Wednesday, April 13, 2011

Mengumpul setem……

Istilah ‘ mengumpul setem ‘ dipinjam daripada peristiwa masa perang apabila penduduk dikehendaki mengumpul setem untuk ditukarkan dengan barang-barang makanan. Dalam analisis transaksional istilah ini bermaksud mengumpul perasaan-perasaan positif dan negatif.

’Mengumpul setem emas ’ bermakna mengumpul perasaan yang positif yang boleh memberi kita kegembiraan dan kepuasan diri. Setem emas ialah satu aktiviti yang membawa kebaikan dan menjadikan seseorang itu berasa dirinya sihat dari segi fizikal dan mental.

’ Setem kelabu ’ (Gray stamps) pula mengumpul perasaan negatif yang merosakkan. Apabila seseorang telah mengumpul banyak setem kelabu (perasaan negatif) ia mungkin mengambil tindakan spontan yang difikirkan sesuai dan padan dengan kumpulan setem kelabunya seperti menunjukkan marah yang amat sangat, murung, menarik diri atau kadang-kadang paling merosakkan membunuh orang atau membunuh diri sendiri.

Setem ini menjadi raket aitu perasaan negatif.Jika dilihat kembali bagaimana seseorang itu berupaya mengumpul setem kelabu boleh menimbulkan kesedihan kerana kemahiran ini berpunca dan bertapak dari kecil lagi.

Apabila perasaan negatif ini dihimpunkan beberapa lama ia boleh menyebabkan rasa marah, membantah dan dendam terhadap sesuatu / seseorang / situasi.

Dalam sesebuah organisasi, jika pekerjanya banyak mengumpul setem kalabu untuk beberapa lama, mereka akan menunjukkannya dalam pelbagai cara bagi menyatakan rasa tidak puas hati dan marah kepada pihak pengurusan. Mereka mungkin bertindak dengan :

-         sengaja melambat-lambatkan kerja ( work to rule )
-         sengaja merosakkan pengeluaran (sabotage )
-         mengumpat, mengata dan mengutuk pengurus di atas tindakannya.
-         Menyucuk pekerja lain supaya memulaukan (boycott) kerja..

Mengumpul setem kelabu boleh merosakkan diri sendiri dan diri orang lain. Perasaan negative ini akan dibawa ke mana-mana hingga ia menekan jiwa individu berkenaan dan mengakibatkan penyakit seperti :
-         darah tinggi
-         sakit kepala
-         susah bernafas
-         penyakit kulit
-         hypertension
-         tekanan (stress)
-         lemah jantung

Setem kelabu menggalakkan kita berasa marah, menyimpan dendam dan berasa tidak puas hati. Amat penting bagi individu untuk belajar mengelak diri daripada mengumpul setem kelabu dengan cara sentiasa sedar tentang sikap diri dan mengenalpasti mengapa perasaan itu hadir dalam diri kita.

Jika perasaan negative terkumpul kerana kita kerap dikritik oleh pengurus, langkah pertama untuk dilakukan ialah bertanya di mana silapnya dan minta penjelasan lanjut. Gunakan ego stat Dewasa semasa berinteraksi.

Lihat contoh ini : Jika pengurus mengkritik tentang pengendaliansatu-satu projek mungkin ia boleh ditanya begini :

a)      Boleh tuan terangkan dengan lanjut di mana saya buat kesilapan?
b)      ‘Saya tidak faham kesilapan saya, di mana yang tuan nampak?’
c)      ‘Boleh tuan jelaskan apa maksud tuan dengan…..’

Jika usaha untuk mendapatkan penerangan dan penjelasan ini dijalankan mungkin perasaan negative itu tidak tersimpan berpanjangan.

Bercakaplah dengan diri sendiri yang anda telah menjalankan usaha untuk memperbaiki keadaan dan diri anda sebenarnya ‘OK’. Beri diri anda strok tanpa rasa bersalah. Anda perlukan ini untuk kesihatan jiwa dan mental.

Dalam aspek mengumpul setem ini, kita kena kumpulkan pelbagai perasaan dan memberi warna kepada setem yang dikumpulkan seperti mengumpul perasaan marah disamakan mengumpul setem merah dan ganjarannya ialah hilang akal apabila melepaskan perasaan marah hingga mencederakan orang, mendapat darah tinggi dan lain-lain lagi.

Biasanya individu yang telah menjadikan kebiasaan mengumpul setem kelabu tidak berapa selesa menerima setem emas yang berbentuk pujian dan penghargaan. Mereka menolak dengan pelbagai dalih atau sengaja memperkecil-kecilkan pujian yang diberi. Misalnya :

Rangsangan :  Tulisan awak cantik dan kemas!
Respon :           Tidaklah, tulisan saya ini macam cakar ayam saja!

Penolakan pujian seperti ini memang biasa didengar kerana kebudayaan dan cara kita diasuh sejak kecil tidak menggalakkan kita memberi dan menerima pujian kerana takut orang yang dipuji berasa tinggi diri dan sombong.

Untuk mengelakkan daripada dikatakan angkuh maka lebih baik merendahkan diri dengan memberi komen negatif. Jika strok negatif kerap diberi kepada diri sendiri akhirnya sikap dan personaliti kita akan dibina di atas kepercayaan itu.

Kita patut mengajar diri bahawa tidak salah kalau kita bercanggah pendapat dengan  apa yang telah diajar oleh ibu bapa kita dahulu kerana kita sekarang mempunyai data yang lebih objektif. Dengan ini menjadikan tugas kita membina kembali sikap yang positif dengan menghargai dan mempercayai diri sendiri.

Menerima dan memberi pujian ikhlas menjadi satu seni yang harus dipelajari untuk menggalakkan diri mengumpul setem emas (perasaan positif) dan mendapat ganjaran (payoff) yang membanggakan. Misalnya, membina perasaan yakin diri. Pujian yang ikhlas harus dibalas dengan penerimaan yang ikhlas dan tidak dengan cara mengata balik (insult) seperti :

Rangsangan :    Pakaian awak cukup cantik dan kemas hari ini.
Respon :           Saya tahu, awak ingat saya pakai baju murah saja!

Respon seperti itu bukan saja menolak tetapi melukakan hati orang yang memberi. Respon seperti di bawa adalah lebih sesuai dikeluarkan :

Respon :           Terima kasih, saya rasa senang bila awak berkata begitu.

Hidup kita akan lebih bahagia kalau kita tidak menyimpan setem kelabu dalam bentuk dendam dan perasaan negatif yang lain. Perasaan itu harus diatasi segera supaya dapat mencapai kesejahteraan diri dan kesihatan fizikal dan mental.

( Zuraidah Bte Abdul Rahman, Anda Ok!., 1991 )


1 comment: