawakan ceritakan nabi Musa itu, ialah sebagai satu peringatan bagimana Allah belahkan lautan lalu menyebabkan Firaun serta kaumnya masuk lalu tertimbud dengan air dan juga sebagai isyarat yang menunjukka bagaimana balasan yang didapati oleh kaum-kaum yang mendustakan agama dan hari kemudian.

Allah berkata : Hai Muhammad! (atau : Hai pembaca Al-Quran ) sudahkah sampai kepadamu hikayat nabi Musa, di waktu Tuhannya memanggil dia di lembah suci yang bernama : Thuaa, lalu Tuhan berkata : Ya Musa! Pergilah kepada Firaun, raja Mesir kerana ia telah durhaka melewati batas dan tanyalah akan dia : Mahukah engkau jadi orang yang bersih; dan mahukah aku tunjukkan jalan dan pimpinmu ke jalan Allah, supaya engkau jadi orang yang takut kepada Allah?

Sesudah nasehat nabi Musa dan ajakannya itu tidak diperdulikan oleh Firaun maka nabi Musa pun tunjukkan mukjizatnya yang amat besar pada pandangan orang zaman itu iaitu tongkatnya jadi ular tetapi walaupun begitu Firaun dustakan juga dan durhaka. Kemudian Firaun berpaling dari Musa lalu berusaha mengumpulkan rakyatnya lalu ia berseru katanya : Akulah tuhan kamu yang maha tinggi. Lalu Allah siksa dia dengan siksaan dunia dan siksaan akhirat. Sesungguhnya di dalam cerita Firaun dengan Musa itu satu pelajaran bagi orang yang mahu takut kepada Allah.

Adapun perkataan Firaun : ”Akulah tuhan kamu yang paling tinggi” itu maksudnya bahawa akulah raja kamu dan penjaga kamu yang paling besar tidak ada siapa pun berkuasa lebih daripadaku.
.
Pelajaran yang kita dapait dari ayat-ayat itu :

Kepada orang-orang yang ingkar akan kebenaran baiklah kita bawakan beberapa contoh kejadian supaya ia menimbang dan memikirkan kerana di dlam kisah-kisah kejadian zaman dahulu itu ada beberapa pelajaran dan pengajaran bagi yang mahu mengambil nasehat.

27. Apakah kamu makhluk yang amat payah (dijadikan), ataukah langit padahal Ia
      telah dirikan dia?
28. Ia tinggikan pendirianya dan ia sempurnakannya,
29. Dan Ia gelapkan malamnya dan Ia dluhakan cahaya siangnya,
30. Dan bumi itu – sesudah demikian – Ia hamparkan
31. Ia keluarkan daripadanya akan airnya dan tumbuh-tumbuhnya,
32. Dan gunung-gunung itu Ia pancangkan,
33. (Yang demikian itu) sebagai bekalan bagi kamu dan binatang-binatang ternak
      kamu.

Keterangan :

Kepada kaum-kaum yang mendustakan dan memustahilkan bangkitan hari kiamat, Allah berkata : Mengapakah kamu menyangka tidak akan ada bangkitan di hari kiamat sesudah badan kamu jadi tanah, abu, hawa dan lainnya? Apakah membuat kamu itu lebih payah daripada membikin langit?

 Sedang langit itu Allah telah dirikan dan telah sempurnakan dan Ia gelapkan malamnya dan zahirkan cahaya siang harinya dan sesudah itu Ia hamparkan bumi iaitu Ia jadikan bumi ini tempat yang dapat di diami manusia iaitu Ia keluarkan airnya dan tumbuh-tumbuhannya,

Dan Ia pancangkan gunung-gunung sebagai satu penjaga bagi penduduk bumi daripada kebiasaan yang disebabkan oleh angin dan topan dan sebagainya. Allah pancarkan airnya dan tumbuhkan tumbuh-tumbuhannya itu ialah untuk jadi bekal dan makanan bagi kamu dan binatang-binatang peliharaan kamu.

Pelajaran yang kita dapati dari ayat-ayat itu :

Kalau kita lihat dan perhatikan langit dengan isinya dan bumi berserta keadaannya untuk keperluan manusia nescaya kita dapat tahu bahawa membangkitkan manusia yang sudah hancur badannya itu satu perkara yang amat mudah pada sisi Allah yang mana tidak patut sekali-kali manusia engkari.

34. Maka apabila datang keributan yang besar,
35. Di hari yang manusia akan sedar kepada apa yang dikerjakannya,
36. Dan akan ditunjukkan neraka bagi orang yang mahu melihat,
37. Adapun orang yang durhaka meliwati batas,
38. Dan melebihkan penghidupan di dunia,
39. Maka sesungguhnya mereka itu ialah tempat kembalinya,
40. Dan adapun orang yang takut kepada Tuhannya dan ia menegah dirinya daripada
      hawa nafsunya,
41. Maka sesunguhnya surga itu ialah tempat kembalinnya,

Keterangan :

Apabila datang hari keributan yang besar iaitu hari yang manusia akan sedar dan ingat kepada pekerjaaannya yang telah lalu di dunia sedang ketika itu diperlihatkan neraka kepada pandangan orang maka di waktu itu, siapa-siapa yang telah melakukan kedurhakaan yang meliwati batas serta melebihkan dan mementingkan urusan dunia lebih daripada akhirat akan dapat tahu bahawa neraka itu ialah tempat kembalinnya, adapun orang yang takut kepada Tuhannya serta ia telah menahan dirinya daripada melakukan sesuatu menurut hawa nafsunya akan dapat tahu bahawa surga itu tempat kediamannya.

Pelajaran yang kita dapati dari ayat-ayat itu :

Sebelum datang hari keributan besar dan sebelum datang hari yang manusia akan sedar kepada amal-amalnya dan sebelum datang hari yang neraka akan diperlihatkan, hendaklah kita menjauhi sekalian amal jahat mahupun yang melewati batas ataupun tidak dan hendaklah kita pentingkan urusan akhirat sebagaimana mestinya supaya kita mendapat surga tempat kediaman dan jauh daripada neraka tempat siksaan.

42. Mereka akan bertanya kepadamu dari hal kiamat, bilakah kejadiannya?
43. Di mana engkau dari sebutannya?
44. Kepada Tuhanmulah terserah pengetahuan (tentang) itu,
45. Engkau itu hanya seorang pengancam akan seorang yang takut kepada (kiamat)
      itu :
46. Di hari yang mereka melihat dia, (mereka akan merasa) seolah-olah tidak pernah
      diam ( didunia) melainkan satu malam atau siangnya (saja)

Keterangan :

Sesudah mendengar keterangan tentang kiamat mereka bertanya kepadamu : Bilakah akan kejadian kiamat itu?. Padahal di mana engkau dari sebutannya ( iaitu jauh engkau daripada mengetahui waktu kejadiannya), kerana pengetahuan tentang masa kejadian kiamat itu terserah kepada Tuhanmu semata-mata dan sesungguhnya engkau itu tidak lain melainkan seorang pengancam, pembawa khabar yang menakutkan orang yang mahu takut kepada hari kiamat itu.

Hari akhirat itu lantaran susah payahnya dan huru haranya, maka pada masa melihat dia kaum kafir itu akan merrasa seolah-olah mereka tidak hidup di dunia melainkan satu malam daripada malam-malam akhirat atau satu siang sahaja.

Pelajaran yang kita dapati dari ayat-ayat itu :

Wajib kita percaya kepada hari kiamat dan tidak perlu kita fikir-fikirkan atau bertanya-tanya waktu akan kejadiannya kerana masa kejadiannya tidak ada yang tahu melainkan Allah sendiri. Hanya perlu kita menasihati manusia supaya percaya dan takut kepada Allah yang menyediakan balasan yang amat pedih di hari itu bagi mereka yang durhaka.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment