Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dasar lautan keesaanMu dan di tengah-tengah lautan kesatuanMu dan perkuatkanlah daku dengan kekuatan serbuan kudratMu sehingga aku dapat keluar ke perkarangan keluasan rahmatMu dan pada mukaku timbul cahaya kilatan dek mendekatiMu yang terhasil daripada kesan-kesan kemurahanMu., masyhur dengan kehebatanMu, perkasa dengan inayahMu, disanjung, dibesar dan dimuliakan dengan kemuliaanMu dan kebesaranMu.
Pakaikanlah daku pakaian kemuliaan dan penerimaan dariMu dan permudahkanlah bagiku cara-cara perhubungan dan pencapaian, pakaikanlah daku mahkota kemuliaan dan kesopanan, jinakkanlah di antara aku dan sekalian kekasihMu di dunia dan di akhirat, kurniakanlah kepadaku daripada cahaya namaMu, kehebatan yang segala hati dan roh menurut perintahku dan sekalian jiwa dan lembaga tunduk kepadaku.
Wahai Tuhan yang sekalian leher pemerintah menghina diri bagiNya dan segala tengkok maharaja tunduk bagiNya. Tiada jalan melepas dan menyelamatkan diri daripadaMu melainkan kembali kepadaMu, tiada pertolongan melainkan denganMu, tiada tempat berserah melainkan kepadaMu, pertahankanlah daku segala tipudaya pendengki, kezaliman orang-orang yang degil. Dan rahmatkanlah daku di bawah bumbung ArasyMu wahai Tuhan yang Maha Pemurah, perkuatkanlah diriku dalam memperoleh keredhaanMu dan terangi hati serta fikiranku supaya nampak kaedah-kaedah pertolonganMu.
Tuhanku! Bagaimana aku keluar dari pintuMu dengan tangan kosong dariMu sedangkan aku telah datang membawanya dengan menaruh harapan terhadapMu dan bagaimana Engkau mengecewakan daku dari pemberianMu sedangkan Engkau menyuruh aku berdoa padaMu? Ya! Sekarang aku datang menghadapMu dan berlindung padaMu, jauhkanlah antara aku dan sekalian seteruku sebagaimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Sambarkan jelingan mereka terhadapku dengan cahaya kudusMu dan ketetapan kemuliaanMu. Engkau adalah Pemberi segala nikmat yang melimpah ruah dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pemurah.
Ya Allah! Aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, amalan yang diterima dan rezeki yang halal, baik berkhasiat, yang meluas di dunia dan di akhirat. Ya Allah! Jadikanlah badanku khazanah rezeki bagi segala tubuh badan dan lidahku khazanah bagi segala hati ahli iman maka kurniakanlah kepadaku kemanisan tauhid dan keistimewaan kemuliaan. Sesungguhnya Engkau adalah Allah yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia serta Maha Pencipta apa yang dikehendaki.Dengan rahmatMu sahaja kami berharap wahai Tuhan yang Maha Pemurah. Semoga Allah berselawat dan mengucap salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad saw juga ahli keluarga dan para sahabatnya.
No comments:
Post a Comment