Saudara dan saudari sekalian, sekiranya dulu kemasukan saudara-saudari ke institusi pengajian tinggi awam ini kerana hakikat anda telah diberikan `tongkat' oleh kerajaan melalui sistem kuota yang tersedia sebelum ini, sedarlah bahawa tongkat ini tidak selamanya akan berada dalam genggaman anda. Dan yang pasti, tongkat ini akan tiada gunanya lagi apabila anda melangkah masuk ke alam pekerjaan. Tidak ada lagi bantuan yang boleh diberikan kepada anda selain daripada persediaan yang telah anda sendiri lakukan sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan.
Alam pekerjaanlah sebenarnya tempat meritokrasi dalam erti kata yang sebenar dipraktikkan. Alam pekerjaan merupakan satu ruang terbuka dengan akses sama rata diberikan kepada semua individu dan terpulanglah kepada individu tersebut untuk mengguna dan mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan kelebihan yang dimiliki untuk bersaing merebut tempat yang terbaik. Sekiranya hari ini kita lalai dan alpa kerana kita merasakan bahawa tongkat yang diberikan oleh kerajaan ini akan bersama- sama dengan kita setiap masa, percayalah bahawa kitalah yang akan pertama sekali kecundang dan kecewa di dalam alam pekerjaan kelak.
( PETIKAN UCAPAN OLEH TPM DI SEMINAR MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM (I.P.T.A.) ANJURAN JABATAN PENDIDIKAN TINGGI, KEM. PENDIDIKAN MALAYSIA DENGAN KERJASAMA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSI PADA 03-06-2003 )
No comments:
Post a Comment