Thursday, April 14, 2011

Bersahabat ..........

  1. Sahabat yang baik
Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan seluruh jiwa ragaku seperti aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang seriring sejalan denganku dan  yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang sanggup bersamaku semasa suka dan duka. Jika aku temui aku berjanji akan selalu setia kepadanya.

Aku hulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak aku perolehi sahabat aku semakin yakin pada diri sendiri.

  1. Mencari teman di waktu susah
Belum pernah aku temui di dunia ini seorang teman yang setia dalam duka. Padahal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Jika duka melanda aku sering bertanya, siapakah yang sudi menjadi temanku? Semasa aku senang sudah biasa banyak orang yang akan irihati namun semasa aku susah mereka pun bertepuk tangan.

  1. Pasang surut persahabatan
Aku boleh bergaul secara bebas dengan semua orang ketika senang. Namun ketika musibah menimpaku aku dapati mereka tidak ubah seperti roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri daripada mereka. Mereka akan mencemohu dan jika aku sakit tidak seorang pun yang sangggup menjengukku. Jika hidupku penuh kebahagiaan, banyak orang irihati, jika hidupku berselimut derita, mereka bersorak sorai.

  1. Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat
Apabila tidak aku temui teman-teman yang bertakwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku terus bergaul dengan orng-orang jahat.

Duduk sendirian untuk beribadah dengan tenang adalah lebih menyenangkan daripada bersahabat dengan kawan yang mesti aku waspada.

  1. Sukar dicari teman sejati
Tenangkalah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Dan bersikaplah seperti seorang pendeta dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua tanganmu dari zaman tersebut dan daripada manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka, kelak kau akan memperoleh kebaikannya.

Sepanjang usiaku yang semakin tua belum pernah aku temui di dunia ini teman yang sejati. Aku tinggalkan orang-orang bodoh kerana banyak kejahatan dan aku jauhi orang-orang mulia kerana kebaikannnya sedikit.

  1. Teman sejati di waktu lara
Teman yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai teman. Tidak ada yang abadi, dan tidak ada teman yang sejati kecuali yang menolong ketika kita susah.

Sepanjang hidupku aku berjuang keras mencari teman ejati sehingga pencarianku membosankan. Aku kunjungi seribu  negara namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia.

  1. Rosaknya keperibadian seseorang
Dalam diri manusia itu ada dua jenis potensi, tiupan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri-duri itu.

  1. Menghormati orang lain
Sesiapa menghormati orang lain tentulah ia akan dihormati kerananya. Begitu juga sesiapa menghina orang lain sudah tentu ia akan tersisih.

Sesiapa berbuat baik kepada orang lain, baginya suatu pahala. Begitu juga sesiapa berbuat jahat kepada orang lain baginya seksa yang dahsyat.

  1. Menghadapi musuh
Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai perasaan dengki hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan. Ketika musuhku berada di hadapanku aku sentiasa menghormatinya. Semua itu aku lakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.

Aku tunukkan keramahanku, kesopananku da rasa persahabatan kepada orang-orang yang aku benci, sebagaimana aku tunjukkan hal itu kepada orang-orang yang aku cintai.

Manusia adalah penyakit dan penyakit itu akan muncul bila kita menghampiri mereka. Padahal menjauhi manusia bererti memutuskan persahabatan.

  1. Tipu daya manusia
Mudah-mudahan anjing-anjing itu dapat bersahabat denganku kerana bagiku dunia i i sudah hampa daripada manusia. Sehina-hina anjing itu ia masih menunjukkan jalan untuk majikannya yang tersesat tidak seperti manusia-manusia jahat yang selamanya tidak akan memberi petunjuk. Selamatkanlah dirimu juga lidahmu baik-baik. Sudah tentu kau akan bahagia asalkan kau hidup menyendiri.

  1. Tempat bergantung harapan
Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang-orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membina rumah untuk Allah swt. Hanya orang-orang yang berjiwa mulia sahaja yang dapat menjaga nama baik dirinya dan selalu menghormati tetamunya baik semasa hidup mahupun setelah mati.

  1. Menjaga nama baik
Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baikmu kecuali dalam keadaan terpaksa maka tinggalkanlah dia dan jangan banyak menaruh belas kasih kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah denganya bererti istirehat. Dalam hati masih ada kesabaran buat si kekasih meskipun memerlukan usaha yang keras.

Tidak semua orang yang engkau cintai mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat. Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan memperlihatkan hal-hal yang sebelumnya menjadi rahsia.

Selamat tinggal dunia jika di atasnya tidak ada lagi sahabat yang juur dan menepati janji.

            (Nasihat Imam Syafi’e, Muhammad ‘Alif Al-Za’by, 2008)

No comments:

Post a Comment