Sunday, March 20, 2011

Surah Al-Lail ( Malam )

Dua puluh satu ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlah malam, apabila ia kelam,
2. Dan siang, apabila ia terang
3. Dan yang menjadikan laki-laki dan perempuan
4. Sesungguhnya usaha kamu itu bermacam-macam

Keterangan :

Maksudnya: Hai manusia! Perhatikanlah malam apabila ia kelam lantaran Allah edarkan dia untuk kita sebagai tempat berhenti penat dan lelah daripada pekerjaan badan dan fikiran yang kita lakukan pada waktu siang dan

Perhatikanlah siang yang diedarkan oleh Allah bagi kita sebagai tempat berusaha, bekerja, berdaya-upaya untuk keperluan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat dan

Perhatikanlah pula kejadian laki-laki dan perempuan yang dengan perjodohan itu Allah sebabkan adanya makhluk-makhluk untuk kemakmuran dunia ini dan

Perhatikanlah apa-apa yang tersebut itu lebih dalam dan sunguh-sungguh nescaya kamu dapati di dalamnya ada beberapa banyak nikmat bagi manusia dan ada beberapa tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah yang maha mulia.

Sungguhpun begitu besar nikmat dan kurnia Allah atas kamu tetapi amal kamu itu bermacam-macam : ada yang berfaedah, ada yang berbahaya, ada yang baik, ada yang jahat, ada yang ikhlas, ada yang riak, padahal sepatut-patutnya, sewajib-wajibnya dan sebagus-bagusnya, kamu sembah dan turuti hanya perintah Allah swt dan jauhi sekalian laranganNya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Allah edarkan malam itu ada terlalu besar gunanya. Ia adakan siang itu ada amat banyak faedahnya. Ia jadikan laki-laki dan perempuan itu ada sangat halus hikmahnya.

Allah menyuruh kita memperhatikan dan memikirkan sekalian yang tersebut itu sebagai mengajar kita untuk memikirkan dan mengecamkan lain-lain kejadian yang tidak akan sunyi daripada mengandung hikmah-hikmah dan guna-guna walaupun ada banyak yang manusia belum dapati sebab-sebab dan faedah-faedahnya.

Kalau manusia suka memperhatikan hukum-hukum, sebab-sebab, kekuasaan-kekuasaan dan aturan-aturan yang dijadikan dan diadakan oleh Allah di dalam segala sesuatu, nescaya tidak ia akan tunduk melainkan kepada Allah, tidak ia akan berkeperluan kepada yang lainnya, tidak ia akan menyerahkan diri melainkan kepada Tuhannya dan tidak ia akan beribadah melainkan dengan ikhlas.

5. Lantaran itu barangsiapa menderma dan berbakti
6. Dan mengakui kebaikan
7. Maka Kami akan mudahkan dia ke jalan yang mudah
8. Dan barangsiapa bakhil dan merasa terkaya
9. Dan mendustakan kebaikan
10. Maka kami akan mudahkan dia ke jalan yang payah
11. Dan hartanya tidak akan menolong dia apabila ia telah terjerumus

Keterangan :

Mengakui kebaikan itu ertinya mempercayai adanya kebaikan dan mengakui keperluannya dan kebagusannnya iaitu janganlah jadi sebagaimana kebanyakan manusia berkata :

”Apa guna kita berbuat baik, menolong si anu dan anu padahal tidak ia balas terima kasih dan tidak berguna, lebih baik kita jaga diri sendiri saja”

Memudahkan dia ke jalan yang mudah itu maksudnya membukakan jalan supaya ia dapat kemuliaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat

Kemuliaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat itu dinamakan perkara yang mudah lantaran tabiat manusia memang mahu, suka dan gemar kepada sekalian kebaikan, kemuliaan, kesejahteraan dan kesempurnaan.

Tiap-tiap perkara yang dapat dikerjakan pada adatnya serta ada kemahuan dan kegemaran kita padanya itu memang perkara yang mudah hanya yang berat di dalam urusan itu ialah gerak hati pada permulaannya.

Merasa terkaya itu maksudnya ialah tidak merasa ada berkeperluan kepada manusia lalu berjauh diri daripada mereka kerana takut kalau-kalau mereka berkeperluan kepadanya, meminta tolong itu dan ini.

’Mendustaka kebaikan’  itu maksudnya ialah sebalik dari ’mengakui kebaikan’ iaitu mengeluarkan perkataan : ’ Apa faedah kita menolong si anu dan anu da apa hasilnya kita menderma di urusan itu dan ini dan.....’

Jadi maksud ayat-ayat itu begini :

Oleh sebab amal manusia ada bermacam-macam. Maka ganjaran atau pahala bagi amal masing-masing pun berlain-lainan iaitu :

1)      Barangsiapa mendermakan hartanya di jalan Allah dan berbakti kepada Allah dengan menjalankan perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya dengan ikhlas semata-mata keranaNya serta mengakui adanya kebaikan di dalam menderma di jalan Allah – walaupun tidak dibalas terima kasih dan tidak dapat buahnya sekarang – orang ini akan dibukakan hatinya oleh Allah kepada mengerjakan sebab-sebab dan cara-cara yang akan menyampaikan dia kepada kemuliaan, kesejahteraan dan kesempurnaan dunia akhirat dan

2)      Barangsiapa bakhil tidak mahu mendermakan kemampuannya di jalan Allah dan berjauh diri daripada manusia kerana bakhil dan takut dimintai pertolongan serta mendustakan kebaikan lantaran tidak dapat terima kasih dan tidak dapat buahnya sekarang maka orang yang begini Allah akan bukakan jalan yang kelak menyampaikan dia kepada kehinaan, kerendahan dan kecelakaan di dunia dan akhirat : dan di waktu itu hartanya tidak akan dapat menyelamatkan dia daripada bahaya-bahaya yang ia sudah terjerumus dan termasuk padanya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

1)      Kemuliaan, kebesaran, ketinggian, keselamatan dan kesejahteraan dunia dan akhirat itu tidak akan tercapai melainkan dengan mengakui adanya kebaikan pada mengeluarkan harta di jalan Allah, serta mengerjakan kebaikan yang diakuiNya itu.

2)      Harta si bakhil tidak akan dapat menolong dia kalau kebakhilannya sudah membawa dia ke jurang kecelakaan.

3)      Kelakuan menjauhkan diri dari orang ramai lantaran bakhil dan takut dimintai pertolongan itu tidak akan menambah kekayaan tetapi akan menambah kehinaan.

12. Sesungguhnya atas (tanggungan) Kamilah, (hal) menunjukkan jalan itu,
13. Padahal sesungguhnya kepunyaan Kamilah akhirat dan dunia,
14. Tetapi Aku telah ancam kamu dengan api yang menyala-nyala,
15. Yang tidak akan terpanggang (dan kekal) padanya melainkan orang yang paling
      celaka
16. Yang mendustakan dan berpaling belakang
17. Dan akan dijauhkan dia daripada orang yang paling berbakti
18. Yang mendermakan hartanya kerana mahu jadi bersih
19. Padahal tidak ada padanya budi seseorang yang patut dibalas
20. Tetapi kerana hendak mencari keredhaan Tuhannya yang Maha Tinggi
21 Dan (Tuhannya) akan redha (kepadanya)

Keterangan :

Untuk menolak persangkaan yang Ia menjerumuskan hambaNya ke dalam kecelakaaan dengan tidak memberi peringatan dan ancaman lebih dahulu maka Allah berkata : Sesungguhnya hal menunjukkan jalan kepada manusia dengan memberi akal, fikiran, ikhtiar, peraturan dan agama dengan pimpinan nabi-nabi itu memang atas tanggunganKu dan sudah Aku beri kepada manusia sekalian yang tersebut sedang memberi yang demikian itu bukan satu kewajipan atas diriKu kerana dunia dan akhirat kepunyaaanKu semata-mata dan Aku berhak dan berkuasa membuat semahu-mahuKu tetapi sudah Aku ancam kamu – yang tidak mahu menurut perintah-perintahKu – dengan api yang bernyala-nyala yang tidak akan masuk terpanggang dan kekal di dalamnya melainkan orang yang paling celaka iaitu orang yang mendustakakan agama Allah dan berpaling belakang meninggalkan dia;

Dan akan dijauhkan daripada api itu iaitu tidak akan disentuh api orang yang paling berbakti kepada Allah dengan menjalankan perintah-perintahNya seberapa dapat dan menjauhkan diri daripada sekalian laranganNya serta mendermakan harta bukan kerana hendak membalas budi atau kebaikan seseorang yang sudah ia terima lebih dahulu tetapi kerana hendak membersihkan rohnya daripada berperangai dengan sifat-sifat yang buruk-buruk yang satu daripada pokok-pokoknya ialah kebakhilan dan kerana hendak mendapat keredhaan dan kesayangan Tuhan Maha Mulia.

Orang yang beritiqad baik, bermal ikhlas seperti yang tersebut itu akan mendapat keredhaan Allah swt.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Manusia wajib taat dan syukur kepada Tuhanya yang memberi akal, fikiran, peraturan dan agama semata-mata kerana kasihannya atas kita padahal tidak ada siapa-siapa yang berkuasa bertanya apa-apa kepadaNya kalau Ia berbuat sebalik dari itu lantaran segala sesuatu di alam hadir dan alam ghaib semuanya hak milik kepunyaaanNya.

Manusia patu dan wajib menggunakan sekalian nikmat dan sifat-sifat pemberian Tuhan itu di jalan yang dapat melepaskan mereka daripada sentuhan api yang bernyala-nyala kelak.
Tidak patut manusia mendermakan hartanya kalau tidak di jalan mencari keredhaan Allah.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment