Sunday, March 27, 2011

Surah Al-Buruj ( Bintang-bintang )

Dua puluh dua ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlahlangit yang mempunyai bintang
2. Dan (perhatikanlah) hari yang dijanjikan,
3. Dan perhatikanlah syaahid dan masyhud,
4. Celakalah orang (yang membikin) parit,
5. (Dari) api yang bernyala-nyala,
6. Ketika mereka duduk dipingginya,
7. Dan mereka jadi saksi atas perbuatan mereka (sendiri) kepada orang-orang
    mu’min.

Keterangan :

Perhatikanlah langit yang mempunyai bintang-bintang itu maksudnya perhatikanlah langit  yang mempunyai matahari dan bintang-bintang yang teratur sebagaimana bintang-bintang atau mahligai-mahligai yang teratur dengan pintu-pintu, pelita-pelitanya dan perhiasan perhiasannya.

Perhatikanlah hari yang dijanjikan itu maksudnya bahawa dengan memperhatikan langit dan isinya daripada matahari dan bintang serta peredarannya sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat yang pertama itu, kamu akan dapat tahu bahawa sekiranya Allah Taala ubahkan sedikit sahaja perjalanan bintang-bintang itu, akan beradu dan berlanggar sekalian isi langit satu dengan lainnya dengan perlanggaran mana akan hancur lebur  langit dan isinya.

Dengan hancurnya bintang-bintang dengan sebab berlanggar dan bertempur itu, jadilah kiamat – ialah hari yang dijadikan oleh Allah. Jadi perhatikanlah hari yang dijadikan itu, maksudnya perhatikanlah sebab-sebab yang akan menimbulkan hari yang tersebut yang mana kaum kafir tidak mahu percaya itu.

Perhatikanlah Syahidin itu ertinya perhatikanlah barang yang jadi saksi iaitu barang-barang yang hadir di hadapan mata kita seperti matahari, bintang-bintang serta peredarannya dan perhatikanlah Masyhudin itu ertinya perhatikanlah barang yang ghaib yang disaksikan oleh barang yang hadir ini, iaitu perhatikan dan fikirkanlah kedatangannya hari kiamat yang sekarang masib ghaib bagi kita, yang mana tentu akan datang apabila dikehendaki oleh Allah swt dengan diubahnya sedikit perjalanan falak bagi benda-benda yang diudara itu.

Perintah-perintah menyuruh perhatikan dan fikirkan hari kiamat dengan mengambil contoh keadaan di langit itu, tidak lain melainkan supaya manusia beriman kepada Allah dan beramal untuk hari peperiksaan yang tidak dipercaya oleh kaum kafir itu.

Orang  yang membikin parit dari api yang bernyala-nyala itu  ialah satu kaum di zaman dahulu yang menyiksa kaum mukminin dengan menggali satu parit yang meeka penuhkan dengan kayu bakaran dan mereka bakar hingga bernyala-nyala lalu mereka masukkan ke dalam api itu kaum mukminin yang sudah beriman kepada agama Allah yang sebenarnya. Perbuatan mereka yang sedemikian bengisnya itu mereka saksikan sendiri dengan duduk di tepi parit pembakar kaum mukminin tadi.

Mereka tidak lakukan perbuatan yang kejam, bengis dan buas melainkan lantaran mereka tidak percaya kepada hari pembalasan.

Oleh sebab itulah Allah swt perintah di ayat-ayat yang di atas tadi supaya manusia fikirkan bumi dan langit dan peredarannya yang mana akan menyebabkan mereka percaya kepada hari kesudahan yang dijanjikan oleh Allah.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

1) Hendaklah kita belajar ilmu perjalanan bintang-bintang walaupun sedikit kerana
    dengan mengetahui ilmu itu dapat kita perhatikan dan fikirkan apa yang diperintah
    oleh Allah di ayat-ayat itu.

2) Hendaklah kita jadikan contoh bagaimana kekuatan iman kaum mukminin di zaman
     dahulu hingga tidak berubah walaupun dimasukkan kedalam api.

8. Dan mereka itu tidak menyiksa mereka (yang mukminin) itu melainkan lantaran
    mereka beriman kepada Allah yang maha gagah dan terpuji.
9. Yang mempunyai kerajaan di langit dan bumi dan Allah itu menjadi saksi atas tiap-
    tiap suatu.

Keterangan :

Maksudnya bahawa kaum kafir yang tersebut di ayat-ayat yang terdahulu itu tidak membakar kaum mukminin serta duduk di pinggir parit api menyaksikan perbuatan mereka sendiriitu melainkan lantaran mukminin itu beriman kepada Allah swt. Yang mempunyai kerajaan bumi dan langit tetapi Allah menjadi saksi atas perbuatan mereka yang bengis itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Walaupun dengan mengorbankan harta dan jiwa hendaklah kita mengerjakan perintah-perintah Allah dan menyiarkan agama Allah – walaupun dipancong dan dibakar.

Janganlah kita khuatir, kerana pembalasan bagi kita dan bagi penganiaya itu Tuhanlah akan memberi kerana Tuhan menyaksikan tiap-tiap suatu.

10. Sesungguhnya orang-orang yang menyusahkan kaum mukminin dan mukminat
      kemudian mereka tidak bertaubat maka mereka akan mendapat azab jahanam dan
      mereka akan mendapat azab bakaran.
11. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal solih akan
      mendapat surga yang mengalir padanya sungai-sungai yang demikian itu satu
      kemenangan yang besar.

Keterangan :

Orang-orang yang menganggu dan memaksa kaum mukminin dan mukminat dengan bunuhan dan bakaran itu jika tidak bertaubat dan masuk Islam akan mendapat siksa jahanam yang amat pedih.

Adapun orang-orang yang beriman teguh dengan tidak berubah dan beramal solih itu akan mendapat ganjaran-ganjaran syurga yang amat cukup dan satu kemenangan yang besar.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

1) Orang-orang kafir walau bagaimanapun bengis, jahat dan kejam perbuatannya jika
    bertaubat, masuk Islam nescaya Allah ampunkan sekalian dosanya.
2) Kemenangan yang besar untuk kaum mukminin ialah masuk surga.

Manusia tidak akan masuk syurga melainkan dengan iman sebagaimana diperintah oleh Allah dengan beramal solih menurut agama Allah yang sebenarnya.

12. Sesungguhnya balasan Tuhanmu itu sangat (pedih)
13. Sesungguhnya Ialah yang memulakan dan akan mengembalikan,
14. Dan Ialah Pengampun dan Penyayang,
15. Yang mempunyai arsy yang terpuji,
16. Yang sangat berkuasa membuat apa yang Ia kehendaki.

Keterangan :

Sesungguhnya amat pedih balasan yang disediakan oleh Tuhanmu di dunia atau di akhirat untuk kaum kafir yang tidak mahu percaya kepada kebangkitan kiamat.

Sewajibnya mereka percaya kepada hari kemudian, kerana sebagaimana Allah telah mulakan iaitu telah jadikan alam ini daripada tidak ada kepada ada. Ia akan kembalikan jasad-jasad manusia yang sudah hancur-lebur itu kepada ada.

Ialah Tuhan yang amat mengampuni dosa hambaNya yang bertaubat dan amat penyayang akan hambaNya yang menjalankan perintah-perintahNya ialah Tuhan yang mempunyai arsy ialah Tuhan yang amat terpuji yang amat berkuasa membuat apa yang dikehendakinya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

1) Oleh sebab Allah adakan makhluk daripada tidak ada kepada ada maka patutlah Ia
     sediakan balasan yang pedih untuk mereka yang tidak mahu percaya kepada hari
     pembalasan itu.
2) Sungguhpun pedih siksaan yang Ia ada sediakan untuk si kafir Ia sediakan juga
    keampunan dan percintaan kepada mereka yang bertaubat dari kesalahannya dan
    masuk agamaNya yang mulia.

17. Sudahkah datang kepadamu khabar tentera-tentera,
18. Firaun dan Tsamud?
19. Tetapi orang-orang kafir itu tetap mendustakan,
20. Padahal Allah mengepung (mereka) dari belakang mereka,
21. Bahkan iaitu Al-Quran yang mulia,
22. (Terpelihara) di Loh Mahfuzh.

Keterangan :

Maksudnya sudahkah engkau, ya Muhammad! Dengar khabar dari hal tentera-tentera yang kuat dan gagah berani seperti Firaun dan Tsamud dan pengikut-pengikutnya?. Bukankah Allah telah binasakan mereka lantaran kedurhakaan dan kekufuran mereka?

Mereka yang jadi musuhmu itu sudah mendengar khabar kaum-kaum kafir yang dahulu kala.

Sungguhpun begitu tetap juga mereka mendustakan pesuruh Allah dan agamaNya. Biarkanlah mereka berlaku begitu. Mereka tidak akan terlepas kerana Allah  akan mengepung mereka dari belakang mereka.

Biarkanlah mereka tidak percaya, biarkanlah mereka dustakanmu, biarkanlah mereka dustakan kitabKu.

KitabKu itu tidak lain melainkan Al-Quran yang mulia yang terpelihara di Loh Mahfuzh yang tidak akan terganggu walau bagaimanapun usaha mereka padaemadamkan cahayanya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

1)      Orang yang mendustakan urusan Allah atau kitabNya akan dapat balasan yang secukupnya kerana tidak ada yang tidak di dalam gengaman dan kepungan Allah.
2)      Walau bagaimanapu kaum kafir itu berusaha dan berikhtiar hendaklah memadam cahaya Al-Quran maka Al-Quran tidak akan berubah, tidak akan rusak, kerana Al-Quran selamanya di dalam penjagaan Allah, tertulis di Loh Mahfuzh, di papan tulis yang terpelihara.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment