Lapan ayat – turun di Madinah
Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang
Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah
1. Apabila digempakan bumi sekeras-kerasnya,
2. Dan bumi mengeluarkan isi-isinya,
3. Dan manusia berkata : Mengapa dia begini?
4. Di hari itu bumi akan ceritakan khabar-khabarnya,
5. Iaitu bahawa Tuhanmu telah memerintah akan dia,
6. Di hari itu, manusia akan pergi berpecah-pecah untuk dilihatkan kepada mereka
akan amal-amal mereka;
7. Maka barangsiapa telah beramal kebaikan setimbang debu, nescaya ia lihat dia,
8. Dan barangsiapa telah beramal jahat setimbang debu, nescaya ia lihat dia.
Keterangan :
Apabila bumi akan digempakan dengan sekeras-kerasnya hingga ia mengeluarkan isi-isinya: air, api, lumpur, mayat-mayat dan lain-lainnya hingga kerana kejadian itu amat luar biasa, manusia akan berkata dengan hairan: Mengapa bumi jadi begini!
Di waktu itu manusia akan dapat tahu seolah-olah bumi berkata kepada mereka, bahawa aku berbuat begini kerana diperintah oleh Tuhan kamu yang telah hukumkan kejadian kiamat pada hari ini.
Di hari itu, sekalian manusia akan pergi ke tempat yang ditentukan untuk melihat balasan amal masing-masing. Maka di situ, tiap-tiap orang akan dapat melihat balasan amalnya yang baik walaupun sedikit dan begitu juga akan melihat balasan amalnya yang jahat walaupun sedikit.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Bahaya di hari kiamat itu, amat besar dan hebat. Oleh sebab itu, hendaklah kita kerjakan amal-amal yang baik sedapatnya walaupun sekecil-kecil amal kerana walaupun amal kita itu sebesar debu yang halus akan dibalas oleh Allah; dan wajib kita jauhi pekerjaan yang jahat walaupun yang sekecil-kecilnya kerana tiap-tiap amal yang jahat itu, walaupun setimbang hama akan dibalas juga.
( A. Hassan ; Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )
No comments:
Post a Comment