Lapan ayat – turun di Mekah
Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang
Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah
1. Kamu telah dilalaikan oleh berlebih-lebiha,
2. Hingga kamu melawat kubur-kubur
Keterangan :
Maksudnya bahawa kamu telah dilalaikan oleh tamak kamu kepada harta yang banyak, tamak kamu kepada sahabat banyak yang menyebelahi kamu, tamak kamu kepada nama, pangkat dan lain-lain yang disukai oleh hawa nafsu kamu. Dengan hal demikian, kamu lalai hingga datang maut yang membawa kamu ke lubang kubur. Kamu berbuat begitu kerana kamu menyangka bahawa kekayaan, keramaian sahabat, kemegahan nama dan pangkat itulah yang perlu dan kamu tinggalkan perintah-perintah Allah serta kamu langgar tegahan-tegahanNya.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Janganlah kita mengejar kekayaan, pangkat, nama, sahabat dan golongan dengan meninggalkan perintah-perintah Allah dan mengerjakan larangan-laranganNya kerana tidak lain melainkan kecelakaanlah yang menimpa kita kalau sampai ajal padahal kita di dalam keadaan yang tersebut.
3. Tidak sekali-kali! (bahkan) kamu akan ketahui,
4. Dan tidak sekali-kali! (bahkan) kamu akan ketahui.
Keterangan :
Maksudnya bahawa persangkaan kamu bahawa harta dan kemuliaan dunia akan menolong itu, tidak benar sekali-kali.Sesungguhnya tidak begitu! Bahkan kamu akan ketahui sendiri kesalahan sangka dan buah dari dari usaha kamu itu.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Kita akan menyesal sebesar-besar penyesalan kalau kita lalai pada mencari benda-benda keduniaan dan kemegahan-kemegahannya dengan mengerjakan tegahan-tegahan Allah atau dengan meninggalkan perintah-perintahNya yang pahalanya akan kekal jadi nikmat bagi kita selama-lamanya.
5. Tidak sekali-kali! (Alangkah baiknya) kalau kamu ketahui dengan pengetahuan
yang yakin :
Keterangan :
Sudah dua kali Allah menidakkan dan mendustakan persangkaan mereka dengan firmanNya : Kalla tsumma kalla, maka di sini sekali lagi Allah menolak dan menyalahkan persangkaan mereka yang mengejar dan mencari kekayaan dunia dan kemegahannya dengan meninggalkan perintah-perintahNya dan mengerjakan larangan-laranganNya lalu Ia iringkan dengan prkataan:
’ Alangkah baiknya kalau kamu ketahui dengan pengetahuan yang yakin!’ iaitu kalau kamu ketahui betul-betul bahawa kekayaan dan kemuliaan dunia tidak berguna dan tidak dapat memberi kesenangan yang kekal nescaya tidak kamu berlumba-lumba dan berkejar-kejar pada mengumpulkan benda-bendanya dan kemegahan-kemegahannya dengan meninggalkan perintah-perintah agama tetapi apa boleh buat, kebodohan kamu yng timbul dari kesalahan kamu telah menyesatkan kamu!.
Ringkasan dan maksudnya :
Kesalahan yang kita kerjakan lantaran kebodohan kita itu, kitalah yang akan dapat buahnya dan kitalah yang mesti memikul dosanya.
Kebodohan kita itu, kitalah yang wajib menghilangkannya.
6. Sesungguhnya kamu akan melihat neraka,
7. Dan sesungguhnya kamu akan lihat-dia dengan penglihatan yang yakin,
Keterangan ;
Sesungguhnya nanti kamu melihat neraka tempat balasan amal yang sudah kamu lakukan di dunia ini; dan sesungguhnya kamu akan lihat dia dengan penglihatan yang yakin.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Orang yang mencari kekayaan, kebesaran, kemegahan didunia dengan membelakangkan perintah-perintah Allah dan menghampiri larangan-laranganNya akan disiksa oleh Allah dengan sepedih-pedih siksaan.
8. Kemudian sesungguhnya kamu akan diperiksa dari hal nikmat
Keterangan :
Maksudnya bahawa di hari yang kamu akan disiksa itu, akan diperiksa kamu darihal nikmat, iaitu datihal kekayaan dan kemampuan kamu, tentang apakah telah gunakan dia, adakah kamu belanjakan dia di jalan Allah sebagaimana diperintah olehNya?
Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Kalau kita ada kemampuan dan tenaga hendaklah kita gunakan dia pada urusan-urusan yang diperintah oleh Allah supaya di hari kemudian kita tidak disiksa lantaran menggunakan dia pada bukan tempatnya.
( A. Hassan ; Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )
No comments:
Post a Comment